29 April 2022, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun 2022 seolah-olah memberikan sinar buat umat Islam yang ternanti-nanti kunjungan tetamu bernama Ramadan. Manakan tidak, setelah dua tahun umat Islam dibelenggu dengan pandemik COVID-19, Ramadan tahun ini disambut penuh kesyukuran dengan tadarus al-Quran, iftar dan moreh seperti tahun umat Islam bebas bergerak tanpa syarat dan gema suara imam dan bilal memecah suasana malam dengan soalat sunat tarawih dan tazkirah.

Kemeriahan ini jelas tatkala masjid dan surau seluruh negara mula membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan selepas YAB Perdana Menteri mengumumkan peralihan negara kepada fasa endemik pada 8 Mac 2022 yang lalu. Masjid dan surau mula menganjurkan semula program berbuka puasa, solat tarawih dan moreh sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. Ibarat bulan jatuh ke riba, begitulah perasaan seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam yang berkobar untuk menunaikan ibadat dalam bulan Ramadan kali ini.

Pejam-celik, Ramadan telah memasuki fasa ketiga. Kurang dari 10 hari umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal sebagai tanda meraikan kemenangan setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu diri sendiri. Masjid dan surau semakin giat menganjurkan program iktikaf dan qiamullail. Pada waktu ini, umat Islam digalakkan untuk menggandakan amal ibadat. Tambahan lagi, malam yang dijanjikan lebih baik daripada seribu bulan atau lailatulqadar dijangka berlaku dalam fasa ini, seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Qadr, ayat ketiga yang bermaksud, “Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.” Malah, Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya untuk mencari malam yang penuh keberkatan ini seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Carilah malam al-Qadr itu pada 10 malam ganjil di akhir Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad).

Dalam kemeriahan pesta ibadat di masjid dan surau bagi menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan, kita tidak dapat lari daripada berbicara tentang suasana di dalam masjid dan surau. 20 hari melalui bulan berkat ini tanpa culas mengerjakan solat sunat tarawih di masjid, beberapa penelitian dapat dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap masyarakat setempat yang begitu bersemangat hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat fardu dan sunat secara berjemaah. Pada masa yang sama, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh pihak berkuasa tetap dipatuhi oleh setiap jemaah yang datang.

Umum mengetahui bahawa walaupun SOP masih lagi terpakai di setiap tempat awam di Malaysia, namun terdapat beberapa kelonggaran yang telah diberikan. Antaranya termasuklah tiada lagi penjarakan fizikal satu meter antara para jemaah ketika menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau. Sesungguhnya, kelonggaran inilah yang dinanti-nantikan oleh para jemaah seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri, “Rakyat mahu rapatkan saf semasa solat berjemaah di masjid. Selepas ini, Imam sudah boleh berkata, ‘rapatkan saf’ kerana kita tidak lagi menetapkan satu meter sebagai penjarakan sosial …”.

Pengumuman ini membolehkan ahli masjid dan surau menarik nafas lega kerana sudah pasti solat berjemaah dengan saf dirapatkan amat dirindui oleh mereka. Namun, sejauh manakah keadaan saf-saf di masjid dan surau ini dirapatkan? Walaupun saf telah dibenarkan “rapat” seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, tetapi hakikatnya yang berlaku kini adalah “saf sejadah” yang dirapatkan, bukannya para jemaah.

Jika diimbas kembali, sebelum kewujudan SOP penjarakan fizikal di tempat awam ini dikuatkuasakan, penjarakan saf ini hakikatnya telah berakar umbi dalam kalangan segelintir jemaah di masjid mahupun di surau, terutamanya jemaah wanita. Mereka lebih gemar menjadikan beg tangan dan beg telekung sebagai “jemaah” yang merapatkan jarak antara diri mereka dengan jemaah yang lain. Mengapakah hal ini berlaku sedangkan imam sentiasa mengingatkan para jemaah setiap kali sebelum mengangkat takbiratul ihram? Adakah kerana keegoan dan kepentingan diri? Atau tohornya ilmu berkenaan hal ini? Nah, bermuhasabahlah!

Bagaimanakah konsep merapatkan saf yang sebenarnya? Memetik kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan dalam portal rasminya pada tahun 2019 yang menyentuh berkenaan isu merapatkan saf atau dalam istilah bahasa Arabnya, ilzaq. Beliau berkata, “Ilzaq merupakan sunah yang dianjurkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam mendirikan saf, iaitu dengan cara merapatkan kaki dan bahu serta meluruskan barisan. Namun ilzaq ini perlu dilakukan secara berhemah agar tidak menyakiti jemaah bersebelahan. Adalah penting untuk merapatkan saf kerana Ibnu Hajar menyatakan bahawa mereka yang memutuskan saf tergolong dalam kalangan mereka yang berdosa besar.” Beliau juga menyarankan agar para jemaah menghidupkan kembali sunah yang semakin ditinggalkan ini.

Umum mengetahui bahawa merapatkan saf tidak termasuk dalam syarat sah solat. Mungkin hujah itulah yang digunakan oleh segelintir masyarakat yang memandang enteng akan sunah ini. Meskipun begitu, Rasulullah SAW tidak akan menyarankan sesuatu yang sia-sia. Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari menyatakan, hadis tentang merapatkan saf ialah suatu penegasan yang diambil berat oleh Nabi SAW kerana merapatkan saf itu berhubung kait dengan rahmat Allah kepada hamba-Nya. Dalam pada itu, dengan merapatkan saf juga, dapat memupuk sikap kesatuan hati dalam kalangan umat Islam.

Jelaslah bahawa umat Islam perlu kembali menitikberatkan tentang perihal merapatkan saf jemaah berbanding dengan “merapatkan saf sejadah” demi menzahirkan kesungguhan kita dalam beribadat secara berjemaah. Hal ini dikatakan demikian kerana Islam sangat menuntut umatnya tekun (itqan) dalam melaksanakan apa-apa jua pekerjaan terutamanya dalam beribadat seperti firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud; “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku adalah kerana Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” Alangkah baiknya, jika kita mampu merapatkan saf seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.