Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka Kami membuka pintu-pintu langit dengan (menurunkan) hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air, maka bertemulah air (langit dan bumi) itu sehingga (membuak dan menimbulkan) keadaan (bencana) yang telah ditetapkan oleh Allah (di Lohmahfuz). Dan Kami bawa Nuh (bersama-sama para pengikutnya) naik ke atas (bahtera yang diperbuat) daripada papan dan pasak.”
(Surah al-Qamar 54:11-13)
Musim tengkujuh dijangka bermula pada bulan ini dan diramalkan akan berterusan hingga bulan Mac tahun hadapan. Dalam tempoh tersebut, perubahan cuaca yang membawa hujan lebat berterusan boleh mengakibatkan berlaku banjir besar terutamanya di kawasan yang berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. Jabatan Meteorologi melaporkan bahawa sekurang-kurangnya tujuh buah negeri di Malaysia dijangka menghadapi hujan lebat dan ribut petir.
Sesungguhnya kejadian alam, musibah dan bencana merupakan ketentuan dan ketetapan daripada Allah SWT, serta berlaku disebabkan dua perkara, iaitu:
Pertama: Ketetapan Allah SWT untuk menguji manusia di samping mengingatkan manusia bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa, dan tiada satu pun makhluk yang mampu menghalang atau mengelak ketetapan Allah SWT.
Kedua: Bencana berlaku berpunca daripada perbuatan kecuaian dan kezaliman manusia. Al-Quran menggambarkan perbuatan fasad, iaitu melakukan kerosakan di atas muka bumi seperti membuang sampah sarap ke longkang, parit dan sungai sehingga menyebabkan longkang dan parit tersumbat serta mengganggu aliran air. Begitu juga dengan pembakaran terbuka, pembangunan di lereng bukit serta meratakan gunung, pembalakan, penebangan pokok dan penerokaan hutan yang menyebabkan berlakunya hakisan, di samping mengakibatkan berlakunya perubahan pada rupa bentuk semula jadi alam, serta menjadi penyebab cuaca menjadi lebih panas pada tahap luar biasa.

Hujan lebat yang diramalkan dalam tempoh dua bulan ini, kemungkinan akan mengakibatkan berlaku banjir. Pepatah Melayu mengingatkan agar menyediakan payung sebelum hujan. Kisah Nabi Allah Nuh a.s. membina bahtera bagi menghadapi banjir wajar dijadikan contoh. Orang ramai diberikan beberapa panduan yang berikut sebagai langkah peringatan dan persediaan:
Pertama: Dapatkan maklumat terkini tentang banjir melalui siaran televisyen, pengumuman radio dan pengumuman daripada jabatan yang berkaitan.
Kedua: Sistem Amaran Awal Banjir telah dipasang di tempat-tempat sekitar tebing sungai untuk memberikan amaran kepada penduduk apabila air sungai mulai naik ke paras bahaya. Bertindak segera sebaik sahaja terdengar siren amaran. Siren amaran akan berbunyi dua kali. Siren pertama dibunyikan apabila aras air berada pada peringkat berjaga-jaga; dan siren kedua berbunyi apabila aras air berada pada peringkat bahaya. Apabila kedengaran bunyi siren pertama, bersiap sedialah untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Ketiga: Persediaan sebelum banjir. Lakukan pemeriksaan saluran air seperti longkang, parit atau saluran najis daripada tersumbat, dan bersihkan daripada sampah sarap yang menghalang aliran air. Sediakan keperluan asas seperti lampin dan susu untuk bayi, makanan untuk kanak-kanak, ubat-ubatan yang diperlukan, serta pakaian panas untuk keperluan orang dewasa dan kanak-kanak, di samping lampu picit dan pengecas bateri telefon bimbit di dalam beg secara khusus.
Keempat: Memindahkan kenderaan, perabot dan peralatan rumah ke tempat yang lebih tinggi, menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat atau dibawa bersama di dalam bekas kalis air, dan mematikan suis elektrik serta injap utama bekalan air dan gas di rumah.
Kelima: Elakkan melalui kawasan banjir berarus deras yang boleh menghanyutkan, tidak menyentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh, mencegah kanak-kanak mendekati longkang, sungai dan lombong, atau meminum air banjir.
Keenam: Mengambil tanggungjawab bersama menjaga kebersihan ketika berada di pusat pemindahan. Wanita terutamanya, perlu menjaga aurat dengan sempurna, mengawal percampuran antara lelaki dengan perempuan, serta tidak terlepas mengerjakan ibadat fardu, di samping membanyakkan berzikir kepada Allah SWT untuk menenangkan jiwa.
Ketujuh: Bermuhasabah dan memohon keampunan Ilahi. Ketika menghadapi musibah, elakkan daripada melakukan perbuatan menyalahkan takdir atau menuding jari kepada orang lain kerana perbuatan tersebut tidak membantu menyelesaikan masalah. Umat Islam diseru bermuhasabah diri dengan melihat dan mengenal pasti bentuk dan punca setiap musibah, lalu memikirkan kaedah berkesan menangani musibah. Sebaik-baik tindakan ketika menghadapi apa-apa jua musibah adalah dengan beristighfar memohon diampunkan dosa yang pernah dilakukan, serta memohon ihsan rahmat pertolongan daripada Allah agar menggantikan rezeki yang lebih baik atas apa-apa juga kehilangan yang ditanggung.
Kelapan: Berdoa dengan memohon perlindungan daripada musibah banjir. Antara doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada kita termasuklah:

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada ujian yang menyulitkan, kesengsaraan yang menderitakan, takdir yang buruk dan juga cacian musuh.”
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah seperti yang berikut:
Pertama: Musibah dan bencana ditentukan oleh Allah SWT untuk menguji sejauh mana manusia beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa serta mengingatkan manusia agar istiqamah meningkatkan ketakwaan di samping menjauhi kehidupan yang melalaikan.
Kedua: Melakukan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan merupakan amalan yang dianjurkan oleh syarak sesuai untuk menjamin kemaslahatan dan kesejahteraan hidup manusia.
Ketiga: Umat Islam yang tidak ditimpa musibah banjir hendaklah menunjukkan tanda kesyukuran, menunjukkan simpati dan ihsan kepada mangsa banjir dengan bersifat pemurah, menghulurkan bantuan berbentuk tenaga, masa, makanan, pakaian, khidmat kesihatan percuma, ubat-ubatan dan wang ringgit untuk meringankan tanggungan mangsa banjir.
Keempat: Jawatankuasa masjid, badan sukarela, kebajikan dan belia hendaklah berada di barisan hadapan, menawarkan pelbagai khidmat dan bantuan, termasuklah mengadakan tabung khas dan pungutan derma khusus di masjid untuk membantu mangsa banjir.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 8 November 2024, bertajuk “Menghadapi Musim Tengkujuh: Peringatan dan Persediaan”)