Diterbitkan pada 30 September 2024, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam usaha melahirkan generasi muda yang kukuh dari segi akhlak dan memiliki ilmu yang dapat memimpin antara satu dengan yang lain mengikut landasan yang benar, kita tidak terlepas daripada pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, lebih-lebih lagi dalam kehidupan yang tanpa batasan ini. Perkara yang tidak asing pada pendengaran kita ialah masalah sosial yang melibatkan generasi muda sehingga membawa kepada keruntuhan akhlak. Hal ini berkemungkinan berlaku disebabkan oleh tiada kemantapan akidah serta akhlak dalam diri mereka.

Bagi membina akhlak dan akidah yang kukuh agar mempunyai tamadun manusia yang hebat, generasi muda perlu menghayati nilai dan adab yang dianjurkan dalam Islam. Antara nilai yang perlu dipasakkan dalam hidup termasuklah menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan hidup.

Selain itu, generasi muda perlu memiliki ikon untuk dijadikan contoh sebagai inspirasi. Ikon unggul yang sesuai dijadikan inspirasi anak muda pada masa ini dengan kehebatan hidupnya ialah Nabi Muhammad SAW yang kehidupannya penuh dengan pancaroba dan onak duri. Tidak terbanding kesusahan yang dihadapi oleh Baginda untuk menyebarkan dakwah Islam.

Nikmat dari segi masa yang diberikan oleh Allah SWT hendaklah dimanfaatkan oleh generasi muda bagi menambahkan ilmu pengetahuan serta amal soleh. Kekuatan dari segi rohani dan fizikal menjadi tonggak utama kepada sesebuah negara untuk membina negara tercinta yang teguh dan kukuh.

Tarikh 12 Rabiulawal bersamaan dengan 20 April 570M merupakan tarikh yang amat penting buat umat Islam apabila lahirnya seorang kekasih Allah, iaitu Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya disambut dengan gembira oleh keluarga Bani Hasyim.

Rasulullah SAW disifatkan sebagai seorang berkeperibadian tinggi dan berjiwa besar. Zaman kanak-kanak Baginda dimanfaatkan dengan mengikut bapa saudaranya, Abu Talib berniaga di Syam. Baginda juga merupakan seorang yang amat dipercayai oleh penduduk Kota Makkah sehingga diberikan gelaran al-Amin yang bererti orang yang dipercayai. Kepercayaan yang diberikan membuatkan Baginda menjadi orang kepercayaan kepada Sayidatina Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaannya.

Sejak kecil lagi, Baginda dikenali dengan sifat terpuji seperti jujur, sopan santun dan berjiwa besar. Sifat tersebut wajar diterapkan oleh ibu bapa dalam pendidikan anak sejak kecil lagi agar mereka menjadi insan cemerlang pada masa akan datang. Seperti pepatah mengatakan “melentur buluh biarlah semasa rebungnya”, maka peranan ibu bapa amat penting untuk mendidik anak mereka sejak kecil lagi.

Selain itu, dapat juga kita meneladani ketabahan dan kesabaran Nabi Muhammad SAW dalam usaha dakwah apabila terdapat penentangan dan permusuhan kaum kafir yang mempertikaikan ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda. Setelah turunnya wahyu pertama, Baginda bertekad untuk melaksanakan amanah yang telah diberi oleh Allah agar disebarkan kepada seluruh umat manusia walaupun pelbagai ujian yang dihadapi oleh Baginda dan Sayidatina Khadijah dalam usaha menyebarkan dakwahnya.

Baginda juga merupakan seorang ketua yang bersikap adil terhadap ahli keluarganya, serta merupakan pemimpin yang sentiasa menerima pandangan orang bawahan. Baginda menerima semua pandangan tanpa mengira pangkat ataupun darjat seseorang. Keistimewaan yang dimiliki oleh Baginda bukanlah suatu peluang bagi memandang rendah terhadap pandangan yang diutarakan oleh orang lain, namun Baginda mendengar dan menerima apa-apa jua pandangan yang mendatangkan manfaat.

Oleh hal yang demikian, sifat merendah diri amat wajar dipraktikkan dalam generasi muda bagi membina insan yang cemerlang. Kadangkala dengan pangkat yang diperoleh, seseorang akan mudah menjadi bongkak dan mendabik dada sehingga menjatuhkan orang lain dengan cara yang licik. Sikap sedemikian menyebabkan kewibawaan seseorang akan terhakis dan merosakkan kepimpinan.

Generasi muda memerlukan kekuatan untuk menyatukan masyarakat agar kembali kepada landasan agama Islam yang sebenarnya kerana kehidupan ini akan sentiasa didedahkan dengan ujian yang mampu menghilangkan nilai murni generasi muda. Sesetengah daripada mereka tidak memahami erti kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT yang membuatkan mereka menjadi lalai.

Hayatilah pengorbanan Baginda dalam usaha memperjuangkan syariat dan syiar yang dibawa agar mewujudkan rasa semangat dan kebersamaan untuk menegakkan agama Islam. Perjuangan Baginda tidak pernah lapuk ditelan zaman, malah sentiasa dijadikan rujukan dan diteladani sejak zaman-berzaman agar tidak dilupakan dalam ingatan masyarakat, terutamanya generasi muda kini.

Kehadiran Nabi Muhammad SAW dalam usaha mengangkat darjat wanita telah memberikan wanita hak sewajarnya sesuai dengan fitrah mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pada zaman jahiliah, wanita tiada nilai, bahkan lebih dahsyat, bayi perempuan turut ditanam hidup-hidup. Syariat Islam amat menjaga kehormatan wanita serta menjunjung tinggi wanita dari segi cara berpakaian mengikut syariat dan sebagainya. Oleh itu, risalah yang dibawa oleh Baginda menjadi sejarah terhadap perubahan yang berlaku terhadap kaum wanita, khususnya dalam usaha mendapatkan hak yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti dirinya di sisi Allah SWT sebagai sebahagian daripada makhluk-Nya.

Walau bagaimanapun, generasi muda masih lemah dalam hal menjaga kehormatan diri daripada perkara yang dilarang oleh agama. Amat menyedihkan apabila wanita terutamanya, dengan mudahnya bersosial seperti tiada batasan bersama-sama kaum lelaki sehingga bersentuhan dan tidak menutup aurat. Perkara sedemikianlah yang perlu dihindari agar tidak menjadi “barah” dalam generasi muda terutamanya kerana jika sikap sedemikian tidak dibendung, generasi muda semakin rosak akhlaknya.

Kesimpulannya, Rasulullah SAW ialah suri teladan yang baik buat seluruh umat. Tidak dinafikan bahawa pada zaman ini, wujudnya ikon yang amat dikagumi, namun keperibadian dan kebijaksanaan Baginda tiada bandingannya sehingga mampu membawa perubahan dunia sejak lebih 1400 tahun lalu. Transformasi yang dilakukan memberikan impak yang besar terhadap segala aspek seperti sosial, pemerintahan dan sebagainya.

Oleh itu, generasi muda hendaklah menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam kehidupan dan memberikan perubahan yang baik terhadap agama, bangsa dan negara. Apabila wujud negara yang mempunyai modal insan yang baik dan produktif, maka akan lahirlah generasi muda yang cemerlang dan terbilang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi