8 Februari 2022, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

(Surah al-Nisa’ 4:58)

Ertinya: Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyempurnakan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil.

Manusia hendaklah menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. (Sumber foto: https://pixabay.com).

 

Amanah ialah sifat mahmudah, iaitu sifat terpuji. Lawan kepada sifat amanah ialah sifat khianat. Perkataan “amanah” berasal daripada bahasa Arab, dalam bentuk kata dasar (amina amanatan), bererti dapat dipercayai. Terdapat beberapa tafsiran mengenai istilah “amanah”. Menurut pandangan seorang tokoh ahli tafsir, Ahmad Musthafa al-Maraghi, “amanah” ialah sesuatu yang harus dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya; sementara Ibn al-Araby, mentafsirkan “amanah” sebagai segala sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya, atau sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya untuk diambil manfaatnya. Dapat disimpulkan bahawa “amanah” bermaksud menyampaikan hak kepada pemiliknya, atau tidak mengambil sesuatu melebihi haknya, dan tidak mengurangi hak orang lain. Dalam pengertian nilai dan akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan dengan melaksanakan segala tuntutan yang terkandung dalam kepercayaan yang telah diberikan.

Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang sangat besar kepada mereka yang berjaya menunaikan amanah. Diceritakan dalam Surah al-Mu’minun bahawa antara orang beriman yang berjaya di akhirat kelak ialah orang yang menunaikan amanah. Firman Allah SWT:

(Surah al-Mu’minun 23:8)

Maksudnya: (Telah berjayalah orang yang beriman, antaranya ialah) orang yang menunaikan amanah dan janji mereka.

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang Muslim penjaga khazanah (orang ramai) yang melaksanakan tugasnya dengan jujur, dan membayar sedekah kepada orang yang diperintahkan oleh majikannya secara sempurna, dengan segera dan dengan pelayanan yang baik, maka ia mendapat pahala yang sama seperti orang yang bersedekah.

(Hadis riwayat Muslim)

Orang yang tidak menunaikan amanah pula diancam sebagai golongan yang imannya sangat lemah. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menunaikan janji.

(Hadis riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW memberikan ingatan keras terhadap kalangan pemimpin yang gagal melaksanakan amanah melalui sabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kalian nanti akan sangat berebut-rebut terhadap kepemimpinan, akhirnya hanya penyesalan pada hari kiamat. Di dunia dia mendapatkan kesenangan, namun setelah kematian sungguh penuh derita.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ahmad Mustafa al-Maraghi membahagikan amanah kepada tiga jenis:
Pertama: Amanah manusia terhadap Tuhan.

Kedua: Amanah manusia terhadap orang lain.

Ketiga: Amanah manusia terhadap dirinya sendiri.

Amanah yang sering diabaikan oleh kebanyakan manusia ialah amanah terhadap orang lain; antaranya termasuklah amanah seorang suami terhadap isteri, amanah ibu bapa terhadap anak, amanah pekerja terhadap pekerjaan, amanah majikan terhadap pekerja, amanah orang kaya untuk membayar zakat dan amanah pemimpin terhadap rakyat. Sedarilah bahawa di akhirat nanti, setiap amanah akan disoal oleh Allah SWT! Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Ketahuilah setiap daripada kamu ialah pemimpin (yang mempunyai amanah), dan setiap daripada kamu akan disoal (di akhirat) tentang orang (yang diamanahkan).

Selain amanah terhadap pekerjaan, manusia juga perlu melaksanakan amanah terhadap keluarga mereka.                  (Sumber foto: https://pixabay.com).

Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz, hingga digelar sebagai Khulafa’ Rasyidin yang kelima, kerana sifat hebat menjunjung amanah, wajib dijadikan contoh. Ketika hayatnya, Khalifah Umar Abdul Aziz sangat berhati-hati menggunakan harta milik kerajaan, termasuklah memadamkan pelita yang menggunakan minyak milik kerajaan sebaik sahaja perkara yang dibincangkan tidak berkaitan dengan urusan kerja. Beliau menolak semua binatang tunggangan mewah milik khalifah sebelumnya, serta menyerahkan hampir seluruh hartanya dan juga harta yang dihadiahkan kepada isterinya kepada negara. Sifat amanah yang diamalkan oleh beliau telah berjaya mengawal khazanah negara daripada tiris kerana disalahgunakan. Pada era pemerintahan beliau, negara menjadi makmur dan rakyat hidup senang, sehingga tidak ada rakyat yang layak untuk menerima wang zakat. Ketika meninggal dunia, beliau hanya meninggalkan 17 dinar emas sebagai belanja pengurusan jenazah dan pusaka untuk dibahagikan kepada waris.

Antara contoh lain, pada tahun 1896, Theodor Herzl seorang pemuka Zionis bertemu Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Kerajaan Uthmaniah, menawarkan sejumlah wang, bertujuan membeli sebahagian daripada tanah di Palestin untuk dijadikan penempatan orang Yahudi. Beliau menyangka keadaan ekonomi empayar Uthmaniyyah yang sedang tenat, merupakan masa dan peluang terbaik untuk membeli tanah di Palestin. Walaupun sedang menghadapi hutang negara yang tinggi, atas sifat amanah yang kukuh, Sultan Abdul Hamid II tidak bersedia menggadaikan bumi Palestin, dan dengan tegas menolak tawaran wang daripada pemuka Zionis tersebut.

Dua contoh ini menyedarkan kita betapa pentingnya memelihara amanah terutama apabila melibatkan maruah agama, bangsa dan tanah air. Kebiasaannya, amanah boleh tergadai apabila manusia tewas kepada nafsu dan sifat haloba yang dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang dilaknati Allah SWT.

Sifat amanah, terutama dalam kalangan pemimpin amat penting untuk memastikan kedaulatan sebuah negara merdeka dapat dipertahankan. Dalam titah sempena Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pada 12 Januari 2021, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, menzahirkan peringatan agar umat Islam tidak menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah dan tidak ikhlas. Insaflah! Pemimpin yang beramanah akan berupaya memakmurkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyat; di sebaliknya negara akan musnah dan rakyat akan sengsara jika para pemimpin mengkhianati amanah.

Sifat amanah dalam kalangan pemimpin amat penting untuk memastikan kedaulatan sebuah negara.  (Sumber foto: https://pixabay.com).

Oleh itu, masyarakat diseru agar menginsafi perkara berikut:

Pertama: Menjunjung amanah yang diberikan dengan memenuhi tanggungjawab sesama insan agar diterima oleh Allah SWT sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran di dunia dan di akhirat.

Kedua: Bersifat tidak amanah, bererti bersifat khianat. Orang yang melakukan khianat akan diseksa dengan seksaan yang berat di akhirat.

Ketiga: Sifat amanah akan memakmurkan negara dan memajukan bangsa.

Keempat: Sifat khianat akan menyengsarakan kehidupan rakyat, menghancurkan negara dan membunuh tamadun.

Marilah kita secara istiqamah berpegang dengan akidah yang sahih, berterusan beribadat
dengan panduan yang sahih dan ikhlas. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman dan hati kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa dan harta benda bukan milik kami untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan amanah.

Ya Aziz, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami dalam kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas dan berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ya Razzaq, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan sedekah. Kurniai rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 28 Januari 2022, “Sifat Amanah”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.