18 Ogos 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia bukan sahaja mengubah kebiasaan hidup manusia, tetapi menjadi faktor penyumbang terhadap perubahan lanskap ekonomi yang turut mempengaruhi sosial manusia.

Negara kita juga tidak terkecuali menerima tempias daripada musibah global ini. Pelbagai implikasi negatif yang menimpa dan membebani masyarakat, seperti membunuh diri, kemurungan, tekanan perasaan, penderaan, perlakuan jenayah dan tindakan lain yang memudaratkan kehidupan manusia.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Saad, antara punca berlakunya desakan hidup termasuklah kegagalan menguruskan tekanan sehingga menyebabkan berlaku tindakan di luar batas kemanusiaan.

Tindakan tersebut boleh menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi mereka yang terjejas dari segi ekonomi dan pendapatan. Lebih parah lagi apabila mereka yang terjejas tidak mendapat sokongan yang baik daripada keluarga terdekat.

Penularan pandemik COVID-19 turut menjadikan mereka yang sebelum ini pembayar zakat dan bukan dalam kalangan asnaf bertukar menjadi mustahik, iaitu golongan yang layak menerima zakat.

Sememangnya diakui, dana zakat dapat berperanan sebagai agen pengagihan semula polisi fiskal bertunjangkan tauhid yang bersumberkan lebihan kekayaan masyarakat. Pengagihan yang menyeluruh ini mampu memotivasikan para asnaf untuk mencipta kehidupan baharu yang lebih terjamin.

Ibarat memberikan mata kail dan umpan untuk memancing, serta cangkul dan baja untuk berkebun, agihan dana zakat merupakan momentum buat manusia bagi memperoleh cahaya di hujung laluan terowong yang gelap.

Namun begitu, dana zakat bukanlah boleh dibelanjakan dan diagihkan secara sesuka hati tanpa kawalan dan panduan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)”. (Surah Al-Ma‘arij 70:24-25).

Berdasarkan ayat ini, Mustafa al-Siba‘i mentafsirkan pemberian zakat haruslah diberikan kepada orang yang berhak, iaitu menerimanya secara bermaruah. Hal ini dikatakan demikian kerana agihan zakat merupakan hak yang telah ditetapkan untuk para asnaf.

Zakat berperanan sebagai tunjang dalam struktur sistem ekonomi Islam bagi membangunkan sosioekonomi masyarakat secara komprehensif. Pemberian zakat kepada golongan yang memerlukan berupaya meringankan dan mengurangkan desakan hidup dalam tempoh yang sukar.

Peranan zakat sebagai instrumen ibadat yang berbentuk kewangan terbukti dengan pertambahan bilangan anggota masyarakat yang memohon bantuan zakat pada setiap bulan. Sebagai contoh, berlaku pertambahan lebih 30 ribu golongan asnaf yang memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. Bantuan yang diagihkan ini melibatkan jumlah nilai bantuan melebihi RM30 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon, pihaknya mewujudkan Bantuan Zakat Kecemasan bagi menyantuni golongan yang terjejas semasa PKP. Bantuan ini disalurkan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang kehilangan mata pencarian ataupun yang terjejas pendapatan.

Selain itu, bagi negeri yang teruk terjejas akibat penularan COVID-19 seperti Selangor, penerima bantuan zakat dikategorikan sebagai asnaf fisabilillah. Ketika menjelaskan perkara ini, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid mengatakan bahawa penerima agihan zakat daripada kategori B40 bukanlah dalam kalangan orang miskin mahupun fakir, tetapi terdiri daripada golongan yang putus mata pencarian akibat pandemik.

Komitmen institusi zakat untuk membantu golongan yang terjejas ketika pandemik juga telah disebutkan secara jelas oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas pada 25 Mac 2020 yang mengharapkan pusat pungutan zakat di setiap negeri agar memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu para asnaf yang menghadapi kesukaran hidup ketika pandemik.

Menurut beliau lagi, “Mungkin sebelum ini mereka tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, status mereka bertukar menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.”

Pertambahan mendadak bilangan asnaf turut berlaku di negeri-negeri lain. Oleh itu, pelbagai jenis barangan keperluan dan bantuan lain disalurkan kepada penerima yang layak.

Dalam situasi pandemik kini, kebanyakan institusi zakat menawarkan permohonan secara dalam talian yang memudahkan penyaluran dana zakat diberikan kepada golongan yang memerlukan. Antaranya termasuklah Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Zakat Pulau Pinang (ZPP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Tabung Baitulmal Sarawak.

PKP yang dikuatkuasakan telah membataskan pergerakan rakyat serta penutupan premis pejabat termasuklah kaunter zakat. Kaedah operasi sebegini sejajar dengan maqasid syariah yang menekankan keperluan menjaga nyawa bukan sahaja penerima zakat, malah amil yang terlibat terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak.

Terdapat juga institusi zakat yang mewujudkan tabung khas bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 seperti yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah dengan mewujudkan program Asnaf Care. Program ini digerakkan bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbang dan berbakti kepada golongan yang memerlukan.

Hal ini disebabkan berlakunya defisit hampir RM8 juta kerana jumlah kutipan yang kurang pada suku pertama tahun 2020 bulan Mac, iaitu sekitar RM31.6 juta berbanding dengan agihan zakat sebanyak RM39.4 juta.

Sesi libat urus bersama-sama pelbagai agensi juga dilaksanakan oleh kebanyakan institusi zakat di negara ini. Misalnya, melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan sumbangan peralatan perubatan kepada beberapa buah hospital.

Begitu juga penglibatan pihak masjid dan komuniti setempat bagi membantu masyarakat yang dalam kesusahan, seperti program bank atau bakul makanan dan Dapur It‘am di masjid-masjid terpilih yang banyak memberikan manfaat kepada golongan yang terlibat.

Kesannya, penglibatan pelbagai pihak untuk membantu menjayakan pengagihan zakat pada saat penularan pandemik COVID-19, dapat mempercepatkan agihan dana zakat, selain menjimatkan kos operasi. Ada juga institusi zakat yang bertindak secara kreatif dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi mempertingkatkan capaian Internet sekali gus memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan bantuan.

Sememangnya, peranan institusi zakat ketika pandemik COVID-19 telah membuka mata ramai pihak untuk mendapatkan bantuan, termasuklah mereka yang kehilangan pendapat daripada industri pelancongan, perhotelan dan perusahaan.

Pelbagai inisiatif seperti pembiayaan mikro dan peluang latihan wajar ditawarkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 bagi memulakan penghidupan baharu.

Pada akhirnya, inisiatif yang diterima ini dapat mengurangkan bebanan hidup yang dihadapi, seterusnya menjadikan mereka yang mulanya menerima zakat bertukar menjadi pembayar zakat yang dapat menyumbang untuk kesejahteraan ummah.

Oleh itu, sekiranya kehilangan sumber pendapatan dalam sesebuah sektor berlaku dalam tempoh yang panjang terutamanya sewaktu pandemik COVID-19 ini, pakej bantuan oleh institusi zakat perlulah dihalakan ke arah penyediaan jati diri dan keutuhan agama.

Seruan bagi menunaikan ibadat zakat bagi mereka yang berkemampuan seharusnya digiatkan agar kantung kutipan berupaya menggerakkan proses agihan yang semakin hari semakin bertambah.

Seharusnya, persekitaran ekonomi yang lebih baik perlu dibina kembali bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti membunuh diri sebagai jalan pintas untuk menamatkan derita akibat desakan hidup.

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi