Diterbitkan pada 14 November 2024, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi –  Kerjasama antara Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Fakultas Ushuludin, Adab dan Dakwah, Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris Samarinda, (UINSI Samarinda) melalui Webinar Antarabangsa Ulama Nusantara ke-IV (WAU 4) memartabatkan peranan ulama serantau.

Webinar yang diadakan pada 12 November 2024 yang lalu memberikan pendedahan tentang peranan, jasa dan sumbangan yang telah ditaburkan oleh ulama Nusantara, serta respons mereka terhadap isu kontemporari yang melingkari kehidupan masyarakat serantau.

Tangkap layar paparan yang menunjukkan sesi sidang selari pembentangan artikel yang melibatkan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris Samarinda, (UINSI Samarinda) melalui Webinar Antarabangsa Ulama Nusantara ke-IV (WAU 4), pada 12 November 2024.

Ketua Program al-Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM, Dr. Mohd Manawi Mohd Akib berkata, “Webinar ini menjadi platform penting untuk memastikan warisan berharga ini dipelihara, sekali gus menghargai dan mengambil manfaat daripada khazanah ilmu ulama kita.”

“Dengan ini, generasi masa kini dan akan datang dapat memahami nilai dan kepentingan pendekatan ulama Nusantara dalam menghadapi isu kontemporari yang melingkari kehidupan masyarakat kita,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Ibn Khaldun selaku Koordinator Program Studi Ilmu al-Qur’an dan Tafsir UINSI berkata,

Memperkaya pemahaman tentang adaptasi Islam Nusantara terhadap perkembangan globalisasi dan teknologi mampu menghasilkan pemikiran Islam yang inovatif dan relevan bagi umat Muslim pada era digital.

Gambar para pelajar dan pensyarah UKM yang terlibat dalam Webinar Antarabangsa Ulama Nusantara Ke-4.

WAU 4 bertemakan “Islam Nusantara: Pendekatan dan Respons terhadap Globalisasi dan Teknologi” melibatkan pembentangan sebanyak 74 artikel oleh para pelajar di UKM secara bersemuka, manakala 13 artikel pembentangan secara dalam talian daripada pelajar S1, UINSI Samarinda, sebanyak empat orang pengucaptama dan dua orang pensyarah jemputan.

Penganjuran WAU 4 merupakan satu usaha bagi memastikan warisan ulama Nusantara terus dipelihara dan juga dapat memberikan peluang kepada peserta dan masyarakat untuk menghargai serta memanfaatkannya.

Pengucaptama diwakili oleh Dr. Iskandar, M.Ag. bertajuk “Penggunaan AI untuk Mendeteksi Bias dalam Penafsiran Al-Qur’an: Analisis Tafsir al-Mishbah karya Quraish Shihab”; Dr. Najah Nadiah binti Amran – “Sumbangan Abdul Hayei Abdul Sukor dan Jawiah Dakir terhadap Pendidikan Hadis di Malaysia”; Dr. Ibn Khaldun, M.IRKH– “Dinamika Otoritas di Dunia Digital: Refleksi Nilai-nilai al-Quran dalam Menghadapi Tentangan Moden”, Pn. Nor Syamimi binti Mohd (UKM) – “Respons Ulama Tafsir di Malaysia terhadap Isu-isu Kemasyarakatan”.

Sementara itu, pensyarah jemputan ialah Prof. Madya Dr. Latifah Abdul Majid – “Jaringan Ulama Nusantara dengan Dunia Islam” dan Dr Farhan Md. Arifin, “Amalan Sunah untuk Keselamatan Makanan: Perspektif dari Bahrul Madhi”.

Program ini berkonsepkan persidangan berkala setiap tahun yang melibatkan penyertaan daripada ahli akademik, para pelajar dan masyarakat awam dari pelbagai negara serantau khususnya dari UKM dan UINSI Samarinda.


Penulis ialah pensyarah di Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi