24 Jun 2021, 13:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa para pendakwah dan penceramah agama di negeri Terengganu yang didapati menyampaikan kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan bagi memerangi penularan pandemik COVID-19, bakal dikenakan tindakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Tindakan yang bakal dikenakan, menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), tidak hanya menarik balik tauliah mengajar agama di negeri tersebut, bahkan berhadapan dengan tindakan undang-undang. “Jawatankuasa masjid dan surau juga akan dikenakan tindakan kerana membenarkan golongan ini menyampaikan kuliah yang bertentangan dasar kerajaan terutama yang berkaitan dengan vaksin COVID-19,” tambah beliau.

Laporan berita ini mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman rasmi di media sosial Facebook, serta memuji tindakan tegas yang diambil oleh pihak MAIDAM.

Langkah seperti ini, sepatutnya sudah lama diambil. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan dan mensabotaj usaha dan polisi kerajaan bagi menjamin kestabilan pelaksanaan dasar oleh kerajaan lebih-lebih lagi bagi memelihara kesihatan dan nyawa rakyat.

Umum mengetahui bahawa Malaysia ketika ini berhadapan dengan pandemik COVID-19 gelombang ketiga. Pada 29 Mei 2021 yang lalu, Majlis Keselamatan Negara melaporkan kes jangkitan COVID-19 mencecah angka tertinggi, iaitu sebanyak 9020 kes positif baharu memaksa pihak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1-14 Jun 2021. Paling membimbangkan, pada 2 Jun 2021 jumlah kes kematian tertinggi sepanjang penularan kes COVID-19 melanda negara, iaitu mencecah 126 kes kematian harian baharu.

Melihat laporan kes jangkitan dan jumlah kematian yang semakin tinggi dapat disimpulkan bahawa pandemik COVID-19 bukanlah satu wabak yang boleh dipandang ringan. Oleh itu, tindakan yang serius perlu direncanakan bagi memutuskan rantaian penularannya agar tidak terus merebak.

Menyedari hal ini, pihak kerajaan sejak dari awal penularan pandemik COVID-19 lebih setahun lalu telah meningkatkan penerangan dan kesedaran kepada rakyat betapa perlunya mengambil langkah berwaspada bagi mengekang wabak daripada terus menular sehingga mengancam nyawa.

Siri penerangan kesedaran digiatkan menerusi sebaran rasmi oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM) menerusi radio, televisyen dan rangkaian media sosial. Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam, agensi agama di bawah kerajaan pusat, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Fatwa Kebangsaan dan agensi agama negeri yang terdiri daripada jabatan agama dan majlis agama Islam negeri telah menggembleng usaha menyebarkan maklumat yang benar berhubung dengan wabak COVID-19.

Penerangan dan kesedaran yang disebarkan menerusi khutbah Jumaat, forum dan rangkaian media sosial ini, merangkumi langkah pencegahan wabak dan yang terkini perihal kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

Di sebalik kesungguhan kempen kesedaran ini, tersebar juga maklumat palsu berhubung dengan pandemik COVID-19 di samping suara sinis mempertikaikan langkah pencegahan rantaian wabak ini menerusi suntikan vaksin. Paling mengharukan dan menyedihkan apabila suara ini juga diucapkan oleh segelintir pendakwah yang membawa imej tuan guru, pendakwah selebriti dan ustaz YouTube yang mempunyai banyak pengikut di media sosial.

Pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Prosedur Operasi Standard (SOP) diperkenalkan untuk panduan pelaksanaan ibadat bagi umat Islam di masjid dan surau seperti yang berikut:

  1. Penjarakan fizikal dalam saf solat.
  2. Pengehadan kehadiran bilangan jemaah solat lima waktu.
  3. Penangguhan solat Jumaat.
  4. Penangguhan aktiviti mengimarahkan masjid.

Golongan pendakwah ini sering menimbulkan pertikaian dan bangkangan. Suara sinis yang mempertikaikan arahan ini mendakwa bahawa SOP yang digariskan menyanggah perintah Allah SWT. Menurut mereka lagi peraturan tersebut telah mengubah hukum Allah SWT sehingga wabak ini semakin merebak!

Ada juga dalam kalangan pendakwah ini yang tidak membantah SOP ini secara langsung, tetapi mereka mempertikaikan dan menaburkan racun keraguan, serta melontar persoalan dan perbandingan bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan umat Islam.

Antara persoalannya termasuklah “Mengapa solat di masjid tidak dibenarkan, sedangkan orang ramai bebas pergi ke pusat membeli-belah?” dan “Tidak boleh rapatkan saf dalam solat, tetapi boleh duduk lama-lama dalam kapal terbang?”

Lontaran soalan yang terselit racun keraguan ini semakin meruntun emosi keagamaan orang awam apabila rumusan perbincangan ini disertakan pula dengan pendirian dan dakwaan yang tidak berasas bahawa segala sekatan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib ini benar-benar “mencederakan agama”, menyimpang daripada tuntutan agama dan menyalahi sunah. Kemuncak paling dahsyat terhadap dakwaan ini mengatakan bahawa pihak kerajaan hanya menjadi “pak turut” perancangan Yahudi dan mengaitkannya dengan kemunculan dajal.

