20 Mei 2022, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mujadilah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dikurniakan) beberapa darjat (kemuliaan), dan Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa-apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadilah 58:11).

Saban tahun, 16 Mei disambut bagi menghargai khidmat dan bakti yang diabadikan oleh para guru yang mendidik dan mengilmukan anak-anak didik yang diamanahkan tanggungjawab kepada mereka. Guru ialah pendidik, pengajar dan pengasuh. Demi kemajuan anak didik, mereka berkorban seluruh jiwa dan raga, berkorban masa, wang dan tenaga. Mereka ibarat ibu bapa kedua, mencurahkan ilmu tanpa jemu, memberikan nasihat, menyuntik semangat, membimbing ke jalan yang benar, mendedikasikan seluruh hidup agar anak-anak didik menjadi insan berilmu, berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia, agar menjadi khazanah berharga kepada negara bangsanya.

Kejayaan kita pada hari ini, adalah hasil dari penat lelah dan khidmat bakti para guru; bermula era prasekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi, daripada tidak mengenal huruf dan mengira, sehinggalah menjadi insan berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran. Malah, sejarah bagi seorang raja yang bersemayam di takhta, agamawan yang bertaraf ulama, pemimpin negara, atau penulis yang terkemuka, semuanya bermula daripada asuhan seorang guru biasa, dengan lembut sabar mengajar membaca, menulis dan mengira, melalui sentuhan keramat yang ikhlas dan penuh kasih sayang.

Pendidikan ialah nadi pembangunan kepada sesebuah negara bangsa. Kualiti pendidikan sesuatu bangsa bergantung pada kualiti gurunya. Pendeta Za’aba pernah berkata, “Ilmu pengetahuan adalah asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran.” Kemajuan dan tahap intelek sesuatu bangsa terletak pada tahap penguasaan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang dapat dicapai dengan pendidikan yang berkualiti melalui khidmat bakti para guru yang berdedikasi.

Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok, baru-baru ini.

Oleh sebab itu, peranan guru bukan sekadar mengajar subjek yang ditugaskan, malah mereka bertanggungjawab membimbing, mendidik, melatih, mengasuh, baik secara perkataan mahupun perbuatan. Guru memastikan anak-anak didik menguasai pelbagai bidang ilmu, pengetahuan  dan  kemahiran  serta  melahirkan  anak  didik  yang  menjadi aset kepada negara bangsanya. Amat besar dan berharga nilai ilmu kepada manusia seperti yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar ayat 9:

Maksudnya: Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?  Sesungguhnya  orang  yang  dapat  mengambil  pelajaran  hanyalah  orang yang berakal sempurna.

Guru memastikan anak-anak didiknya menguasai pelbagai bidang ilmu, pengetahuan dan kemahiran.

Islam   mengangkat   tinggi   nilai-nilai   keilmuan   dan   yang   berkait   dengannya, termasuklah orang yang menyampaikan ilmu dan penuntut ilmu. Martabat guru sangat tinggi  dan  mulia  selaras  dengan  ketinggian  ilmu.  Guru  sewajibnya  dihormati  dan disanjung tinggi pada setiap masa. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat serta seluruh penduduk langit dan bumi sehinggakan semut dalam lubang dan ikan di lautan turut mendoakan guru yang mengajar kebaikan kepada manusia.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, ketika negara dan masyarakat menghargai jasa bakti para petugas barisan hadapan, negara dan masyarakat bagai terlepas pandang cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh para guru. Mereka diperlukan untuk mendidik murid dalam keadaan yang belum pernah dilalui; kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka terhenti, dan diganti dengan pendekatan maya. Para guru ketika itu tidak mempunyai latihan dan pendedahan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Tanpa memberikan alasan, para guru berusaha sedaya mungkin, menyesuaikan diri dalam masa yang singkat dengan tuntutan baharu bagi menyempurnakan amanah dan tanggungjawab seorang pendidik.

