15 April 2022, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui Pejabat Cawangannya di Perlis menyumbangkan zakat berjumlah RM5000 kepada Masjid Al-Mursyid Guring, Pauh bagi meringankan beban asnaf dalam kalangan anak-anak kariah masjid berkenaan.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan berangkat menyaksikan acara penyempurnaan penyerahan cek contoh (mock cheque) oleh Pengurus SSM Cawangan Perlis, Encik Ahmad Nizam Samsoo kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail pada petang semalam.

Menurut Encik Ahmad Nizam, setiap tahun SSM tidak ketinggalan menyambut ulang tahun penubuhannya pada tanggal 16 April dan program itu telah dijadikan sebagai satu acara tahunan SSM bagi memperingati sejarah perjalanannya dalam melakar pelbagai pencapaian yang membanggakan.

“Tahun 2022 ini SSM telah melangkah dua dekad lamanya. Oleh itu, pelbagai pengisian aktiviti telah dirancang melibatkan peringkat ibu pejabat, pejabat negeri dan juga cawangannya di seluruh negara. Tidak terkecuali aktiviti di bawah agihan wakalah zakat dan peruntukan CSR SSM,” katanya.

Beliau berharap agar sumbangan zakat yang diberikan dapat mengimarahkan lagi aktiviti di masjid berkenaan. Pada masa yang sama menjadi harapannya juga agar program berbentuk agihan zakat ini dapat membantu menyantuni golongan asnaf dan memberikan nilai tambah kepada SSM sebagai sebuah organisasi yang cakna dan prihatin terhadap nasib rakyat yang mengalami kesempitan hidup dan susah.

“SSM Cawangan Perlis turut memperuntukkan agihan zakat berjumlah RM15 000 kepada golongan asnaf fakir miskin terpilih yang telah dikenal pasti melalui kerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.