30 Januari 2022, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Modal insan dalam sesebuah organisasi perlu diuruskan secara cekap dan berkesan untuk mencapai matlamatnya. Pendekatan strategik amalan pengurusan modal insan dalam aspek pemilihan, pembangunan dan pengurusan personel perlu diberi perhatian sewajarnya.

Keperluan mewujudkan tenaga sumber manusia berdaya saing ialah usaha yang harus diberi perhatian pada dekad ini baik di sektor awam mahupun swasta. Hal ini demikian kerana pembentukan modal insan yang berkualiti tinggi mampu menjana produktiviti berlipat ganda serta mengangkat martabat sumber manusia kelas pertama.

Peri pentingnya aspek pengurusan strategik dalam pengurusan modal insan tersebut disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih di Masjid Babul Ibadah, Kampung Chemumar, Arau pada pagi ini.

Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs lagi, modal insan merujuk sesuatu yang menjadi ‘bahan’ keperluan untuk menggapai sesuatu. Dalam perniagaan misalnya, modal diperlukan untuk menjana keuntungan dan membangunkan syarikat. Namun, dalam konteks pembangunan insan, modal bukan berbentuk material tetapi merujuk kemampuan, kualiti diri, ilmu, disiplin dan kemahiran yang wujud dalam diri seseorang individu atau perkhidmatan organisasi tersebut. Oleh itu, baginda menyeru agar pendekatan strategik dilaksanakan dalam pengurusan modal insan bagi mencapai perkara yang dihasratkan.

Dalam majlis sumbangan MAIPs oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, mereka yang disenaraikan dalam kalangan anak kariah Masjid Babul Ibadah, Kampung Chemumar masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang untuk diagihkan oleh amilnya, Mohd Yusof Ahmad. Turut mengiringi baginda semasa sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.