3 September 2021, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Dato’ Abdull Hallim Hamad, Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara, Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Seminar Kebangsaan: Menelusuri Isu Kontemporari dalam Pendidikan dan Kesejahteraan Insan (SKIK21) berkata, “Penganjuran seminar ini diharapkan dapat memberikan cetusan idea kepada pihak kerajaan persekutuan dan negeri dalam memperkasakan dasar atau sistem pendidikan negara.”

Pengisian seminar yang merangkumi pembentangan kertas kerja utama, forum, dialog dan sidang selari melibatkan tokoh akademik dan ilmuwan tanah air. Antaranya termasuklah Profesor Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Pengerusi Majlis Dakwah Negara Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan  Dato’ Dr. Mohamed Fadzly Dato’ Haji Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan.

Selain itu, pembentangan kertas kerja turut melibatkan Profesor Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Timbalan Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara, Kelantan, Prof. Madya Dr. Yahya Don, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, UUM, Profesor Madya Dr. Kamarulzaman  Abdul Ghani, Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK Kampus Bachok, Kelantan, Datuk Haji Kamarudin Md. Nor, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Dr. Haji Ahamad Rahim, Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, Encik Zulkernai Fauzi, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan dan Haji Murtadha Abdullah, Ketua Pegawai Agama, MAIK.

Seminar bertemakan “Perkongsian Ilmu: Ke Arah Kesejahteraan Insan” ini  berlangsung pada 1-2 September 2021 dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN) Kelantan, dan mendapat dukungan utama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu (PPDKB), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan IPG Kampus Sultan Mizan, Besut.

Drs. Haji Ahmad Yani Muhammad, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Kota Bharu mewakili jawatankuasa Pengelola telah membentangkan Resolusi seminar ini yang menggariskan 14 perkara.

Antara resolusi seminar tersebut termasuklah saranan agar pihak berwajib memperkasakan infrastruktur untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdPR) kepada pelajar terutamanya kepada pelajar berkeperluan di luar bandar atau pinggir bandar. Hal ini termasuklah memperuntukkan sejumlah dana bagi menyediakan capaian Internet secara percuma kepada pelajar.

Penyediaan keperluan pembelajaran yang menyeluruh pada era pandemik ini diharap dapat mencapai matlamat pendidikan negara. Usaha memperkasakan platform e-pembelajaran (e-learning) agar lebih meluas juga dapat memberikan pendidikan yang lebih menyeluruh kepada pelajar.

Oleh itu, kerjasama yang menyeluruh oleh pihak berkuasa, badan politik, dan badan bukan kerajaan perlu digemblengkan bagi menyelaraskan usaha ke arah menjayakan agenda pendidikan berimpak tinggi untuk membentuk insan sejahtera yang lebih berilmu, berkemahiran  dan harmoni dalam masyarakat.

Pendidikan berteraskan agama pula memerlukan reformasi agar kurikulum mereka berasaskan realiti semasa (problem based learning). Guru-guru juga wajar didedahkan dengan latihan intensif yang komprehensif untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah pondok, di samping mempertimbangkan kurikulum  Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET).

Bagi memastikan masa depan pendidikan generasi muda yang lebih terjamin, pelbagai usaha harus digerakkan bagi meletakkan semula kedudukan pendidikan supaya selari dengan Dasar Pendidikan Negara.

Seminar ini dirasmikan oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan.  Sebanyak 39 kertas kerja sidang selari oleh para sarjana, pensyarah, pendidik, pegawai PPD dan wakil agensi awam yang berkaitan telah berjaya dibentangkan yang merangkumi bidang pendidikan, agama, sosiobudaya, ekonomi dan politik.

Semua percambahan idea dan penemuan daripada hasil kajian ini diharapkan dapat memperkembangkan bidang pendidikan dan kesejahteraan insan terutama dalam menghadapi situasi getir dengan pelbagai permasalahan kehidupan kesan daripada pandemik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.