Para guru melaksanakan tugas berat dalam keadaan yang kurang peralatan baik di pihak pengajar, apatah lagi murid, dalam keadaan kemudahan Internet yang terhad terutama di kawasan luar bandar. Namun begitu, dalam semangat berpatah sayap bertongkat paruh, tugas pendidik disempurnakan sedaya dan sebaik-baik mungkin. Sifat tersebut sangat terpuji dan wajib disanjung. Pendidik memiliki seni yang sangat istimewa dan luar biasa, sifat sabar, tekun, tabah dan gigih, berusaha melahirkan insan yang lebih berjaya daripada mereka dalam pelbagai kerjaya di dunia ini.

Sasterawan Negara A. Samad Said dalam puisi berjudul “Obor Hemah” yang ditulis pada tahun 1988 menukilkan:

Guru adalah awan indah terbang rendah, melimpah hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; ia renjis embun pada tanah bakat, suara ihsan ketika manusia kalah, sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru atap ganti ketika pondok bocor, kitab sejarah dalam bilik darjah, senyum penyembuh bagi wabak sengsara, ia sungai rangsang senantiasa tenang, menghantar bahtera ke segara darma, memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung budi, manusia yang takwa, obor hemah kehidupan bangsa.

Amat membimbangkan apabila akhir-akhir ini berita melaporkan semakin banyak guru mengambil keputusan bersara awal bukan disebabkan faktor kesihatan, tetapi tidak lagi berupaya menghadapi tekanan dengan persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif. Menurut statistik, daripada 409 977 orang guru di negara ini, lebih kurang satu peratus, atau 4000 orang mengambil keputusan bersara awal kerana telah hilang minat dan kegembiraan bekerja. Dilaporkan mereka terlalu dilonggokkan dengan beban kerja sampingan dan perkeranian yang membebankan malah mengganggu tugas hakiki sebagai pendidik. Ramai dalam kalangan guru merasakan rintihan dan suara mereka tidak diberikan perhatian, khidmat bakti dan pengorbanan mereka tidak diberikan pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya. Dikhuatiri, negara akan kerugian sumber tenaga pendidik berpengalaman jika rintihan dan suara guru tidak diberikan perhatian.

“Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” dipilih sebagai tema sambutan Hari Guru pada tahun ini.

Sehubugan dengan itu, bersempena dengan Hari Guru 2022, kita diseru untuk menghayati peringatan yang berikut:

Pertama: Islam mengiktiraf guru sebagai pekerjaan yang sangat mulia, para guru bukan sahaja membantu membimbing insan dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran untuk tugas-tugas duniawi, tetapi turut membekalkan ilmu dan membimbing amal untuk bekalan di alam barzakh dan di alam akhirat.

Kedua: Khidmat bakti para guru hendaklah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh negara, masyarakat, ibu bapa dan para murid. Hargailah guru-guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita. Sempena sambutan Hari Guru, tunjukkan adab berterima kasih ibu bapa dan seorang murid dengan menyampaikan ucapan penghargaan kepada guru-guru diiringi sepiring kuih, segenggam beras, setahil gula, sehelai pelekat atau sehelai selendang.

Ketiga: Jadikan amalan harian menghadiahkan bacaan Surah al-Fatihah bagi mendoakan kesejahteraan guru-guru kita baik kepada yang masih hidup, lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.

Terima kasih guru, yang telah berperanan sebagai ibu, bapa dan sahabat kepada kami dan anak-anak kami, semoga khidmat baktimu dikurniakan ganjaran dunia  dan ganjaran akhirat.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Kekalkanlah persaudaraan sesama Muslimin. Makmurkanlah rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat,  terutamanya  solat  fardu  berjemaah.  Perbanyakkan  selawat  dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Engkau berkati kehidupan guru-guru kami, kurniakan mereka ketabahan dalam usaha mendidik anak-anak kami; kurniai rahmat-Mu kepada guru-guru kami, sayangi mereka, muliakan mereka dengan reda-Mu yang agung, tempatkan mereka di tempat yang disenangi di sisi-Mu.

Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya  Dza al- Jalali  wa al-Ikram!  Jadikanlah  kami  antara  hamba-Mu  yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda  bukan  milik  kami,  memberi  atau  menerima  rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 20 Mei 2022, “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.