19 Oktober 2021, 13:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang disambut pada 19 Oktober 2021 bersamaan 12 Rabiulawal 1443H, Timbalan Yang di-Pertuan Agong (TYDPA), Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar rakyat menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh atau model untuk menjadi seorang pemimpin yang baik. Kebijaksanaan Baginda mengurus tadbir pemerintahan telah membawa kesejahteraan kepada umat seluruhnya. Sifat dan akhlak mulia Rasulullah SAW menggambarkan Baginda seorang yang berintegriti tinggi dalam melaksanakan amanah sebagai seorang pemimpin.

Yang berikut diperturunkan Titah Perutusan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahirahmanirrahim.

Segala puji milik Allah SWT yang telah mengutus seorang rasul untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.

1. Sambutan Maulidur Rasul dianjurkan bertujuan untuk memperingati seorang pemimpin ummah yang unggul lagi mulia. Nabi Muhammad SAW merupakan contoh dan tokoh ketampanan lahiriah yang mencerminkan keindahan batiniah. Melalui hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan, Baginda berjaya membina tamadun yang agung, iaitu tamadun yang telah mengangkat ummah mencapai persada kegemilangan. Baginda meninggalkan dua perkara untuk dijadikan pegangan dan ikutan ummah, iaitu pertama al-Quran dan kedua sunah.

2. Sayangnya, sunah Rasulullah SAW kini semakin disisihkan dan terpinggir dalam kehidupan harian insan. Oleh hal yang demikian, sempena ulang tahun memperingati tarikh keputeraan Baginda, amatlah relevan bagi ummah mencari mutiara berharga yang terkandung dalam sunah Baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.

3. Dalam menghadapi senario semasa dunia, demikian juga dalam mengamati senario semasa setempat, hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda wajib dikunjungi, diambil iktibar, serta dijadikan panduan dan pedoman, terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, baik ulama begitu juga umara.

4. Kepimpinan Baginda tidak berakarkan retorik, tetapi disuburkan melalui niat yang ikhlas dan pengorbanan yang jujur, melalui amar makruf, adab pekerti yang mulia dan tindakan yang luhur. Baginda gigih menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan, lalu berjaya memperoleh sokongan dan keyakinan, lantas mengupayakan Baginda mengurus tadbir pemerintahan sehingga berjaya melimpahkan kesejahteraan kepada ummah. Pemerintahan Baginda teguh berpegang kepada hukum, gigih mencegah kemungkaran, tegas menegur kesalahan walaupun melibatkan sahabat, anggota keluarga, atau anggota kabilah, selaras dengan semangat yang terkandung dalam hadis yang bermaksud, “Sebaik-baik perjuangan ialah bercakap benar di sisi pemerintah yang zalim”. (Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidzi).

4. Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda mahu membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga. Ketika wafat, Baginda meninggalkan hanya sebilah senjata, seekor kuda dan tanah yang telah disedekahkan. Baginda tidak meninggalkan kekayaan harta benda untuk direbut, tetapi yang ditinggalkan ialah didikan dan amalan baik, agar dijadikan panduan dan pedoman dalam usaha membina kehidupan ummah yang sejahtera, mendapat keredaan, keberkatan dan rahmat Ilahi.

5. Negara yang mendapat kesejahteraan, keredaan, berkat dan rahmat Ilahi akan dilimpahi kedamaian dan kemakmuran, dilindungi daripada bencana dan malapetaka, buminya subur dan kaya, sementara warganya hidup rukun dan aman; dan pimpinan negara diamanahkan dalam kalangan insan yang ikhlas, jujur dan bertakwa; pemimpin yang memiliki rasa belas dan ihsan kepada warganya, di samping roh pemimpinnya menghayati perintah Ilahi seperti yang digambarkan dalam hadis mursal riwayat Imam Abu Dawud bermaksud, “Jika Allah inginkan sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Allah memberikan bangsa itu pemimpin yang baik …”.

Seorang pemimpin yang baik harus menjadikan sunah Rasulullah SAW sebagai panduan dan pedoman.

6. Pemimpin yang baik perlu dibantu oleh barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, serta diperlengkap dengan para peniaga yang jujur kerana Rasulullah SAW turut meletakkan status para peniaga yang jujur, sejajar dengan para wali, para siddiqin, para syuhada dan para salihin.

7. Kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin. Ulama besar, umara berwibawa dan peniaga yang berjaya akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki iman dan takwa. Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab lebih besar terhadap Allah SWT, maka akan sejahtera hidup ummah dan akan makmur negara. Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan. Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang.

8. Rasulullah SAW amat insaf, Baginda bukan sahaja tidak terlepas daripada penglihatan Ilahi, malah sebagai pemimpin, Baginda turut dinilai oleh para pengikutnya. Oleh itu, Baginda senantiasa mengamalkan dan mempamerkan sebaik-baik contoh teladan melalui sifat amanah, jujur, ikhlas, telus, berdisiplin dan berintegriti.

