20 Mac 2022, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai mengajak semua masyarakat agar sentiasa melakukan muhasabah diriĀ  untuk menjadi insan yang lebih baik ke arah mencapai keredaan-Nya. Titah baginda:

Selalulah menilai diri sendiri atau melaksanakan penilaian kendiri masing-masing bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dan kesanggupan untuk menerima bahawa sebagai manusia, tiada yang sempurna. Sentiasalah juga berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang kita ada, agar mampu menjadi manusia yang lebih baik.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-A’la Behor Temak, Kangar baru-baru ini.

Menerusi sumbangan tersebut, amil bagi kariah berkenaan, iaitu Kamal Khairi Kasin diamanahkan untuk menerima sumbangan daripada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs untuk diagihkan kepada asnaf terpilih yang akan menerima sumbangan sebanyak RM700 setiap seorang.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, “Sentiasalah juga mengkaji bagaimana cara kita memberikan respons dalam apa-apa situasi yang mencabar dan penuh tekanan. Belajarlah untuk mengawal emosi walaupun jika berada dalam situasi yang genting dan mendesak sekali pun”.

Dalam titah baginda, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai juga mahukan setiap pemimpin di peringkat mana-mana sekali pun untuk sentiasa mengenal pasti bagaimana tindakan kita memberikan kesan kepada orang lain. Hal ini demikian kerana apabila seseorang itu menjadi ketua, pasti menuntut dirinya untuk membuat keputusan yang mungkin akan memberikan kesan kepada staf bawahan. Titah baginda lagi:

Letakkan diri anda di tempat mereka. Bagaimanakah perasaan anda jika anda diperlakukan sedemikian?

Mengiringi baginda dalam penyerahan sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!