20 Disember 2021, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT dalam sebuah hadis kudsi yang bermaksud, “‘Wahai anak Adam, aku sedang sakit mengapa kamu tidak menziarahi aku?’ Jawab anak Adam, ‘Wahai Tuhanku, bagaimana aku mengunjungi  Engkau, padahal Engkau Tuhan semesta alam?’ Allah SWT berfirman, ‘Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati-Ku di sisinya?’” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Petikan hadis ini bukanlah bermaksud bahawa Allah boleh ditimpa kesakitan kerana Allah bersifat dengan sifat kesempurnaan dan terhindar dari segala kecacatan dan keburukan sepertimana yang telah tetap dalam pegangan dan aqidah umat Islam, tetapi jawapan Allah menjelaskan kepada kita bahawa yang sakit itu adalah hamba-Nya. Allah menyayangi dan cinta akan hamba-Nya dengan mengatakan diri-Nya sakit kerana kekasih-Nya sedang sakit. Begitulah diibaratkan sakitnya seorang ibu apabila mengetahui anak yang dicintainya sedang sakit. Dan ketahuilah bahawa kasih Allah kepada hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini, status kesihatan masyarakat tidak menentu, sama ada pesakit COVID-19 atau tidak, tahap kesihatan masyarakat pada tahap yang membimbangkan. Hal ini meliputi kesihatan mental dan fizikal masyarakat yang terkesan akibat wabak ini. Petikan hadis seterusnya, “Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu kunjungi dia kamu akan mendapati-Ku di sisinya?” memberikan makna yang besar, iaitu selain daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang dilimpahkan buat mereka, hal ini turut menunjukkan  bahawa mereka yang ditimpa kesakitan sangat dekat dengan Penciptanya sehingga doa orang yang ditimpa ujian atau sakit mudah diperkenankan oleh Allah SWT.

Dari sisi yang lain, hadis ini juga memberi makna tersirat bagi mereka yang diuji dengan kesakitan. Antara maksud yang tersirat dalam ujian yang ditimpakan kepada orang yang sakit termasuklah,

  • Tanda cinta Allah

Dari Anas r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya ganjaran tergantung dari besarnya ujian, dan apabila Allah cinta kepada suatu kaum Dia akan menguji mereka, barang siapa yang reda maka baginya keredaan  Allah, namun barang siapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi).

Sakit merupakan salah satu bentuk ujian daripada Allah. Semakin tinggi ujian yang dihadapi, semakin tinggi pahala yang menanti. Ketahuilah bahawa ujian itu bukanlah tanda kemurkaan dari Allah tetapi ujian juga bertujuan untuk mengangkat darjat seseorang dan memberi pahala atas amal soleh yang dilakukan.

  • Penghapus dosa

Dari Mu’awiyah berkata; saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sesuatu yang menimpa seorang mukmin pada jasadnya yang menjadikan dia sakit kecuali Allah akan menghapuskan kesalahan yang ada padanya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Sakit yang dialami oleh seseorang boleh menghapuskan dosa dan kesalahan kita yang lalu. Apa-apa sahaja yang kita alami sama ada dari segi kesakitan, kesedihan, keresahan dan apa-apa ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT bertujuan akan menghapuskan dosa. Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ujian sentiasa menimpa orang mukmin pada diri, anak dan hartanya hingga dia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan pun.”  (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi).

Musibah yang ditimpakan oleh Allah juga bertujuan sebagai penghapus dosa-dosa yang pernah dilakukan.
  • Pahala yang besar

Seorang muslim yang beriman apabila ditimpa sesuatu musibah dan ujian hendaklah sentiasa bersabar dan memohon pertolongan dari Allah SWT. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.”

Pahala yang sangat besar menanti bagi mereka yang bersabar kerana amalan bersabar ini tidaklah mudah melainkan mereka yang cekal dan yakin dengan semua yang ditakdirkan oleh Allah SWT adalah yang terbaik bagi dirinya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar 39: 10).

  • Pahala berterusan bagi amalan yang selalu dibuat semasa sihat

Rahmat Allah begitu luas buat hamba-Nya sehingga sewaktu seseorang itu sakit tetap akan diberi pahala bagi amalan yang selalu dibuat dalam keadan sihat. Sebagai contoh, jika sewaktu sihatnya selalu pergi ke masjid solat berjemaah, selalu berpuasa sunat, berqiamullail dan sebagainya, dia tetap akan diberi pahala itu semua sedangkan dia di atas katil!

Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud, “Dari Abu Burdah berkata, ‘Aku sering mendengar berkali-kali Abu Musa berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Jika seorang hamba sakit atau bermusafir, ditulis baginya (pahala) seperti ketika dia beramal sebagai mukim dan dalam keadaan sihat.’”

Begitulah ganjaran dan balasan bagi mereka yang diuji dengan kesakitan,yang pada akhirnya kita yakin bahawa di sebalik setiap ujian yang menimpa itu pasti ada hikmah yang besar sehingga sebahagian manusia di akhirat kelak berkata kepada Allah SWT mengapa mereka tidak diuji seperti si fulan dan si fulan.

Walau apa-apa pun jua keadaan diri mukmin itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang baik sama ada diuji atau pun tidak. Inilah kelebihan bagi orang mukmin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, setiap perihal yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah baik, dan itu tidak dimiliki seorang pun selain orang mukmin, apabila diberi kesenangan, maka dia bersyukur dan bersyukur itu merupakan kebaikan baginya, dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.