Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Kajian hadis memainkan peranan penting untuk memahami ajaran Islam secara menyeluruh, namun pada era kontemporari ini, kajian hadis berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kompleks.
Menurut Profesor bidang Hadis dari Universitas Islam Negeri Alauddin, Makassar, Indonesia, Prof. Zulfahmi, S.Ag., M.Ag., Ph.D, cabaran tersebut datang baik dari sudut dalaman umat Islam mahupun tekanan daripada pihak luar seperti orientalis.
Ketika sesi syarahan kuliah tamu dalam subjek Kajian Tafsir dan Hadis di Nusantara, yang bertajuk “Cabaran Kajian Hadis Era Kontemporer” yang diadakan di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau berkata, pelbagai kritikan terhadap hadis telah dikemukakan oleh golongan orientalis dan aliran pemikiran moden.
“Antaranya termasuklah pandangan Ignaz Goldziher yang mendakwa bahawa hadis merupakan hasil rekaan ulama pada abad pertama dan kedua Hijrah,” katanya.
Tambah beliau, hal tersebut diperkuat oleh teori “Projecting Back” yang diperkenalkan oleh Joseph Schacht, yang menyatakan bahawa banyak hadis baharu sebenarnya merupakan hasil perkembangan hukum Islam dan kemudiannya disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW serta para sahabat, juga hadis ialah produk masa lalu yang tidak lagi relevan.
Kata Prof. Dr. Zulfahmi lagi, kritikan seperti ini menuntut pengkaji Islam untuk memiliki penguasaan ilmu yang tinggi dan metodologi yang kukuh agar dapat menjawab serta menangkis dakwaan yang tidak berasas tersebut.
Beliau juga menegaskan, cabaran daripada kalangan umat Islam sendiri juga tidak kurang hebatnya disebabkan oleh kekurangan literasi tentang hadis yang masih menjadi isu utama.
Menurut Prof. Dr. Zulfahmi, “Ramai yang beranggapan bahawa mempelajari hadis hanya relevan untuk pelajar agama, sehingga menyebabkan majoriti umat Islam tidak memahami kedudukan hadis sebagai sumber kedua ajaran Islam.
“(Keadaan tersebut) menyebabkan ramai yang tidak tahu cara menentukan keabsahan hadis mahupun memahami kandungannya,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, “Keadaan ini diperburuk lagi oleh semangat beragama tanpa ilmu yang mendalam telah membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat, penggunaan hadis palsu, dan kemunculan golongan yang menolak sunah.
“Pada masa yang sama, penguasaan metodologi kajian hadis dalam kalangan umat Islam juga masih lemah,” jelas beliau.
“Penyelidikan terhadap sanad dan matan hadis sering kali dilakukan secara sambil lewa, manakala rujukan terhadap literatur klasik tidak mencukupi, menjadikan hasil kajian kurang berkualiti,” tambahnya.

Pendekatan yang salah dalam memahami hadis boleh menyebabkan salah tafsir, menjadikan Islam kelihatan sukar untuk diamalkan, atau menimbulkan kontroversi dalam penerapannya.
Untuk mengatasi masalah ini, pendekatan tafsir yang holistik dan relevan perlu dilaksanakan seperti yang dinyatakan oleh al-Shatibi dalam al-Muwafaqat, bahawa pemahaman terhadap sesuatu teks agama seperti hadis tidak boleh dilakukan secara terpisah tetapi harus dikaitkan dengan teks lain yang relevan untuk menghasilkan kesimpulan yang lebih mendekati maksud sebenar Nabi Muhammad SAW.
Tuntasnya, tanggungjawab melindungi hadis terletak pada bahu setiap umat Islam, di samping penguasaan metodologi yang komprehensif dan kritis menjadi kunci utama untuk memastikan keaslian serta teks hadis dapat terus dipertahankan.
Kritikan terhadap hadis perlu dijawab dengan hujah ilmiah yang kuat dan signifikan, agar tidak menjadi “kebenaran palsu” yang mengelirukan, dan pada masa yang sama, umat Islam perlu membina kesedaran bahawa hadis bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi merupakan sumber utama ajaran Islam yang menjadi panduan dalam kehidupan seharian.
Dengan gabungan cinta kepada sunah dan pengetahuan yang mendalam, keaslian dan relevansi hadis akan terus terpelihara sebagai warisan yang tiada tandingan bagi umat Islam sepanjang zaman.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.