Apabila pihak kerajaan menggesa orang ramai agar mengambil vaksin bagi mengurangkan penularan COVID-19, terdapat pandangan segelintir pendakwah yang seolah-olah selari dengan kelompok antivaksin yang sedia wujud sebelum ini. Pada peringkat awal, tular keraguan bahawa vaksin COVID-19 didakwa tidak halal kerana mengandungi unsur babi.

Vaksin ini juga merupakan hasil kajian orang bukan Islam (Yahudi) yang memang menginginkan unsur kotor dan najis ini mendarah daging dalam tubuh orang Islam. Vaksin ini juga didakwa boleh mengakibatkan kematian setelah mengambilnya berdasarkan pengalaman beberapa individu di luar negara.

Betapa dangkalnya dakwaan ini yang dibuat tanpa usul periksa dan kajian yang berautoriti. Sebenarnya, dakwaan ini tidak berasaskan fakta dan sumber maklumat yang benar. Hal ini hanyalah dakwaan dan telahan semata-mata. Paling malang apabila dakwaan palsu ini disebarkan menerusi media sosial dan mendapat perhatian yang menggalakkan sehingga mencecah berpuluh ribu “tanda suka”.

Dakwaan yang tersebar luas ini, begitu dipercayai oleh orang ramai lantaran diungkapkan oleh individu daripada latar belakang agama. Tidakkah hal ini akan membantutkan usaha pihak berwajib untuk memutuskan rangkaian wabak yang melanda negara kini menerusi kempen mematuhi SOP dan pengambilan vaksin?

Oleh itu, walau pendakwah sekalipun atau sesiapa sahaja yang menjadi tokoh masyarakat, sebarang pandangan dan pendapat mereka perlu diselidiki dahulu berteraskan fakta yang benar lagi sahih. Golongan ini seharusnya memikirkan kesan baik dan buruk ucapan mereka.Sedarlah bahawa setiap kata-kata yang disampaikan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.

Kenangkanlah nasihat dan tegahan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda yang bermaksud, “Cukuplah bagi seseorang itu berdusta apabila dia menyebarkan apa-apa cerita yang dia dengar (peroleh)”. (Hadis riwayat Muslim).

Berdusta itu haram dan berdosa. Bukankah perbuatan itu dilarang oleh agama? Tidakkah ajaran agama Islam meminta agar kita tabayyun (menyelidiki kesahihan) terlebih dahulu sesuatu khabar berita yang diterima sebelum memutuskan untuk percaya atau tidak?

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya”. (Surah al-Hujurat 49: 6).

Para pendakwah seharusnya melakukan tugas yang sesuai dengan kedudukan mereka. Ajarkanlah ilmu yang bermanfaat dan berilah kesedaran agar umat Islam berubah ke arah kebaikan dan mengikut peraturan ketika pandemik ini.

Jauhilah saranan yang mengarut dan tidak berasas, seperti doa menangkap dan memasukkan wabak COVID-19 ke dalam botol, doa merentas negeri untuk mengelak daripada ditangkap polis, dakwaan COVID-19 merupakan konspirasi Yahudi, dan sebagainya. Para pendakwah juga perlu mengetahui ruang lingkup bidang mereka, apabila bercakap dan memberikan pendapat.

Setiap bidang sudah tentu ada ahli dan pakar yang memperhalusinya. Sebagai contohnya, perihal penyakit dan wabak yang berada dalam soal kesihatan awam. Maka itu, pihak yang berkaitan seperti KKM, perlu diberikan kepercayaan penuh untuk mengurus dan menanganinya.

Jika wujud polisi dan peraturan baharu yang ditetapkan oleh KKM ini menyentuh dan mengganggu persoalan ibadat umat Islam di negara ini, maka rujuklah agensi lain yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam, seperti JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri.

Pihak berkuasa agama, seperti JAKIM yang dibantu oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Fatwa Kebangsaan bertanggungjawab merungkaikan persoalan yang timbul demi kemaslahatan umat Islam.

Sejak gelombang pandemik COVID-19, banyak permasalahan yang berkaitan dengan umat Islam dibincangkan dan dibahaskan secara mendalam. Antaranya termasuklah aspek hukum syarak, kesihatan dan keselamatan negara.

Oleh hal yang demikian, ketetapan yang diputuskan oleh JAKIM, MKI, majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri berkenaan dengan panduan melaksanakan ibadat dalam tempoh pandemik ini, hendaklah diterima oleh umat Islam dengan hati terbuka tanpa menimbulkan persoalan yang meragukan.

Hal ini sangat bertepatan dengan kaedah fiqah, yakni tasarruf al-imam ‘ala al-ra‘iyyah manut bi al-maslahah yang bermaksud tindak-tanduk pemerintah mestilah tertakluk pada hal membawa kebaikan (maslahat) kepada rakyat. Arahan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah sudah pasti untuk menjamin kesihatan dan keselamatan nyawa rakyat.

Yakinlah bahawa pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kini merupakan ujian daripada Allah SWT. Ujian ini adalah untuk menguji keimanan dan ketabahan bagi menghadapi segala rintangan yang datang.

Dalam usaha menangani wabak seperti COVID-19 ini, kita tidak perlu menantikan kemunculan Imam Mahdi untuk menyelesaikannya. Insya-Allah segala rintangan akan dapat diatasi dengan usaha berterusan yang diiringi dengan doa dan tawakal kepada-Nya.


Syed Shahriman Syed Ali ialah pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.