1 April 2022, 23:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setelah lebih dua tahun disyaratkan mematuhi pelbagai langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan virus COVID-19, alhamdulillah bermula solat subuh Jumaat, 1 April 2022, umat Islam tidak lagi perlu melakukan penjarakan fizikal, malah dibenarkan merapatkan saf semasa solat berjemaah. Perkembangan ini disambut dengan penuh kesyukuran. Setelah lebih dua tahun, umat Islam menghadapi ujian dengan penuh tabah, sabar dan reda, akhirnya doa kita dimakbulkan Ilahi. Hari ini, kita telah mencapai kemenangan awal dan merayakan khabar gembira menjelangnya Ramadan yang akan tiba.

Negara mula memasuki fasa “peralihan ke endemik” sebagai langkah awal untuk membolehkan rakyat kembali semula kepada kehidupan yang biasa. Perkataan endemik merujuk penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan seperti denggi, demam campak dan malaria. Dengan erti kata lain, masyarakat hendaklah memahami bahawa virus COVID-19 akan terus berada dalam hidup kita. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk berikhtiar menjaga diri dan ahli keluarga daripada jangkitan penyakit ini.

Sehingga 16 Mac 2022, data Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan bahawa berlaku hampir empat juta (3 900 433) kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara, mengakibatkan lebih 34 ribu (34 099) kematian. Di negeri Perak, berlaku hampir 173 ribu (172 828) kes jangkitan, dan lebih 1670 kematian disebabkan virus ini.

Sesuai dengan fasa peralihan, masyarakat diseru agar segera mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 sebagai langkah untuk meningkatkan daya tahan tubuh dan perlindungan daripada jangkitan. Dos penggalak ialah dos tambahan yang diberikan kepada orang yang telah lengkap menerima dua vaksin. Perlu difahami bahawa walaupun telah menerima dua dos vaksin, kesan kekebalan vaksin mula berkurangan selepas tempoh masa tertentu. Berdasarkan kajian, purata kekebalan bagi orang yang lengkap dua dos vaksin menurun antara 20 hingga 40 peratus, antara tempoh tiga hingga lima bulan selepas menerima dos kedua. Oleh itu, dos penggalak diberikan untuk meningkatkan semula kekebalan tersebut.

Pengambilan dos penggalak dipercayai akan memberikan perlindungan yang lebih berkesan daripada jangkitan COVID-19.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan dos penggalak, insya-Allah dapat mengembalikan daya kebal tubuh untuk memberikan perlindungan lebih berkesan daripada jangkitan. Pengambilan dos penggalak juga insya-Allah dapat mengurangkan risiko kematian berbanding dengan mereka yang tidak mengambil dos penggalak. Oleh itu, rakyat diseru melakukan ikhtiar dalam usaha mengurangkan jangkitan, sekali gus membantu meringankan beban petugas kesihatan yang sudah begitu penat. Mengambil vaksin dan mengambil dos penggalak ialah ikhtiar, selaras dengan ayat al-Quran dan hadis yang menyeru umat untuk berikhtiar.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159,

Maksudnya: “Kemudian setelah kamu membulatkan tekad (dengan usaha) maka bertawakallah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Selain itu, Rasulullah SAW juga telah bersabda,

Maksudnya: “Hendaklah kamu merawat (penyakit), kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan Dia turut menyediakan penawar baginya, melainkan satu penyakit sahaja, iaitu ketuaan.”

                                                                              (Hadis riwayat Abu Dawud, no. 3885)

Masyarakat diseru menyahut nasihat untuk mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak. Sehingga 16 Mac 2022, hampir 75 peratus rakyat di negeri Perak telah mendapat sekurang-kurangnya dua dos vaksinasi, manakala hanya 35 peratus daripada kanak-kanak yang layak telah menerima suntikan. Ibu bapa dengan bantuan nasihat guru hendaklah memberikan keyakinan, agar lebih banyak kanak-kanak yang layak, tampil ke hadapan mengambil suntikan.

Rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa jumlah penduduk di negeri ini yang menerima suntikan penggalak masih rendah, terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar dan umat Islam. Jawatankuasa masjid dan surau pula diseru agar membantu mengenal pasti ahli kariah masing-masing yang perlu dibimbing pemahaman mereka, agar bersedia mendapatkan suntikan. Malah, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, pekarangan masjid dan surau boleh dijadikan tempat memberikan khidmat suntikan.

Pelbagai kelonggaran yang diberikan dalam tempoh melangkah ke fasa “peralihan ke endemik” tidak bermakna ancaman virus COVID-19 telah berakhir. Perkara-perkara asas mengawal jangkitan masih perlu dipatuhi. Walaupun umat Islam berhasrat agar kelonggaran yang selonggar-longgarnya dapat diberikan, untuk membolehkan pelbagai aktiviti dilaksanakan, bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, namun biarlah kita mengamalkan budaya berdikit-dikit dahulu. Kesungguhan mematuhi peraturan dan disiplin tidak melanggar sekatan yang masih dikenakan, diharap akan dapat merendahkan angka jangkitan; semoga kemenangan awal kita dapat menyambut Ramadan dalam suasana lebih ceria berbanding dengan dua Ramadan yang lalu, akan dituruti dengan kemenangan lebih besar untuk menyambut Syawal yang lebih riang gembira.

Fasa “peralihan ke endemik” telah membenarkan umat Islam untuk melakukan ibadat pada bulan Ramadan tanpa penjarakan fizikal.

Dengan hal yang demikian, umat Islam diberikan peringatan yang berikut:

Pertama: Bahawa virus COVID-19 masih berlegar dalam kehidupan alam, dan rakyat jangan sama sekali bersifat alpa.

Kedua:  Menggalakkan ahli masyarakat termasuklah kanak-kanak mengambil suntikan vaksin dan mengambil dos penggalak dalam kalangan yang telah lengkap dua suntikan.

Ketiga: Mematuhi amalan kesihatan serta langkah pencegahan yang ditetapkan untuk merendahkan angka jangkitan ketika menganjurkan aktiviti di masjid dan surau, agar Aidilfitri pada tahun ini dapat disambut dalam suasana meriah dan ceria. Jemaah dinasihati terus memakai pelitup muka, digalakkan berwuduk dari rumah, dan digalakkan membawa sejadah masing-masing ketika ke masjid dan surau.

Keempat: Menyeru masyarakat agar tidak terpedaya dengan hasutan yang menyebarkan maklumat palsu mengenai vaksin. Ketika ini terdapat kumpulan antivaksin yang cuba menimbulkan kekeliruan dengan mengaitkan vaksin dengan teori konspirasi dan khabar palsu. Akibatnya, dikhabarkan masyarakat Melayu lebih mudah mempercayai teori konspirasi daripada mempercayai nasihat pakar perubatan dan pakar agama. Elakkanlah diri daripada terpengaruh dengan khabar dan cerita yang tidak berasaskan ajaran Islam.

Kelima:  Perbanyakkan ibadat sempena Ramadan yang penuh barakah melalui aktiviti bertadarus, bersolat tarawih, beriktikaf, berqiamullail dan seumpamanya; perbanyakkan bersedekah, berinfak, berwakaf, serta menziarahi orang tua, orang yang uzur dan daif, membantu fakir miskin dan mengunjungi anak yatim; meriahkan masjid dan surau agar keceriaan dan syiar Ramadan terserlah memancarkan cahaya.

Masyarakat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya, Allah! Ya, Rabb al-‘alamin! Engkau peliharalah kami daripada segala kemudaratan wabak penyakit; semoga kami dapat menjalankan ibadat puasa dengan bertenaga, ketenangan dan ketenteraman sepanjang Ramadan, selanjutnya berpeluang bertakbir menyambut Syawal.

Ya, Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya, Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya, Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 1 April 2022, “Ramadan Dihayati, Kemudaratan Dihindari”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.