Oleh Noorilham Ismail
28 April 2024, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemenangan, satu kalimah yang lazimnya diuar-uarkan dalam laungan kegembiraan tatkala Syawal tiba selepas pemergian Ramadan. Biarpun cuma satu perkataan, tetapi kalimah tersebut terlalu abstrak untuk dimengerti. Kita boleh sahaja tanyakan, apakah rasa kemenangan itu persis jaringan minit akhir Manchester United yang menewaskan Bayern Munich dalam Liga Juara-juara Eropah tahun 1999? Adakah kemenangan itu seperti perlumbaan Formula 1 (F1) di litar yang bersimpang-siur sebelum pemenangnya menaiki podium kejuaraan? Sudah tentu tidak, kerana kemenangan yang dikecap dalam bulan Syawal berkaitan dengan ketinggian martabat insan daripada kerendahan diri sebagai hamba dalam hubungannya dengan Maha Pencipta. Kemenangan dalam Syawal itu juga mempunyai untaian yang murni bagi menggabungjalinkan ikatan kemanusiaan.

Seseorang Muslim akan beroleh kemenangan pertama apabila dirinya berjaya menyempurnakan ibadat puasa selama 30 hari dalam bulan Ramadan yang bermukim sebentar sebelum hadirnya Syawal. Rukun Islam ketiga ini pada asasnya telah menginterpretasikan perkara metafizik yang kita yakini dalam rukun iman. Kita percaya kepada Allah dan rasul dalam rukun iman tersebut, tetapi adakah kepercayaan tersebut sempurna tanpa kelakuan ibadat yang dizahirkan tentangnya? Kemenangan setelah penat berpuasa yang diraikan pada 1 Syawal seharusnya memperkukuh dalam diri rasa syukur kepada Allah yang mengizinkan kita untuk melaluinya. Di sebalik alunan takbir pada pagi Syawal, kita setidak-tidaknya telah menyahut dan menyempurnakan firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:83).

Umat Islam seharusnya tahu mengawal hawa nafsu daripada berbelanja melampaui kemampuan demi menyambut kehadiran bulan Syawal.

Wajar juga buat kita untuk menyambut kunjungan Syawal dengan kemenangan dalam diri yang telah berjaya mengendalikan hawa nafsu. Menjadi tuntutan bagi diri setiap insan untuk mendidik hawa nafsu seperti yang dibicarakan oleh Imam al-Ghazali tentang tazkiyah al-nafs. Penyucian dalaman diri ini bersifat sufistik yang berupaya untuk membantu kita melepaskan diri daripada belenggu haloba dan cengkaman rasa tidak cukup dengan apa-apa yang ada dalam hidup. Biarlah kita amati hari-hari dalam bulan Syawal sebagai kesinambungan daripada ta’dib dan tarbiah yang menyantuni kita sepanjang bulan Ramadan sebelumnya. Fahamkanlah firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Surah al-Shams 91:9-10).

Contoh yang diungkapkan tersebut barangkali lebih bersifat spiritual, tetapi percayalah kita masih boleh merasakan kemenangan tatkala tibanya Syawal dalam soal kebendaan. Perkara berkenaan hadir jika kita mampu membendung diri daripada terpedaya dengan adegan bayang-bayang materialistik yang menggoda supaya kita melakukan pembaziran pada hari raya. Pelbagai promosi mungkin sahaja disajikan kepada kita di media sosial mahupun media elektronik agar kita berbelanja melampaui kemampuan. Seharusnya Syawal yang tiba mampu menyedarkan kita supaya mengukur baju di badan sendiri dalam konteks berjimat cermat tatkala cabaran ekonomi semakin menguji kini daripada masalah inflasi, ketidaktentuan nilai mata wang, mahupun peningkatan kos sara hidup.

