21 April 2022, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramadan! Banyak yang hendak diperkatakan tentang bulan rahmat ini.  Selain syariat berpuasa yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam yang cukup syaratnya, bulan ini menyimpan 1001 rahsia Allah SWT untuk hamba-Nya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Allah SWT berfirman yang bermaksud, ‘Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan memberi balasannya.’” (Hadis riwayat Bukhari, no. 1771).

Allah  SWT menjelaskan lagi sebagaimana yang diriwayatkan  oleh Abu  Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “…Dan puasa itu adalah benteng, maka apabila suatu hari seorang daripada kalian sedang melaksanakan puasa, maka janganlah dia berkata buruk dan bertengkar sambil berteriak. Jika ada orang lain yang menghinanya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah dia mengatakan ‘Aku orang yang sedang berpuasa’. Dan demi zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada harumnya minyak misik. Dan untuk orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan kedua-duanya, iaitu apabila berbuka dia bergembira dan apabila berjumpa dengan Rabnya dia bergembira disebabkan ibadat puasanya itu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ternyata ibadat puasa amat istimewa di sisi Allah SWT. Ibadat tersebut akan tetap menjadi rahsia Allah SWT hatta ganjaran pahala bagi orang-orang yang berpuasa pun tidak diketahui. Tetapi tidak pada amalan yang lain apabila Allah SWT menyebut dalam firman-Nya yang bermaksud, Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan, maka baginya sepuluh ganjaran pahala.” (Surah al-An’am, 6:160).

Dalam pada itu, Imam Malik dalam kitab Muwatta’ menyebut, Semua amal baik akan dilipat gandakan pahalanya 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda yang dikehendaki oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud, “…kecuali puasa, sesungguhnya puasa untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” Manakala al-Imam Ibn Utsaimin menjelaskan, “Puasa adalah rahsia antara seorang insan dengan Rabnya. Seorang insan yang berpuasa, tidak diketahui apakah dia benar-benar berpuasa atau tidak, sehinggakan isi hatinya juga tidak diketahui Sehingga orang yang benar-benar berpuasa sudah pasti orang yang paling besar keikhlasan dan ketulusannya. Maka Allâh SWT memberikan keistimewaan untuk ibadat ini. ”

Memberi makan orang berpuasa

Apabila berbicara tentang ibadat puasa, banyak ruang dan peluang yang Allah SWT sediakan khususnya bagi “pemburu” pahala yang sering menantikan kedatangan bulan Ramadan. Antara yang dijanjikan pahala yang cukup besar ialah memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa. Hal ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya, dan Allah SWT akan memberikan dia minum daripada Haudh (telaga)-Nya dengan minuman yang akan menyebabkan dia tidak akan dahaga selamanya sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah, no.1878). Bahkan al-Tirmidzi meriwayatkan bahawa, “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Allah SWT menjanjikan pahala yang cukup besar bagi mereka yang memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa walau dengan sebiji tamar atau air.

Walau bagaimanapun, timbul persoalan tentang jenis makanan yang bagaimanakah layak untuk mendapat pahala sebagaimana yang dijanjikan? Menyentuh tentang hal ini, Imam Ibn Muflih ada menyebut dalam al-Furu’ (3/73), “Yang zahir daripada pendapat para ulama adalah apa-apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadis) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka.” Dalam hal ini dapat difahami bahawa, walaupun pemberian makanan itu hanya sebiji tamar atau segelas air, hal ini turut mendapat ganjaran pahala memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa. Pun begitu, ganjaran pahala itu akan menjadi lebih besar sekiranya makanan yang diberikan dapat mengenyangkan orang yang berbuka puasa.

Bersahur

Bersahur merupakan perkara yang sering kali diabaikan oleh kebanyakan orang apabila berpuasa. Bersahur mempunyai kelebihan yang tersendiri di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.”

Allah SWT menyebut dalam firman-Nya, waktu manusia bangun untuk bersahur, adalah waktu yang penuh dengan keberkatan. “Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa-apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa. Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun pada waktu sahur.’” (Surah Ali Imran, 3:15-17).

Menjadi satu kerugian bagi mereka yang meninggalkan amalan ini apatah lagi apabila bangun untuk sahur menjadi titik perbezaan di antara puasa bagi golongan ahli kitab dengan orang Islam. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Perbezaan bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.” Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa, “Perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dengan puasa mereka (ahli kitab) ialah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur.”

Dalam pada itu, Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut, Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan hal ini dapat menguatkan tenaga bagi melakukan ibadat puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur.”

Umat Islam digalakkan untuk bersahur dengan buah tamar sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik sahur orang Mukmin adalah dengan buah tamar.” (Hadis riwayat Abu Dawud, no. 2345). Waktu yang afdal untuk bersahur ialah waktu yang hampir kepada waktu subuh. Zaid bin Thabit r.a. berkata, “Kami telah bersahur bersama-sama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun untuk mendirikan solat. Aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda, ‘50 ayat.’” (Hadis riwayat Muslim, no.1097, al-Nasai, no.2155, dan Ibn Majah, no. 1694). Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan, “Maknanya, jarak antara kedua waktu tersebut adalah kadar bacaan 50 ayat al-Quran serta digalakkan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar.”

Sesungguhnya, terlalu banyak hikmah dan keberkatan yang dapat diraih dalam bulan Ramadan yang dirindui kehadirannya ini. Hal ini dikatakan demikian kerana belum pasti kita akan dapat bertemu semula dengan Ramadan pada tahun berikutnya. Maka itu, ruang dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT pada kali ini janganlah disia-siakan.Semoga Ramadan kali ini menjadi madrasah untuk kita istiqamah dalam melaksanakan ibadat pada bulan berikutnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan yang paling Allah suka ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.