31 Mei 2021, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polemik penggunaan kalimah Allah oleh pendukung agama Kristian kembali mencuri tumpuan umat Islam di Malaysia kini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 10 Mac 2021, telah memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain, iaitu Kaabah, Baitullah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka.

Hakim Nor Bee Ariffin berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu sebagai menyalahi undang-undang berkaitan dengan kebebasan beragama dan tidak rasional. Keputusan tersebut merupakan hasil permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang wanita Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, pada 20 Ogos 2008, agar lapan cakera padat (CD) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang dikembalikan semula.

Cakera padat yang berjudul Cara Hidup dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar dalam Kerajaan Allah dan Ibadah yang Benar dalam Kerajaan Allah yang jelas menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu.

Polemik penggunaan kalimah Allah tercetus lebih awal daripada daripada kes rampasan cakera padat kepunyaan wanita Kristian ini. Pada 31 Disember 2007, Pengarang akhbar Herald: The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew, menyatakan bahawa KDN telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa disebutkan larangan menggunakan kalimah Allah. Namun begitu, KDN menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah masih kekal seperti yang telah dikuatkuasakan pada 1 November 2006.

Rentetan itu, pada 16 Februari 2009, Gereja Roman Katolik diketuai oleh Paderi Archbishop Murphy Pakiam membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengisytiharkan bahawa tindakan KDN mengeluarkan larangan tersebut adalah tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang. Menurut mereka juga, kalimah Allah bukan hak eksklusif untuk Islam. Polemik ini berakhir apabila Mahkamah Persekutuan, pada 23 Jun 2014, memutuskan menolak permohonan pihak gereja menggunakan kalimah Allah dalam akhbar Herald: The Catholic Weekly.

Sekalipun KDN menyatakan bahawa kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penghakiman pada 10 Mac 2021 tersebut, perlu diakui bahawa isu ini telah menyebabkan ketegangan agama antara penganut Islam dengan penganut Kristian di Malaysia semakin memuncak. Respons pantas daripada Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pada 14 Mac 2021 contohnya, secara tegas menyelar pihak yang bersetuju menggunakan kalimah Allah kepada selain agama Islam.

Resolusi PEMBELA secara jelas menuntut agar kerajaan dan Jawatankuasa Pemilihan Hakim memastikan hanya hakim yang benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar sahaja boleh dilantik sebagai hakim. Bukan itu sahaja, DYMM Sultan Johor pada 18 Mac 2021, disusuli DYMM Sultan Selangor pada 23 Mac 2021, turut menzahirkan perkara yang sama untuk mempertahankan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh agama umat Islam.

Walau bagaimanapun, tulisan ini tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan mengenai penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 tersebut, sekalipun bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak orang telah mengulas isu ini dan proses rayuan sedang berjalan. Maka itu, tulisan ini akan memfokuskan aspek lain, khususnya berkaitan dengan sejarah penggunaan atau terjemahan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dan ancamannya terhadap umat Islam di Malaysia.

Perlu dicatatkan terlebih dahulu bahawa Bible terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Perjanjian Lama (Tanakh) merujuk himpunan buku-buku Yahudi bermula daripada Nabi Musa a.s., manakala Perjanjian Baru merujuk himpunan buku-buku Nasrani bermula daripada Nabi Isa a.s. (Jesus bagi Kristian). Kedua-dua perjanjian ini asalnya dalam bahasa Ibrani (Hebrew), namun kemudiannya Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Gabungan kedua-duanya dikenali sebagai Bible.

Berdasarkan fakta ini, Bible selain daripada Bible yang disebutkan di atas versi terjemahan semata-mata, termasuklah Bible dalam bahasa Inggeris yang banyak dijadikan rujukan oleh penganut Kristian. Bahkan, Bible bahasa Inggeris tersebut diterjemahkan pula dalam bahasa yang lain di seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan keaslian Bible kian menghilang, kerana terjemahan yang dilakukan adalah dengan membuang dan menggantikan bahasa asal Bible kepada bahasa terjemahan masing-masing.

