Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeseri – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa seseorang yang hebat itu selalunya mempunyai cara untuk mengatasi kesukaran dalam hidupnya. Selain itu, sifat reda dan yakin kepada Allah SWT dan kuat dalam menghadapi segala rintangan yang mendatang juga perlu ada dalam diri seseorang.
Titah baginda itu disampaikan selepas berkenan berangkat singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf, Midah Hasin, 76 tahun yang merupakan penerima ‘Bantuan Fitrah MAIPs’ dan tinggal seorang diri di Beseri, Perlis baru-baru ini.
Tambah Raja Muda Perlis, seseorang individu itu juga perlu memiliki kualiti diri yang tinggi dan prinsip hidup yang positif, baik dalam kerjaya, pendidikan mahupun dalam menguruskan rumah tangga. Hal ini demikian kerana perkara ini akan menyerlahkan personaliti seseorang sebagai seorang yang kuat serta mempunyai nilai diri yang disegani.
Hadir sama mengiringi DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.