23 Februari 2022, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kisah anak memukul ibu bapa, abang memukul adik atau adik memukul abang, suami memukul isteri, wanita menjual tubuh, ahli keluarga, pekerja dan jiran tetangga yang mengamuk berpunca daripada ketagihan dadah semakin kerap dilaporkan. Pada 16 Januari 2022, akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa seorang pemuda berusia 28 tahun dari Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor yang disyaki terlibat dengan dadah telah memenggal kepala ibunya. Kisah begini akan terus berlaku selagi penyalahgunaan dadah terus merebak dan gagal dibendung secara berkesan.

Kepelbagaian jenis dadah menjadi punca pertambahan jumlah penagih.

Meskipun sejak 19 Februari 1983 dadah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara dan pelbagai usaha telah digerakkan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan, namun bilangan penagih baharu terus dicatatkan. Corak penagihan dilaporkan telah berubah, di samping kepelbagaian jenis dadah. Selain dadah jenis tradisional seperti ganja, ketum, ubat batuk, heroin dan morfin, dunia telah  diperkenalkan dengan dadah jenis sintetik atau tiruan yang diproses dan dihasilkan melalui makmal seperti pil kuda, syabu, ekstasi dan ice yang semakin popular.

 

Rekod Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa sepanjang tahun 2021, hampir 53 000 orang penagih telah ditangkap dan ditahan. Dipercayai bilangan sebenar penagih dadah di dalam negara jauh lebih tinggi berbanding dengan yang ditangkap atau ditahan. Dalam tahun yang sama, polis berjaya membuat 9029 tangkapan pengedar dadah, di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya, dan jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dihukum gantung sampai mati; dan sejumlah 18 064 orang pengedar ditangkap di bawah Seksyen 39A akta yang sama, dan jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman lebih rendah. Di samping itu, polis turut berjaya menemui 19 pusat memproses dan membuat dadah, dengan rampasan dadah bernilai lebih RM108 juta. Pada tahun 2022, Polis Kontinjen Perak berjaya menemui dua pusat memproses dan membuat dadah di Pusing dan Jelapang. Hal ini melibatkan rampasan dadah bernilai lebih RM111 juta ringgit.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia atas kejayaan membanteras pengedaran dadah, terutama kejayaan menemui pusat memproses dan membuat dadah. Semoga anggota Polis Diraja Malaysia terus mendapat petunjuk Ilahi dan dikurniakan kekuatan untuk meningkatkan usaha menewaskan musuh nombor satu negara. Semoga anggota Polis Diraja Malaysia yang diamanahkan dengan tanggungjawab besar ini tidak akan ternoda dengan tawaran dan imbuhan yang mahu disogokkan oleh para peniaga dan penyeludup dadah.

Berpandukan maklumat Agensi Antidadah Kebangsaan, golongan belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun merupakan kategori penagih dadah tertinggi, yang mencatatkan 65 peratus daripada keseluruhan penagih. Jika kumpulan penagih ini gagal dipulihkan, mereka akan melalui hidup dalam kesengsaraan. Kebiasaannya, penagih dadah akan hilang arah tujuan hidup dan akan menghadapi masa hadapan yang kelam, menjadi warga yang tidak atau kurang produktif, serta menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara. Tubuh badan mereka memiliki daya tahan yang lemah, oleh itu mereka lebih mudah dijangkiti penyakit. Oleh sebab terdesak dan memerlukan wang untuk membeli dadah, ramai dalam kalangan mereka berakhir dengan melakukan pelbagai jenayah.

Penyalahgunaan apa-apa juga jenis dadah adalah haram kerana dadah memberikan mudarat kepada badan dan akal, bertepatan dengan hadis daripada Ummu Salamah:

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ وَمُفْتِرٍ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melarang daripada setiap perkara yang memabukkan dan melesukan.

