Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Manhaj islah (pembaikan) dan tajdid (pembaharuan) Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam usaha memperkasakan umat Islam amat penting dihayati oleh umat Islam, terutama para pendakwah dan pendidik masyarakat bagi memacu agenda membangunkan Malaysia MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata, manhaj al-Qaradawi telah diperakui oleh para ulama dan ilmuwan kerana mengandungi huraian tasawur Islam yang jelas dan sepadu, pendekatan yang sederhana, serta memiliki unsur gabung jalin yang harmoni antara warisan keilmuan masa lalu dengan masa ini bagi menangani cabaran dan keperluan umat Islam semasa.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Fikrah Madani Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi yang bertemakan “Penghayatan Manhaj Islah dan Tajdid dalam Pemerkasaan Umat” di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.
“Seminar ini akan menjadi pencetus kepada kelahiran sebuah gelombang kecerdasan akal yang kukuh berpandukan fikrah madani yang diperakui dan berwibawa dalam masyarakat.
“Hal ini sering dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri kerana beliau melihat permasalahan utama yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini ialah kedangkalan ilmu dan ketumpulan fikrah yang semakin berleluasa,” katanya.

Tambah beliau, akibat daripada permasalahan ini, minda masyarakat mudah dipesongkan dan dikelirukan oleh fahaman, ideologi atau doktrin yang tergelincir daripada dasar keyakinan, rasional dan daripada pendekatan sederhana (wasatiyah) sebagaimana yang dianjurkan oleh ajaran Islam.
“Dalam konteks ini, kita seharusnya bersyukur kerana masih memiliki para ulama yang mursyid yang sentiasa memandu pemahaman dan membina manhaj untuk kita terbaik ke arah menjayakan islah seterusnya menyempurnakan amanah dakwah pada hari ini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap Seminar Fikrah Madani akan menjadi satu jenama aktiviti pembangunan akliah umat Islam yang akan mendapat sambutan masyarakat, terutama dalam kalangan masyarakat Islam dalam tempoh terdekat ini.
“Saya yakin dengan kerjasama antara Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai jaringan institusi dan komuniti dengan pelbagai pihak pada peringat zon dan wilayah, agenda memasyarakatkan fikrah madani ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBrs. Dr. Muhamad Razak Idris.

Allahyarham Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang meninggal dunia pada 26 September 2022 merupakan seorang sarjana Islam yang berpengaruh, syumul, intelektual, aktivis sosial, penulis prolifik dan aktivis Islam yang menjadi rujukan kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia, malah terkenal dengan pandangan kesederhanaan, selain dianggap sebagai sarjana Islam yang kontemporari.
Keunikan manhaj islah dan tajdid yang dibawa oleh al-Qaradawi telah mendorong para ulama dan ilmuwan semasa menggelar almarhum sebagai ‘allamah, mujtahid, mujaddid, dan imam al-ummah wa al-dakwah.
Seminar tersebut turut dihadiri oleh Presiden WADAH, YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab. Rahman; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg. Profesor Datuk Dr. Muhamad Nur Manuty; Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; serta para peserta daripada pelbagai agensi agama.