1 Mac 2022, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – McDonald’s Malaysia menyerlahkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan dengan penyerahan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM100 ribu.

“Sudah  pasti dengan wang zakat ini dapat membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan dalam fasa penularan wabak yang sukar ini.” Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program berbasikal amal MAIPs bersama-sama McDonald’s Malaysia yang disekalikan dengan program kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-17 bagi tahun 2022 di sekitar Utan Aji.

Baginda amat berbangga dengan pihak pengurusan McDonald’s Malaysia yang bukan hanya mampu menunaikan zakat perniagaan mereka tetapi turut berjaya melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dalam menyantuni barisan hadapan, golongan asnaf, dan mereka yang memerlukan sepanjang tahun lalu.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, YBhg. Dato’ Azmir Jaafar dan Pengarah Perhubungan Kerajaan, McDonald’s Malaysia, YBhg. Datuk Seri Mohammed Nasir Rakhir. YBhg. Dato’ Azmir menyatakan bahawa beliau bersyukur kerana hasil daripada sokongan masyarakat, McDonald’s Malaysia berupaya untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam melaksanakan bayaran zakat korporat. Beliau berharap agar penyampaian Zakat Korporat McDonald’s ini dapat mengukuhkan lagi sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s.

Bersempena dengan program tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyempurnakan perasmian projek peningkatan sosioekonomi asnaf MAIPs  berupa perniagaan kerepek pisang yang diusahakan oleh Noorazlan Shah Noordin dari Kampung Guar Ujong Batu yang turut berniaga di salah satu destinasi rekreasi dan pelancongan popular terbaru negeri ini, iaitu Viewpoint Gunung Medan. Dalam majlis tersebut, beliau menerima peralatan untuk bengkel kerepek daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bernilai RM1000 dan juga balang bersaiz besar untuk keperluan mereka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.