Oleh Mohd Nizam Sahad
25 Julai 2021, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Fenomena membunuh diri seakan-akan telah menjadi berita yang sering didengar atau dibaca di dada-dada akhbar. Apatah lagi pada musim pandemik COVID-19 kini.

Pakar psikologi memberi banyak faktor berlakunya gejala ini yang antaranya termasuklah masalah kewangan, gangguan mental, tekanan hidup melampau, kegagalan mengawal emosi, putus cinta, gagal dalam peperiksaan, adanya sejarah bunuh diri dalam keluarga, dan sebagainya.

Statistik bunuh diri di Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara dan amat membimbangkan. Laporan Bernama bertarikh 1 Oktober 2015 dalam Utusan Malaysia menyebut bahawa satu hingga dua kejadian bunuh diri berlaku di Malaysia setiap hari dengan nisbah lelaki berbanding dengan wanita sebanyak 2:1.

Berdasarkan statistik terbaharu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan, menyebutkan bahawa jumlah keseluruhan kes bunuh diri sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021 menjadikan secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari.

Dalam ajaran Islam, membunuh diri merupakan perbuatan yang haram di sisi Allah SWT dan sesiapa yang melakukannya dianggap telah melakukan syirik kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu”. (Surah al-Nisa’ 4:29)

Larangan membunuh diri juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, besi itu menusuk-nusuk ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti dia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya”. (Hadis riwayat Muslim).

Sungguhpun demikian, dalam hal membunuh diri ini ada segelintir manusia yang terkhilaf untuk memahami hakikat sebenar persoalan ini. Ada yang berfikir dan mengungkap kata-kata, “Bukankah semuanya itu terjadi menurut ketentuan Allah, bolehkah si pembunuh diri dipersalahkan sepenuhnya atas setiap yang dilakukannya?”

Ada juga yang menambah bahawa “Tidak mahukah kita cuba memahami situasi yang melanda dirinya, berbanding dengan mencemuh pelaku yang membunuh diri itu?”

Apabila persoalan sebegini muncul, maka hal ini amat berkaitan dengan persoalan akidah yang wajib dijelaskan supaya kekeliruan memahami konsep ketentuan Allah SWT itu tidak bercanggah dengan kehendak akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Oleh hal yang demikian, artikel ini mengupas persoalan dan merungkaikan hakikat pandangan akidah Islam tentang perbuatan membunuh diri. Adakah benar pemikiran yang turut mengaitkan Allah dengan ketentuan terjadinya gejala perbuatan membunuh diri dalam kalangan manusia?

Apabila membicarakan perbuatan membunuh diri dan ketentuan takdir Ilahi, seseorang wajib memahami pembahagian dan peringkat atau martabat takdir Allah SWT.  Hal ini akan menyelamatkan pemahaman dan cara berfikir seseorang. Oleh itu, mereka tidak menyalahkan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Allah SWT, apatah lagi menyalahkan kehendak dan ketentuan-Nya.

Dalam akidah Ahli Sunah Waljamaah, terdapat empat martabat takdir yang disenaraikan seperti yang berikut:

  1. Ilmu.
  2. Kitabah (penulisan).
  3. Al-Masyi’ah (kehendak).
  4. Al-Khalq (penciptaan).

Setiap ketentuan Allah SWT dalam sesuatu perkara amat berkait rapat dengan keempat-empat martabat takdir tersebut. Sebagai contoh, sifat ilmu bagi Allah SWT. Sememangnya Allah SWT Maha Mengetahui semua perkara yang terdahulu, sekarang dan akan datang. Ilmu dan pengetahuan-Nya meliputi perkara yang nampak dan ghaib.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dialah Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia. Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Hasyr 59:22).

Oleh itu, dapat difahami bahawa sememangnya Allah juga amat mengetahui keadaan penamat kehidupan seseorang sama ada mati kerana membunuh diri, kemalangan, penyakit barah mahupun kematian yang biasa.

Hanya manusia yang tidak tahu keadaan kematiannya kelak. Namun begitu, setiap manusia dituntut supaya berdoa agar mati dalam keadaan husn al-khatimah, iaitu mati yang baik dan dijauhkan daripada mati dalam keadaan yang tidak baik seperti mati dengan cara membunuh diri.

Pada hakikatnya, ilmu Allah itu bersifat penyingkapan (inkisyaf) dan tidak ada sifat paksaan (ijbar) mahupun pengaruh (ta’sir). Allah SWT juga Maha Mengetahui bahawa setiap hamba-Nya akan memilih untuk melakukan sesuatu perkara.

Sedangkan ketika ditulis di Lohmahfuz, apa-apa yang akan dipilih dan dilakukan oleh manusia, hanya berdasarkan ilmu-Nya yang menyeluruh. Ilmu Allah SWT mempunyai sifat menyingkap (inkisyaf) terhadap sesuatu yang telah lalu, saat ini dan akan datang.

Allah SWT mengetahui secara azali setiap perbuatan hamba-Nya, misalnya mereka akan memilih jalan kekufuran dan akan mati dalam kekufuran. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ilmu Allah hanya memiliki sifat menyingkap (inkisyaf), dan tidak memiliki sifat paksaan (ijbar) dan pengaruh (ta’sir).

Manusia diberikan pilihan dengan memiliki sifat usaha dan ikhtiar. Allah Maha Mengetahui dan menentukan sesuatu berdasarkan ilmu yang bersifat menyingkap, tetapi keputusan membunuh diri merupakan pilihan manusia itu sendiri. Maka selayaknya manusia dipertanggungjawabkan atas pilihannya.

Dalam hal ini, terserlahlah pada keadilan Allah SWT bahawa Dia membalas baik setiap perkara yang diredai-Nya dan membalas azab atas setiap pilihan manusia yang tidak selari dengan syariat-Nya.

Pemberian akal kepada manusia adalah untuk mempertimbangkan sesuatu yang baik dan buruk juga merupakan satu keadilan Allah SWT. Oleh sebab itu, jika sesuatu perlakuan itu berlaku akibat lupa atau dipaksa, maka tidaklah menjadi kesalahan kepada pelakunya.

Maka dengan huraian ini, diharapkan tiada lagi yang terpesong pemahamannya dengan menyalahkan Allah SWT atas ketentuan perlakuan bunuh diri. Sebaliknya, hisablah dan sesuaikanlah diri agar melakukan segala perbuatan berpandukan syariat yang telah digariskan.

Di samping itu, wujudkanlah langkah pencegahan dengan menerapkan rasa keimanan kepada Allah SWT, bahawa Dia akan membantu meleraikan kekusutan dan masalah yang menimpa setiap hamba-Nya. Ingatlah bahawa setiap kesusahan dan musibah yang menimpa akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT jika sentiasa sabar dan terus berusaha untuk keluar daripada kesusahannya.

Dengan itu, jelaslah bahawa perbuatan membunuh diri bukanlah pilihan yang wajar, apatah lagi mengaitkannya dengan ketentuan Tuhan tanpa pemahaman yang sebenar dengan akidah Islam.


Mohd Nizam Sahad (Dr.) ialah Profesor Madya di Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.