13 Mei 2022, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umat Islam hendaklah sentiasa meningkatkan iman dan takwa mereka ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Satu daripada cara untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka adalah dengan cara berwakaf. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah SWT seperti yang berikut:

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang
sempurna) sehinggalah kamu infakkan sebahagian daripada apa-apa yang kamu sayangi, dan apa-apa jua yang kamu infakkan itu, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali ‘Imran 3:92)

Berwakaf ialah amalan yang terpuji. Harta yang diwakafkan akan terus memberikan manfaat walaupun pewakaf sudah berada di alam abadi selepas mati. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau doa anak yang soleh.”

(Hadis riwayat Muslim, no. 1631)

Wakaf bermaksud menahan sesuatu harta, dan menyerahkan sepenuhnya harta tersebut pada jalan Allah SWT untuk diberikan manfaatnya kepada masyarakat, dengan dikekalkan harta asalnya. Syariat wakaf ialah syariat yang unik. Sejarah membuktikan bahawa syariat wakaf telah mengangkat martabat ummah. Wakaf telaga “al-Rumah” oleh Sayidina Usman bin Affan r.a. membolehkan penduduk Muslimin di Madinah menikmati bekalan air bersih secara percuma hingga ke hari ini.

Universiti al-Azhar yang telah melahirkan ribuan cendekiawan ialah universiti yang dibiayai penubuhannya melalui dana wakaf. Di negeri Perak, antara wakaf terawal ialah wakaf diraja Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Marhum Rahmatullah), Sultan Perak yang ke-28 yang membolehkan Masjid Ridzwaniah Kuala Kangsar dibina pada tahun 1915. Kini, ratusan masjid, surau, dan madrasah di negeri  Perak telah dibina melalui sumber wakaf, termasuklah pembinaan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz, dan sekolah pondok.

Masjid Ridzwaniah Kuala Kangsar dibina pada tahun 1915. (Sumber: Facebook Masjid Ridzwaniah Kuala Kangsar)

Dana wakaf tidak terhad untuk digunakan bagi membiayai program berunsur keagamaan dan pendidikan semata-mata, sebaliknya dana wakaf boleh dibelanjakan untuk membiayai pelbagai program pembangunan ekonomi, perdagangan, kemasyarakatan, kesihatan,  latihan,  keselamatan,  dan  program  yang  memberikan  manfaat kepada ummah asalkan tidak bercanggah dengan syariat. Harta wakaf dalam pelbagai sektor boleh dimajukan untuk kemaslahatan dan kepentingan ummah. Misalnya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak selaku pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf yang terletak di negeri Perak, telah mengorak langkah melaksanakan pelbagai program wakaf yang berdaya maju. Antara projek wakaf terbaharu di negeri Perak yang telah berjaya dilaksanakan oleh MAJLIS adalah membangunkan Pusat Hemodialisis bernilai hampir tiga juta ringgit yang terletak di kawasan Masjid Sultan Alang Iskandar Shah, Kampung Dato’ Seri Kamaruddin Seri Manjung. Pusat ini dibina melalui dana wakaf orang ramai dan badan korporat dan kini berupaya memberikan perkhidmatan hemodialisis kepada lebih 30 orang pesakit buah pinggang setiap hari.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak juga membantu usaha pembinaan kediaman

Pusat Hemodalisis yang dibina hasil dana wakaf negeri Perak.

asrama pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar bernilai  15 juta ringgit. Pembinaan asrama pelajar tersebut dibiayai dengan gabungan wang zakat dan wakaf. Terdapat juga dua buah ladang kelapa sawit milik Majlis Agama Islam, di Sungkai, dan di Sungai Siput seluas hampir 7000 ekar. Hasil keuntungan tanaman daripada dua ladang tersebut disalurkan kepada dana yang dikhususkan untuk  saraan masjid dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam negeri Perak.

Wakaf Wang Tunai

Wakaf wang tunai menawarkan peluang terbaik untuk membolehkan setiap umat Islam menyertai program wakaf. Walaupun tidak memiliki tanah atau bangunan untuk diwakafkan, wakaf wang tunai membolehkan setiap orang umat Islam berwakaf meskipun dengan hanya seringgit. Di Perak, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-
209, bertarikh 22 Ogos 2016 telah menetapkan bahawa berwakaf boleh dilaksanakan dalam bentuk wang tunai dan dibenarkan untuk tujuan kebajikan dan kemaslahatan umat Islam.

Wakaf secara wang tunai bukan sahaja memberikan peluang lebih banyak umat Islam melakukan ibadat wakaf, malahan membolehkan Majlis Agama Islam menghimpunkan dana wakaf yang lebih besar dengan sokongan, sambutan dan penyertaan umat Islam. Dana wakaf yang berjaya dikumpulkan akan dapat dijadikan modal bagi membantu Majlis Agama Islam membangunkan tanah wakaf yang terbiar disebabkan kekurangan dana untuk dibangunkan. Hakikatnya, pada ketika ini, banyak dalam kalangan pewakaf yang berhasrat supaya tanah mereka dapat dimanfaatkan untuk kebajikan umum tidak dapat direalisasikan disebabkan kekurangan dana.

Sehubungan dengan itu, Muslimin diseru agar menyokong usaha bagi menjayakan program wakaf tunai dengan berwakaf menerusi pelbagai kaedah yang disediakan termasuklah melalui sistem potongan gaji bulanan. Dengan sokongan dan semangat berwakaf para Muslimin, dengan izin Allah SWT, wakaf tunai yang berjaya dikumpulkan akan diurus dengan sebaik-baik mungkin, bertujuan untuk membangunkan pelbagai projek wakaf yang mempunyai nilai keupayaan pulangan ekonomi yang tinggi. Semoga melalui projek pembangunan wakaf yang lebih dinamik, ekonomi ummah berjaya diperkasakan.

Antara pengajaran dan penghayatan  yang boleh disimpulkan daripada kepentingan berwakaf termasuklah:

Pertama: Wakaf ialah syariat yang unik yang berupaya memperkasakan pembangunan ummah. Hal ini memberikan manfaat duniawi dan ukhrawi kepada pewakaf.

Kedua:   Amalan   wakaf   tunai   membuka   peluang   kepada   setiap   individu   Muslim melakukan ibadat wakaf walaupun tidak memiliki harta berbentuk tanah atau bangunan.

Ketiga: Dengan semangat dan sokongan umat Islam, wakaf tunai yang berjaya dikumpulkan akan menjadi dana lebih besar yang boleh dijadikan modal bagi membantu  membangunkan projek wakaf yang lebih dinamik untuk manfaat ummah.

Muslimin diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Kekalkanlah persaudaraan sesama Muslimin. Makmurkanlah rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan  ibadat, terutamanya  solat  fardu  berjemaah. Perbanyakkan  selawat  dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Bukakan pintu hati kami untuk beristiqamah dalam berwakaf pada jalan-Mu, ya Allah SWT, demi kebaikan dan kemaslahatan umat Muslimin keseluruhannya.

Ya Razzaq!  Berkatilah  hamba-Mu  yang  melaksanakan  tuntutan  zakat,  wakaf  dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal  Jalaali  Wa  al-Ikram!  Jadikanlah kami  antara  hamba-Mu  yang  memelihara amanah. Kuatkan iman dan hati kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Qahhar, Ya Jabbar! Jauhilah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 13 Mei 2022, “Wakaf Tunai ke Arah Memperkasakan Pembangunan Ekonomi Ummah”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.