      (Hadis riwayat Imam Abu Dawud no. 3686)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 15 hingga16 April 1982 memutuskan bahawa sebarang penyalahgunaan dadah, hukumnya haram. Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang mematuhi syarak.

Ketagihan dadah mengundang pelbagai konflik dalam kehidupan.

Dadah boleh mengakibatkan kerosakan fungsi pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, buah pinggang, tulang dan saraf. Dadah nyata memberikan akibat yang sangat buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kerukunan berumah tangga terjejas, keluarga menjadi porak-peranda, berselisih faham dan bergaduh, sehingga melibatkan kecederaan dan menyebabkan kematian. Masyarakat pula hidup gelisah kerana telah hilang ketenteraman apabila terpaksa berhadapan dengan penagih dadah. Kejadian jenayah seperti mencuri, meragut dan mengugut berlaku di persekitaran kawasan kediaman dilakukan oleh penagih yang terdesak untuk mendapatkan wang. Lebih malang lagi, negara kehilangan guna tenaga yang menjadi pewaris untuk meneruskan usaha membina sebuah negara maju lagi berdaulat. Pada masa yang sama, negara pula terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai usaha pencegahan dan pemulihan.

Sebelum nasi menjadi bubur, usaha pencegahan wajib dilipatgandakan. Petualang paling utama yang wajib diperangi ialah pengeluar, pembuat dan pengedar dadah. Mereka melihat dadah sebagai bahan dagangan untuk diniagakan bagi meraih keuntungan. Lebih ramai yang menagih dadah, maka akan lebih berkembang perniagaan mereka, dan lebih besar untung yang dapat diraih. Oleh itu, para peniaga dadah akan senantiasa berusaha untuk meluaskan pasaran dengan mencari penagih baharu. Mereka ini sebenarnya iblis bertopengkan manusia, golongan yang tidak layak dipanggil manusia kerana tidak langsung memiliki roh keinsanan. Mereka tergamak mendirikan mahligai kekayaan atas kesengsaraan mangsa dadah.

Semua pihak memainkan peranan yang penting sebagai barisan hadapan untuk membina generasi muda bebas dadah.

Para ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat, terutama para pemimpin agama dan belia hendaklah berada di barisan hadapan, melindungi anak-anak muda daripada menjadi mangsa. Perhatian hendaklah diberikan jika ada dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan sekerja yang memperlihatkan perubahan sifat. Perubahan sifat boleh dijadikan petanda awal kebarangkalian telah berlakunya penagihan. Antara perubahan sifat tersebut termasuklah:

Pertama: Daripada periang, gembira, ramah berbual, berfikiran cerdas serta mudah meluahkan perasaan berubah menjadi pendiam, runsing, murung, sugul, bercelaru dan memendam perasaan.

Kedua: Daripada cergas, tangkas, sihat dan bertenaga berubah menjadi kaku, uzur, lemah dan tidak bermaya.

Ketiga: Daripada suka menolong, menumpukan perhatian terhadap kerja dan boleh diharap berubah menjadi tidak peduli, tidak ada tumpuan terhadap kerja, cuai, lalai, tidak boleh diharap, tidak berminat dan lemah semangat.

Keempat: Daripada berterus terang dan boleh dipercayai berubah kepada suka berdalih dan tidak lagi boleh dipercayai.

Kelima: Daripada sikap optimistik kepada sikap pesimistik.

Keenam: Daripada tidak menghadapi masalah kewangan yang berat berubah kepada menghadapi masalah beban kewangan, dan tidak putus-putus membuat pinjaman daripada rakan dan adik-beradik.

Umat Islam disarankan kembali menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia agar terhindar daripada perkara yang merosakkan diri dan iman.

Umat Islam mestilah tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jauhi kami dan anak cucu kami daripada najis dadah, semaikan dalam jiwa kami rasa yang sangat benci dan jijik terhadap dadah.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman dan hati kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 18 Februari 2022, “Dadah Pemusnah Negara Bangsa”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.