Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dengan menerangkan kebenaran! Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa sahaja) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Ma’idah 5:8)
Mahkamah syariah ialah institusi kehakiman yang berperanan sebagai dewan atau majlis pengadilan, serta mempunyai hak dan juga kuasa untuk mendengar dan memutuskan perbicaraan kes yang berkaitan dengan perundangan Islam berlandaskan undang-undang yang telah dikanunkan.
Mahkamah syariah ditubuhkan sesuai dengan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Sembilan Senarai 2 yang telah memberikan bidang kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mentadbir hal ehwal undang-undang Islam di negeri masing-masing.
Undang-undang syariah yang diperkenalkan bertujuan untuk memastikan syiar Islam dimartabatkan dan keadilan ditegakkan. Perundangan Islam mengatur segenap aspek kehidupan umat untuk tujuan kebaikan, bersifat mengutamakan keadilan serta menolak kemudaratan dan kezaliman tanpa mengira pangkat atau darjat, merangkumi semua pihak tanpa ada mana-mana pihak yang berkecuali selaras dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau mengadili manusia dengan apa-apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat.”
(Surah al-Nisa’ 4:105)
Undang-undang syariah di negara kita bukan sahaja bersifat adil, malah sangat menjaga dan melindungi kepentingan pelbagai pihak terutama bagi golongan yang menuntut keadilan. Mahkamah syariah berhak dan diberikan kuasa membicarakan apa-apa kesalahan serta memutuskan sesuatu hukuman atau keputusan di bawah enakmen yang telah digubal.
Mahkamah syariah bertindak sebagai penjaga keadilan bagi melindungi hak dan kepentingan kaum wanita serta anak-anak terutamanya dalam kes yang melibatkan pembubaran perkahwinan, tuntutan nafkah, hak penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian.
Sebagai contoh, hak penjagaan anak bersama (hadanah), mahkamah syariah memastikan bahawa penjagaan anak dibuat berdasarkan kepentingan terbaik anak-anak, mendapat pembelaan secukupnya dan tidak terabai sekalipun ibu dan bapanya sudah tidak hidup bersama. Mahkamah syariah juga bertanggungjawab menetapkan kadar nafkah yang harus dibayar oleh suami kepada bekas isteri dalam tempoh idah dan kepada anak sehingga mereka mampu berdikari.
Dalam kes jenayah syariah, dibicarakan kesalahan yang menyentuh kepentingan maqasid syariah, iaitu yang melibatkan kesucian agama, keselamatan nyawa, pemeliharaan akal, harta benda dan keturunan. Dalam usaha menangani kesalahan jenayah syariah, bagi maksud memelihara kesucian agama serta mengekang fahaman menyimpang, diperuntukkan Seksyen 9 (ajaran atau amalan menyeleweng), Seksyen 13 (perbuatan dan perkataan murtad) serta Seksyen 14 (mencela dan menghina agama Islam).
Sementara itu, kesalahan yang melibatkan penjagaan diri, dikanunkan di bawah Seksyen 53 (musahaqah, iaitu hubungan sejenis perempuan dengan perempuan), Seksyen 55 (lelaki berlagak seperti perempuan) dan Seksyen 57 (perbuatan tidak sopan).
Seksyen 59 (minuman yang memabukkan) diperuntukkan untuk kesalahan yang menjejaskan pemeliharaan penjagaan akal. Dari segi penjagaan harta, dikanunkan Seksyen 26 (kesalahan berjudi), Seksyen 42 (amil tidak menyerahkan pungutan) dan Seksyen 44 (menyalah guna harta Baitulmal). Seksyen 48 (persetubuhan haram), Seksyen 50 (hamil luar nikah) dan Seksyen 52 (qazaf), diperuntukkan bagi kesalahan yang melibatkan pemeliharaan keturunan.
Mahkamah syariah turut memastikan urusan hibah (pemberian), wasiat, wakaf dan pembahagian harta pusaka dilakukan mengikut peraturan hukum syariah. Hukum faraid memastikan keadilan dalam pembahagian harta terjamin meskipun selepas pemergian si mati.
Dirumuskan bahawa segala undang-undang syariah yang dikanunkan adalah bertujuan untuk meletakkan keadilan pada tempatnya yang sebenar melalui peranan dan tugas mahkamah syariah selaku institusi kehakiman yang dilantik oleh pihak pemerintah.
Oleh hal yang demikian, dirumuskan kesimpulan yang berikut:
Pertama: Syariah Islam ialah undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh syarak bertujuan untuk menyebarkan faedah dan kebaikan kepada manusia di samping menghindarkan manusia daripada kemudaratan, kezaliman dan keburukan bagi kelangsungan hidup yang sejahtera.
Kedua: Para hakim mahkamah syariah serta pihak yang terlibat dengan proses perbicaraan kes hendaklah memiliki iltizam, keberanian serta ketegasan untuk mengadili kes dengan penuh berintegriti, adil dan telus, tanpa gentar dan tanpa pilih kasih agar kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman sentiasa terpelihara.
Ketiga: Prinsip kedaulatan undang-undang yang diterapkan dalam Rukun Negara membuktikan Malaysia menjunjung tinggi nilai keadilan sejagat melalui bidang kuasa dan peranan yang dimiliki oleh badan kehakiman, meletakkan undang-undang berada pada kedudukan yang tinggi, serta terpakai kepada semua lapisan masyarakat.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 4 Oktober 2024, bertajuk “Mahkamah Syariah Menjunjung Keadilan”)