2 April 2022, 07:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menyempurnakan pelancaran kadar zakat fitrah bersempena dengan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Tapak Cerapan Hilal Negeri Perlis, Kompleks Masjid Al-Hussain Kuala Perlis semalam.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menyempurnakan pelancaran kadar zakat fitrah bersempena dengan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H.

Menjunjung titah perkenan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, kadar zakat fitrah bagi negeri Perlis kekal RM7 pada tahun ini.

Penetapan kadar itu selaras dengan kelulusan Persidangan Mesyuarat MAIPs yang telah memperakukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini berdasarkan harga beras yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.

Selain bayaran secara tunai, kadar pengeluaran zakat bagi umat Islam yang menunaikannya menggunakan beras adalah sebanyak Satu Gantang Nabawi bagi setiap seorang bersamaan dengan 2.6 kilogram.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan pelancaran penerbitan Sebaran Adab-adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Turut mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sekitar majlis pelancaran kadar zakat fitrah bersempena dengan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H.

Menurut Mufti Negeri Perlis, Dato Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, sebaran penerbitan berkenaan adalah bertujuan untuk menggalakkan umat Islam agar sentiasa menghayati dan mengamalkan adab-adab berbuka puasa yang bertepatan dengan sunah Rasulullah SAW.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut mengingatkan umat Islam yang tinggal di Perlis berkaitan dengan kewajipan mengeluarkan fitrah sepertimana yang ditetapkan itu bagi dirinya dan anak isterinya, begitu juga bagi tanggungan-tanggungannya.

Untuk mengeluarkan zakat fitrah, umat Islam di Perlis boleh mengeluarkannya melalui amil-amil kariah di seluruh negeri Perlis atau menunaikannya secara dalam talian melalui pautan https://www.maips.gov.my/pwa/fpx/fpxMain.php.

Untuk maklumat lanjut, umat Islam boleh melayari www.maips.gov.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.