Oleh hidayah
26 Mac 2021, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible. Baginda menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan buku atau tulisan agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di negeri itu.

Pada 17 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Muslim dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Menteri Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia. Baginda mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, “Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini  menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab beta seperti firman Allah SWT dalam ayat 65 Surah al-Tawbah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah yang bermaksud, “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Titah baginda lagi, rakyat baginda yang bukan beragama Islam di negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988. Hai ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan dengan agama mereka, maka beta juga menggesa penganut agama lain untuk menghormati penganut agama Islam, khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah baginda.

Baginda menekankan supaya rakyat dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negeri Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.