Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Phang Nga – Perkampungan Sunnah akan kembali berlangsung pada 3 hingga 5 Mei 2024 di Masjid Alwi, Kangar.

Golongan agamawan dari Selatan Thailand, khususnya enam Wilayah Andaman meliputi Ranong, Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dialu-alukan untuk beramai-ramai bertandang ke Perlis bagi menghadiri Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 bagi tahun 2024 ini yang juga diadakan  bersempena dengan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

MAsyarakat Islam Selatan Thailand merupakan antara pengunjung yang akan menghadiri Perkampungan Sunnah pada setiap kali penganjurannya, namun jumlah ini diharapkan akan meningkat dari masa ke masa agar segala perkongsian dalam program ini akan dapat dibawa pulang dan dikongsi kepada umat Islam lain di kawasan masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis di Restoran Krua Bang Phat, Phang Nga, Thailand pada Sabtu.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Promosi tersebut merupakan anjuran restoran tersebut dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Miza di Kampung Gial, Perlis.

Tambah istimewa pada kali ini juadah dimasak sendiri oleh Ketua Penyelaras Malaysia bagi Jaringan MAIPs dengan Majlis Agama Islam Enam Wilayah Andaman, YBhg. Datuk Zul Aznam Haron dan Pengusaha Restoran Miza, Ashidan Mat Isa.

Untuk rekod, Perkampungan Sunnah ini juga merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh umat Islam di Malaysia dan Thailand, malah negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Kemboja.

Majlis penutupan Perkampungan Sunnah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama MAIPs serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) tahun ini akan disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis pada Ahad, 5 Mei 2024 pada jam 9.30 malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.