Berhubung dengan status kita sebagai makhluk sosial yang rasional, jadikanlah Syawal sebagai arena untuk kita raikan kemenangan silaturahim. Apakah yang boleh kita fahami tentang hal ini? Perkara tersebut tidak lain berkaitan dengan usaha kita membina ikatan persaudaraan yang barangkali diuji dengan liku persengketaan dan ditusuk oleh duri perbalahan. Melalui kesempatan usia yang ada, perlulah kita gunakan peluang bermaaf-maafan ketika bulan Syawal untuk kita merobohkan dinding permusuhan sesama insan. Jika hal tersebut berjaya kita lakukan, didiklah diri agar tidak mengulangi sebarang perilaku yang boleh memutuskan semula ikatan kasih sayang yang kembali terjalin. Benar, adanya sesetengah perkara sukar untuk dimaafkan tetapi fahamilah bahawa kemaafan itu sebagai jalan melunaskan dendam yang terindah.

Selain itu, kemenangan dalam bulan Syawal boleh kita raikan dalam lapangan semangat kemanusiaan sesama insan. Tidak semua antara kita boleh menikmati kehadiran hari raya dengan cara dan gaya yang sama kerana kondisi masing-masing berbeza. Bukannya bersifat kasta, tetapi dalam lingkungan sosial itu sendiri adanya golongan miskin dan kaya, bahkan yang lengkap berkeluarga mahupun ketiadaan ibu bapa. Realiti sebegitu tidak boleh kita nafikan kerana itulah dunia, satu yang mempunyai kerencaman dan kepelbagaian.

Sebagai tamsilan, kita boleh sahaja memulakannya dengan bantuan kepada sesama sanak saudara, sahabat handai di samping kejiranan yang memerlukan. Tanyakan pada diri, apakah ada kesusahan dalam kalangan mereka? Adakah mereka cukup dari segi makan, pakai dan minum? Bagaimanakah cara terbaik untuk kita membantunya? Buka mata dan fahamilah firman Allah yang bermaksud, “Berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan tetangga jauh, teman sejawat, ibn al-sabil, serta hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi sangat membanggakan diri.” (Surah al-Nisa’ 4:36).

Kemeriahan Syawal tidak perlu diraikan dengan letupan mercun dan  bunga api, sebaliknya hargailah dengan kemeriahan temasya dalam jiwa yang menghubungkan hubungan sesama manusia.

Di sebalik kemeriahan Syawal, seharusnya kita insafi kemenangan besar yang dikecap oleh umat terdahulu tatkala mereka memperluas syiar dan syariat Islam. Rasulullah SAW dan para sahabat juga berjuang pada bulan Syawal dalam Peperangan Khandaq, manakala Tariq bin Ziyad memperoleh kemenangan dalam pembukaan Andalusia pada bulan mulia ini. Kesukaran yang mereka lalui membolehkan generasi Muslim dan Muslimat berikutnya menikmati hasilnya dalam bentuk keimanan, ikatan kesatuan ummah dan kegemilangan peradaban Islam pada suatu ketika. Kita di Malaysia pada hari ini tidak perlu pun berperang untuk menyebarkan Islam kerana bukan sahaja kita dilahirkan daripada keluarga yang berpegang pada Islam, tetapi keharmonian di negara ini telah memberikan peluang untuk kita menikmatinya. Usahlah kita biarkan Islam sebagai baka semata-mata, tetapi seharusnya pertahankan ketinggian nilai Islam dalam diri.

Sebagai rumus bicara, kehadiran Syawal bukanlah untuk kita alpa dengan kegembiraan, tetapi perlu diraikan sebagai anugerah kemenangan. Bukan sahaja untuk diri kita sebagai individu, tetapi mempunyai hubung kaitnya dengan Allah Rab al-‘alamin dan ruang sosial yang dikelilingi dengan ragam masyarakat. Tidak perlu letupan mercun dan pembakaran bunga api, sebaliknya biarlah Syawal yang datang setahun sekali kita hargai dengan kemeriahan temasya dalam jiwa yang menghubungkan hubungan sesama manusia. Biarpun hanya satu perkataan, hendaklah kita hayati makna kata terbitan “kemenangan” supaya dapat dirasai sebagai satu pencapaian. Pencapaian itu pula haruslah dipertahankan dan kita perlu sedar bahawa usaha untuk mempertahankan kemenangan itu lebih sukar daripada perjalanan untuk mencapainya. Oleh itu, perihal kemenangan dalam Syawal yang telah kita bicarakan di sini biarlah dijadikan sebagai satu coretan yang setidak-tidaknya menjadi sekelumit pemangkin buat diri kita ke arah yang lebih baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.