21 Disember 2021, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam sentiasa menganjurkan umatnya untuk menggunakan kata-kata yang baik sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa tutur kata merupakan antara perbuatan yang paling sukar dikawal oleh manusia yang mempunyai nafsu dan amarah. Setiap orang perlu berhati-hati dan menitikberatkan pemilihan kata setiap kali hendak berkomunikasi tanpa lidah atau jari ketika dikuasai oleh rasa marah, geram dan sakit hati. Dalam soal kesantunan berbahasa, masyarakat Malaysia terutamanya umat Islam sewajarnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan terbaik.

Kesantunan berbahasa dituntut oleh Islam ketika umatnya berkomunikasi antara satu sama lain. Bahkan, setiap umat Islam juga harus mengetahui adab dalam berinteraksi walau dalam apa-apa jua situasi. Allah SWT menitiberatkan pendidikan melalui teladan dan Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan termasuklah ketika berinteraksi.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab yang bermaksud: “Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik …” Bukan itu sahaja, Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah r.a. mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah r.a. menjawab, “Akhlak Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim). Hal ini membuktikan bahawa baginda merupakan contoh teladan terbaik dalam kesantunan berbahasa. Norfazila Haji Ab. Hamid dan Normazaini Saleh dalam tulisan mereka bertajuk “Kesantunan Berbahasa dalam Lakuan Pertuturan: Etika Berbicara Menurut Perspektif Islam” menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyarankan setiap tutur kata seseorang itu mestilah bertitik tolak daripada kalimah syahadah dan menuju ke arah keimanan, ketakwaan, dan amal soleh.

Larangan mengeluarkan perkataan yang tidak elok dan kesat

Masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda tidak lagi malu menggunakan perkataan yang kurang elok sama ada ketika bercakap atau ketika menulis di media sosial masing-masing. Ada juga yang menggunakan perkataan yang kasar dan kurang sesuai kepada golongan yang lebih tua yang sewajarnya perlu dihormati. Selain menggunakan perkataan yang tidak elok, masyarakat kini juga mudah untuk mencetuskan pergaduhan dan memaki hamun antara satu sama lain walaupun isu yang menjadi punca pergaduhan tersebut hanya isu kecil.

Hal ini berbeza dengan sifat Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pernah diucapkan dengan ucapan salam yang bermaksud “maut ke atas kamu” oleh sekumpulan Yahudi yang bertemu dengan baginda lalu dijawab oleh baginda dengan ungkapan “wa alaikum”. Baginda tidak membalas kembali ucapan salam tersebut dengan cara seperti mereka. Hal ini demikian kerana golongan yang suka memaki dan menggunakan perkataan buruk merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Dalam satu hadis daripada Abu Dzar yang bermaksud, “Tidak ada sesuatu apapun yang paling berat di dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat nanti daripada akhlak yang mulia. Sesungguhnya Allah SWT sungguh membenci orang yang berkata kotor lagi jahat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Lebih baik berdiam daripada bercakap banyak

Zaman teknologi dan globalisasi merupakan cabaran terbesar umat Islam hari ini. Umat Islam dituntut agar lebih berhati-hati dalam bertutur bicara atau menulis kerana jika terlajak kata, nerakalah pengakhirannya. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Amal yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Baginda ditanya lagi, “Apa penyebab banyaknya manusia masuk neraka?” Rasulullah SAW menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Berhati-hatilah menyusun bicara sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

Apakah kaedah terbaik untuk menghindarkan diri daripada mendapat tempat di neraka? Berdiam adalah jalan yang terbaik. Hal ini dikatakan demikian kerana kita mampu menenangkan keadaan, menyelamatkan silaturahim daripada terputus, mengelakkan diri daripada menyebarkan keaiban atau berlakunya fitnah. Bagi golongan ilmuan, mereka memilih untuk menyebut perkataan “Allahu’alam” ketika ada isu di luar bidang ilmu masing-masing.

Berdiam diri suatu pilihan terbaik bagi umat Islam seperti yang dinyatakan dalam hadis, daripada Abu Hurairah r.a, iaitu Nabi SAW bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berbahasa secara berhemah dan tidak laju

Zaman globalisasi yang perlu bergerak dengan pantas menyebabkan ada antara kita memilih untuk bercakap dengan laju sehinggakan pihak yang mendengar gagal memahami maksud yang ingin disampaikan. Kegagalan memahami dan kekaburan mesej yang disampaikan seringkali menyebabkan wujudnya pertengkaran dan perbalahan dalam kalangan masyarakat. Saidatina Aisyah r.a. berkata, “Rasulullah tidaklah berbicara seperti yang biasa kamu lakukan (iaitu berbicara dengan nada cepat). Namun beliau berbicara dengan nada perlahan dan dengan perkataan yang jelas dan terang lagi mudah dihafal oleh orang yang mendengarnya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Memilih perkataan yang sesuai semasa berinteraksi

Pemilihan perkataan yang baik semasa berinteraksi membolehkan maklumat yang disampaikan difahami dan diterima dengan baik oleh khalayak. Penggunaan perkataan dan juga intonasi suara perlu berbeza berdasarkan situasi dan latar belakang individu yang menjadi pasangan interaksi. Perkara ini amat dititikberatkan oleh Rasulullah SAW semasa baginda berdakwah menyebarkan Islam.

Dari Jabir bin Abdillah r.a., beliau berkata “Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, kedua-dua matanya merah, suaranya lantang (nyaring), dan semangatnya bangkit bagai seorang panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam pada ketika pagi atau petangnya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ibn Majah). Namun, jika di rumah, Rasulullah SAW merupakan suami yang begitu penyayang dan berlembut dengan isteri-isteri dan anak-anak baginda.

Umat Islam perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata agar tidak terkeluar perkataan yang kurang elok dan tidak sedap didengar. Hal ini dikatakan demikian kerana kata-kata yang kurang elok mampu membuatkan seseorang terasa hati dan boleh memberikan tanggapan yang kurang baik kepada agama Islam. Bahkan, Allah SWT juga benci akan orang yang bercakap kasar dan kesat. Contohilah peribadi Rasulullah SAW ketika berkomunikasi yang sentiasa berlemah lembut dan berhikmah dalam tutur bicara tidak mengira sama ada berbicara dengan anak kecil atau orang yang lebih tua.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi