25 Mac 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemurungan merupakan gangguan yang melibatkan perubahan pemikiran, emosi, perasaan dan tingkah laku yang menyebabkan kehidupan seharian seseorang menjadi sukar. Jika tidak dirawat, hal tersebut akan memberikan kesan yang buruk terhadap individu dan masyarakat, malah negara.

Di sebalik isu kemurungan ini, perlu difahami bahawa fitrah manusia sememangnya merasai pelbagai jenis perasaan sama ada hiba, sedih, bimbang dan putus asa. Akan tetapi, jika perasaan itu berlebihan dan berpanjangan, maka akan mendatangkan masalah kesihatan mental yang menjejaskan kehidupan. Oleh hal yang demikian, langkah sewajarnya perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

Sementara itu, kes kemurungan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah dilihat semakin hari semakin meningkat. Akhbar Sinar Harian pada tahun 2020 melaporkan satu Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2017) yang menunjukkan bahawa satu daripada lima remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun mengalami kemurungan, dua daripada lima pula mengalami keresahan dan satu daripada 10 berdepan dengan stres.

Kajian yang sama juga mendapati bahawa trend peningkatan dalam perbuatan bunuh diri dalam kalangan remaja, iaitu peningkatan idea bunuh diri kepada 10 peratus pada tahun 2017 berbanding dengan 7.9 peratus pada 2012.

Dalam satu laporan akhbar Harian Metro pula, hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang sama yang dijalankan pada 2019. Trend ini amat membimbangkan. Malah ada sesetengah kes kemurungan yang membawa kepada kes bunuh diri. Malah, pandemik COVID-19 turut memberikan impak ketara terhadap kesihatan mental masyarakat apabila jumlah kes bunuh diri sepanjang tahun 2020 meningkat kepada 631 kes berbanding dengan 609 kes pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tiga bulan pertama tahun ini. Beliau berkata, pandemik COVID-19 ternyata memberikan impak yang amat besar terhadap kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan, terutama ketika berada dalam keadaan stres (tekanan) yang melampau serta isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai. (Berita Harian, 2021).

Berdasarkan isu yang diketengahkan ini, amat wajar kes kemurungan ini ditangani dengan sebaik mungkin melalui kepelbagaian kaedah alternatif. Satu daripada idea dan kaedah alternatif yang ingin dicadangkan dalam mengatasi masalah kemurungan ini adalah melalui pemerkasaan muzik hip hop yang ditambah nilai melalui lirik yang mengandungi unsur kerohanian dan ketuhanan.

Walaupun terdapat pelbagai reaksi dan pandangan terhadap genre muzik hip hop yang menyatakan bahawa muziknya dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral seperti kekerasan, seks, dadah dan perkauman, tetapi ramai yang tidak sedar sebenarnya “pejuang” genre tersebut membawa mesej yang baik dalam lagu dan lirik mereka. Malah ramai antara penyanyi hip hop popular pada peringkat dunia yang beragama Islam membawa mesej positif seperti French Montana, DJ Khaled, Yasiin Bey dan Mos Def. Malah, penerimaan muzik hip hop dalam kalangan remaja juga begitu tinggi.

Masalah kemurungan yang berpanjangan dapat menjejaskan kesihatan mental jika tidak diatasi.

Oleh hal yang demikian, idea mengatasi gejala kemurungan dengan pendekatan muzik hip hop ini merupakan satu percubaan rintis ke arah menyediakan alternatif terkini kepada remaja murung. Muzik hip hop atau rap ditakrifkan sebagai satu bentuk pengucapan yang mempunyai ritma tersendiri mengikut rentak muzik tertentu atau tanpa muzik. Berbeza dengan nyanyian yang terhasil daripada kreativiti lagu, nyanyian rap pula tercipta daripada lantunan kata-kata mengikut bit muzik tertentu. Kata-kata dalam muzik rap berbentuk ungkapan personaliti yang agak bersahaja sesuai dengan nada percakapan golongan remaja.

Secara sejarahnya, muzik hip hop bermula di Amerika Syarikat dalam kalangan remaja berkulit hitam yang hidup di pinggiran bandar. Muzik tersebut menjadi satu bentuk ekspresi jiwa bagi mengungkap kehidupan bermasalah warga kulit hitam yang dihimpit jenayah, dadah dan keciciran dalam pelajaran. Oleh hal yang demikian, peranan muzik hip hop sangat terkait dengan ekspresi hidup bermasalah.

Sehingga kini, muzik hip hop menjadi sangat terkenal di pentas antarabangsa dalam pasaran yang mencecah USD 15.7 bilion pada tahun 2016 dengan anggaran kenaikan USD 4.08 bilion setiap tahun. Kesannya, budaya hip hop turut menjadi pilihan dalam kalangan remaja di Malaysia.

Eksperimen semasa di Amerika Syarikat menjadikan hip hop sebagai jalan keluar kepada masalah kemurungan, termasuk menyelesaikan masalah komunikasi dan meningkatkan kemahiran prososial. Walaupun masih pada peringkat awal kajian, beberapa petanda positif menunjukkan remaja mampu berinteraksi dengan muzik hip hop popular dengan baik dan menilai buruk baik sesuatu lirik yang disampaikan.

Di Malaysia, penerimaan kepada budaya hip hop dilihat berbeza, iaitu elemen tempatan menjadikannya popular dalam kalangan remaja. Elemen ini termasuklah alunan muziknya serta lirik-lirik yang sederhana dan boleh diterima. Selain itu, elemen kerohanian juga banyak diterapkan dalam muzik tersebut.

Kesimpulannya, potensi terapi muzik hip hop bagi mengatasi masalah kemurungan dilihat ada sinarnya. Namun begitu, penerimaannya dalam kalangan dewasa masih kurang jelas kerana imejnya yang kurang baik terutamanya di Amerika Syarikat. Akan tetapi, dengan kesedaran budaya yang tinggi terutama dalam kalangan pemuzik, hip hop dilihat boleh diubah suai mengikut citra negara, bangsa dan agama di Malaysia. Lirik ke arah kemanusiaan, kerohanian dan ketuhanan mampu menjadi alternatif terbaik dalam mengatasi masalah kemurungan remaja atau pada semua peringkat. Kita boleh namakannya sebagai hip hop positif.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!