9. Semasa menyampaikan khutbah terakhir di Arafah, pada 9 Zulhijah Tahun Kesepuluh Hijrah, antara perkara yang disabdakan termasuklah aspek integriti dan akauntabiliti terhadap ummah dan Allah SWT. Baginda menyeru, “Wahai manusia, sepertimana kamu anggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada pemiliknya yang berhak …. ingatlah, bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhanmu, dan Dia pasti membuat perhitungan atas segala amalan kamu …”.

10. Baginda tidak sekadar mengungkapkan kata, tetapi kata-kata yang diungkapkan mencerminkan amalan kepimpinan yang berintegriti tinggi. Banyak kisah yang dapat dipetik, banyak peristiwa yang boleh dijadikan contoh akan sifat integriti tinggi Baginda, terutamanya pendirian tidak memberikan keistimewaan kepada anggota keluarga atau kenalan terdekat, serta tidak terpengaruh dengan sogokan dan imbuhan.

11. Baginda tidak bertolak ansur dengan rasuah; Sabda Baginda bermaksud, “Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa-apa yang diambilnya selain itu, adalah ghulul (iaitu pengkhianatan dan curi)”. (Hadis riwayat Abu Dawud).

12. Diriwayatkan bahawa seorang gabenor ditugaskan mengutip zakat; ketika menyerahkan kutipan zakat, dia menyimpan sebahagian daripada kutipan sambil berkata, “Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai)”.

Baginda murka mendengar kata-kata gabenor tersebut, lalu bersabda, “Ketahuilah, jika kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, akan adakah orang yang datang untuk memberikan hadiah, jika kamu benar-benar layak mendapat hadiah”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

13. Baginda berulang kali diuji dengan sogokan. Musyrikin Quraisy melakukan pelbagai usaha dengan niat mahu menggelincirkan baginda daripada landasan perjuangan. Baginda ditawar kuasa, jawatan, kekayaan, wanita cantik, malah ditawar untuk ditabalkan sebagai raja kaum Quraisy. Sabda Baginda yang bermaksud, “Binasalah hamba wang dinar dan dirham, hamba pakaian, dengan segala macamnya yang menarik, jika diberi dia berasa gembira, dan jika tidak diberi maka dia tidak berasa gembira”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

14. Nyatalah Rasulullah SAW tidak menyalahgunakan status seorang rasul untuk merebut kuasa dan membina kekayaan diri dan keluarga. Baginda tegas, tidak sama sekali menggadaikan prinsip, cekal setia menjunjung amanah dan perintah Ilahi.

15. Kebelakangan ini, dilaporkan begitu banyak berlakunya rasuah. Berdasarkan berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah berlaku pada skala yang besar. Lebih membimbangkan apabila turut dilaporkan bahawa rasuah dilakukan secara lebih berani dan terbuka. Firman Allah SWT dalam ayat 188 Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Dan janganlah kamu makan harta antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui”. (Surah al-Baqarah 2:188).

16. Rasuah ialah barah yang amat bahaya. Rasuah terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat, menjadi punca kejatuhan kerajaan dan pemerintahan, menjadi punca keruntuhan negara dan empayar, serta menjadi punca keruntuhan tamadun dan budaya. Ulama dan umara tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu lidah terhadap perbuatan rasuah. Ulama dan umara wajib berganding usaha dan berganding tenaga berjihad menghapuskan rasuah.

17. Sesungguhnya setiap insan yang diangkat oleh Ilahi ke taraf pemimpin, dikembari dengan tugas dan tanggungjawab. Jangan lalaikan diri, ingatlah kata-kata Imam Syafii bahawa, “Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kafannya sudah ditenun”.

18. Ketika ummah berasa gundah gelisah, pemimpin berperanan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan yang sejahtera. Ummah merindui kepimpinan yang adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum. Ummah merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik. Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah. Ummah amat merindui berada di bawah naungan pemimpin yang mengamalkan sifat-sifat kepimpinan Rasulullah SAW, sifat-sifat kepimpinan yang wajib dijadikan contoh ikutan, mengambil iktibar ayat 21, Surah al-Ahzab yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah al-Ahzab 33:21).

19. Ya Allah! Kami mohon untuk Engkau mengamanahkan kepimpinan dan pengurusan negara kepada orang yang amanah, jujur dan ikhlas, berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum; orang yang menghayati, menjiwai dan mengamalkan sifat kepimpinan Rasulullah SAW.

20. Ya Allah! Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad SAW, hamba-Mu dan pesuruh Nabi yang ummi, dan ke atas keluarga dan sahabat Baginda. Ya Allah! mencukupilah kami berserah kepada-Mu, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Wabillahi taufik wa al-hidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Demikianlah titah perutusan Duli Yang Maha Mulia  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang harus diambil perhatian oleh umat Islam, khususnya pemimpin yang akan menerajui pemerintahan negara. Setiap tugas dan tanggungjawab yang dipikul merupakan amanah daripada Allah SWT yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak terpesong daripada syariat Islam.

(Sumber gambar: Portal rasmi Pejabat D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak)

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi