2 April 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah menerima surat kelulusan naik taraf kepada Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada petang semalam.

Surat kelulusan berkenaan telah dipersembahkan ke hadapan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Tuanku Canselor KUIPs oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar di Galeri DiRaja Arau.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa menerima surat kelulusan naik taraf KUIPs kepada UniSIRAJ pada petang semalam.

Pada 21 Mac 2022 yang lalu, pihak Pengurusan Tertinggi KUIPs telah menerima surat Kelulusan Penubuhan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang diluluskan oleh Menteri Pengajian Tinggi di bawah perenggan 10(1)(a) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dengan nama IPTS yang diluluskan, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Permohonan Penubuhan Naik Taraf KUIPs kepada universiti ini telah dilakukan secara atas talian melalui sistem e-IPTS, JPT pada 20 September 2021. Pada 5 November 2021, KUIPs menerima Lawatan Kunjungan Hormat Delegasi JPT yang dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. M. Hafiz Yusoff selaku Pengarah Bahagian Governan IPTS bagi tujuan sesi penilaian awal permohonan penubuhan naik taraf kepada universiti penuh yang telah dikemukakan.

Majlis penyerahan kelulusan pada petang semalam turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Standard Swasta Jabatan Pendidikan Tinggi, YBrs. Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood dan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, YBhg. Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Rektor KUIPs, YBrs. Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Menerusi majlis yang diadakan, YBrs. Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi ketika ditemui melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan berazam untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dirintis oleh kepimpinan terdahulu dalam merealisasikan UniSIRAJ. Jelas YBrs. Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi:

Dengan perancangan yang teliti melalui Pelan Strategik yang telah ditetapkan, dengan dipandu oleh Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs, UniSIRAJ yang dimiliki KUIPs Sdn. Bhd., sebuah subsidiari MAIPs, akan menyuburkan budaya ilmu dan ketamadunan Islam sekali gus memberikan impak kepada ummah sejahtera.

Dalam hubungan itu, YBhg. Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs, turut berharap agar UniSIRAJ akan menjadi sebuah gedung ilmu yang dibanggakan selari dengan hasrat penubuhannya oleh MAIPs.

KUIPs ditubuhkan pada 17 Jun 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 dengan jumlah pelajar sebanyak 61 orang. Program yang ditawarkan pada waktu itu ialah program pengajian Asasi Muamalah dan Diploma Perbankan Islam. Sehingga April 2022, terdapat lebih 20 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan JPT.

Pengambilan dan kemasukan pelajar baharu KUIPs dibuka dua kali setahun, iaitu ambilan Februari dan juga September bagi kesemua Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan serta Fakulti Al-Quran dan Sunnah. Bagi mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di KUIPs, permohonan bolehlah dibuat secara dalam talian melalui www.syskuips.edu.my atau melayari www.kuips.edu.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.