Tanpa berhasrat menyentuh aspek lain berkaitan dengan penulisan Bible seperti tokok tambah (rujuk Surah al-Ma’idah 5:13-15) dan perbezaan versi Katolik dan Protesten, perlu dinyatakan bahawa hal sebegini tidak berlaku kepada al-Quran. Terjemahan al-Quran bukan menggantikan teks al-Quran daripada bahasa asal, iaitu bahasa Arab kepada bahasa lain. Sebaliknya, penterjemahan sekadar memberikan kefahaman lafaz al-Quran mengikut bahasa terjemahan masing-masing dengan mengekalkan bahasa asal al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah SWT.

Oleh sebab itu, setiap umat Islam tanpa mengira bangsa dan negara boleh membaca al-Quran dalam bahasa asalnya, iaitu bahasa Arab. Malah, sebahagian mereka turut menghafal al-Quran secara keseluruhannya.

Tuntasnya, semua umat Islam pada hakikatnya membaca dan merujuk teks al-Quran yang sama dan satu walaupun terdapat versi terjemahan dalam pelbagai bahasa. Situasi demikian sekali gus membuktikan bahawa al-Quran ialah mukjizat terbesar yang kekal terpelihara dalam bentuk aslinya hingga kini.

Firman Allah SWT bermaksud, “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Zikr (al-Quran) dan Kami yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr 15:9).

Keadaan ini berbeza dengan penganut Kristian yang didapati tidak menjadikan Bible asli sebagai rujukan. Mereka memadai bergantung pada Bible terjemahan sahaja. Bahkan, sebahagian besar mereka tidak dapat membaca Bible asal dalam bahasa Ibrani atau Greek. Kekurangan tersebut menyebabkan agama Kristian terdedah kepada kesilapan dan penyelewengan daripada penterjemah.

Mengambil satu contoh, perkataan Muhammadin (מַחֲמַדִּ) dalam Bible asal berbahasa Ibrani yang sebetulnya bermaksud Nabi Muhammad SAW, tetapi telah diterjemahkan sebagai he is altogether lovely atau segala sesuatu padanya menarik, dengan dibuang terus nama Nabi Muhammad SAW (rujuk Song of Songs atau Kidung Agung, 5:16). Implikasi terjemahan tersebut membawa kepada penolakan terhadap kebenaran Nabi Muhammad SAW, termasuk agama Islam oleh penganut Kristian.

Persoalan ini, iaitu ketepatan terjemahan perlu diberikan perhatian yang serius bagi memastikan keabsahan dan kefahaman ajaran Kristian bertepatan dengan teks Bible yang asli.

Oleh itu, tidak memadai hanya bergantung pada terjemahan sahaja, kerana naskhah tersebut tidak sepenuhnya melambangkan kandungan atau agama Kristian yang sebenar. Bagi membincangkan polemik kalimah Allah, asas yang pertama semua pihak perlu bersetuju untuk kembali merujuk Bible yang asal sama ada terdapat perkataan Allah atau tidak, agar salah faham dan kekeliruan mengenainya dapat diselesaikan.

Sorotan dalam Bible asli menunjukkan bahawa nama Tuhan bagi kaum Yahudi ialah YaHuWaH (kemudian ditukar kepada Adonai, iaitu bermaksud Tuan), yang dikenali sebagai Yahweh oleh penganut Kristian. Selain itu, Kristian juga menamakan Tuhan mereka sebagai Elohim, atau Eli dan Eloi, serta Jehovah. Dalam Bible bahasa Greek, nama Tuhan diterjemahkan sebagai Kurios, dalam bahasa Latin sebagai Dominus, dan dalam bahasa Inggeris sebagai Lord. Tiada satu pun Bible tersebut yang mencatatkan kalimah Allah walaupun sekali.

Oleh hal yang demikian, timbul persoalan bagaimanakah kalimah Allah boleh terdapat dalam Bible bahasa Melayu? Maka itu, perlu diteliti sejarah proses penterjemahan Bible dalam bahasa Melayu agar polemik ini segera diredakan.


Muhammad Rashidi Wahab (Dr.) ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi