15 April 2022, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjelang hari Nuzul al-Quran, “Al-Quran: Mukjizat Kurniaan Ilahi” merupakan tajuk yang sesuai dibincangkan untuk renungan masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Al-Quran  ialah kalam Allah SWT yang mengandungi mukjizat terbesar, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bermula pada bulan Ramadan, secara berperingkat-peringkat, mengambil masa 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.  Susunan al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah; keseluruhan al-Quran mengandungi 323 761 huruf, 77 437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah dan 30 juzuk.  Al-Quran mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri dan berperanan sebagai panduan kehidupan dan petunjuk. Al-Quran merupakan sumber rujukan yang lengkap tentang pelbagai aspek kehidupan merangkumi perundangan, pentadbiran, politik, peperangan, sosial, ekonomi, sains, teknologi, kebajikan, kekeluargaan, dan pelbagai perkara lagi yang bertunjangkan prinsip keadilan sejagat.

Al-Quran bukan sekadar membimbing manusia menuju kebahagiaan dunia dan akhirat, malah menjadi penawar rohani dan jasmani. Apabila mendengar ayat-ayatnya dan  dibaca, begitu mendamaikan jiwa, tidak menjemukan walaupun dibaca berulang kali. Allah SWT mengurniakan ganjaran bagi setiap huruf yang dibaca apatah lagi jika dihafal, dihayati dan diamalkan isi kandungannya. Oleh itu, perbanyakkanlah membaca al-Quran, kerana Nabi SAW menjanjikan ganjaran yang amat besar seperti sabda Baginda,

إِقْرَءُو اْلقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ اْلقِيَامَةِ شَفِيْعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia datang kepada pembacanya sebagai syafaat pada hari akhirat. (Hadis riwayat Muslim, no. 805).

Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk membentuk peribadi mulia, melahirkan modal insan yang cemerlang, seterusnya membina tamadun berpaksikan tauhid. Sejak al-Quran diturunkan, masyarakat Arab, khususnya umat Islam mengalami perubahan dalam kehidupan yang lebih bermakna. Para sahabat Baginda SAW menjadi produktif, berani, berprinsip, berdisiplin, menjulang kebenaran dan menegakkan keadilan. Selepas kewafatan Baginda SAW, gabungan al-Quran dan hadis telah menjadi tonggak utama yang membantu membangunkan peradaban Islam yang gemilang melalui barisan kepimpinan generasi sahabat dan diteruskan oleh generasi berikutnya.

Generasi para sahabat menjadikan al-Quran sebagai rujukan dan menerokai mukjizatnya. Mereka mengambil manfaat al-Quran dengan memahami dan mengamalkan kandungannya  sehingga  berjaya membina budaya hidup bertamadun tinggi. Mereka tidak memisahkan dunia dengan akhirat, malah dunia ditadbir urus sebaik mungkin menurut prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran. Mereka sedar bahawa al-Quran ialah sumber kekuatan ilmu bagi umat Islam. Al-Quran berperanan memberikan petunjuk dan ilham hingga terlahirnya tokoh ilmuwan dan pemikir seperti Imam al-Syafii, Imam al-Bukhari, Ibn Khaldun dan al-Khawarizmi.

Untuk mencapai tahap kegemilangan, umat Islam wajib berpegang pada al-Quran, menghayati seluruh nilai yang ada untuk diamalkan secara penuh. Jika ayat al-Quran dibaca tanpa fahaman dan jika ayat-ayat al-Quran dibaca tanpa penghayatan, roh  al-Quran tidak akan meresap dan hidup dalam jiwa insan. Hal ini dikatakan demikian kerana pada hari ini, kita menyaksikan masih terdapat orang yang tanpa segan silu dan tanpa malu melakukan pelbagai  kemungkaran, seperti bersifat munafik, berdusta, merompak dan mencuri, melakukan rasuah dan pecah amanah, mengamalkan riba, berzina, derhaka kepada ibu bapa, dan melakukan pelbagai kemungkaran.

Pelbagai usaha perlu dirintis untuk menghidupkan minat untuk mencari rahsia yang dapat membantu anak-anak memahami tujuan al-Quran diturunkan.

Pendidikan al-Quran hendaklah bermula sedari awal. Nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran hendaklah disemai sewaktu anak-anak masih kecil. Kaedah pengajaran al-Quran perlu ditingkatkan daripada sekadar membaca dan menghafal kepada memahami dan menghayati. Kaedah mengajar al-Quran yang berupaya menyemai rasa kasih anak-anak kepada al-Quran hendaklah diterokai, diperkenalkan dan dilaksanakan. Pelbagai usaha perlu dirintis untuk menghidupkan minat anak-anak yang ingin mencari rahsia yang dapat membantu mereka memahami tujuan al-Quran diturunkan, serta memperoleh rahmat dan pelajaran yang terkandung di dalamnya selaras dengan ayat 29 Surah Sad yang bermaksud, “Al-Quran yang Kami turunkan kepadamu penuh berkat agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sihat mendapat pelajaran.”

Sehubungan dengan itu, umat Islam diseru dengan peringatan seperti yang berikut:

Pertama: Al-Quran ialah kitab ilmu yang mengandungi pelbagai pelajaran dan hikmah, penerangan dan pentunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.

Kedua: Dampingkanlah diri dengan al-Quran, dengan menjadikan amalan membacanya meskipun bermula dengan sepotong ayat setiap hari. Fahami maknanya, hayati hikmah yang terkandung dalamnya, dan jadikannya sebagai panduan dalam kehidupan harian.

Ketiga: Jadikan al-Quran sebagai teman hidup, kelak al-Quran menjadi teman setia ketika kita bersendirian di alam barzakh, dan al-Quran akan memberikan pertolongan ketika kita berada di Padang Mahsyar.

Keempat: Jadikan kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran sebagai sumber motivasi dalam kehidupan, penawar kepada kesedihan, penyembuh kepada keperitan ujian, dan peneguh jiwa dan hati, serta penunjuk kepada jalan yang lurus.

Kelima: Diusahakan dan diperkenalkan cara pengajaran al-Quran yang menggunakan teknologi moden agar dapat menarik minat anak-anak supaya suka dan tidak berasa bosan sewaktu mempelajari al-Quran.

Keenam: Al-Quran hendaklah dipelajari sepanjang hayat dan tidak berhenti di peringkat boleh membaca dan menghafal sahaja. Mempelajari al-Quran juga hendaklah diteruskan ke peringkat memahami dan menghayati dan seterusnya mengamalkan isi kandungannya.

Kita diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiyah berteraskan ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah, Ya Rabb al-‘alamin! Engkau muliakan kami dengan al-Quran. Dengannya Engkau mudahkan urusan kami, berkatilah rezeki kami, bimbinglah kehidupan kami, lapangkan dada kami, kurniai kami dengan keafiatan, luaskan kubur kami dan masukkan kami bersama-sama anak cucu kami ke dalam syurga-Mu.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalali wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Malik al-Mulk! Jauhkanlah negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 15 April 2022, “Al-Quran Mukjizat Kurniaan Ilahi”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.