Diterbitkan pada 22 Julai 2024, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – RHB Islamic Bank Berhad memperuntukkan RM46,720 melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk melengkapkan sebuah pusat pemerkasaan usahawan B40 dan asnaf terpilih dalam industri pembaikan alatan elektronik di negeri Perlis.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor sambil disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Negeri Arau baru-baru ini.

Datuk Adissadikin berkata, “Kerjasama berterusan kami dengan MAIPs merupakan bukti komitmen RHB Islamic ‘Making Progress Happen for Everyone!’ yang menyumbangkan zakat untuk memperkasakan komuniti asnaf dan meningkatkan taraf kehidupan mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.”

Program ini dijalankan melalui anak syarikat MAIPs, iaitu Akademi Transformasi Asnaf MAIPS (ATAM) untuk menyokong projek keusahawanan melibatkan golongan B40 dan komuniti asnaf terpilih di negeri ini.

ATAM dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Baikpulih Telefon Pintar di Kangar yang berfungsi sebagai ruang kerja khusus untuk para usahawan asnaf yang menceburi perniagaan pembaikan alatan elektronik. Pihak ATAM akan memainkan peranan bagi penyediaan kemahiran dan peralatan penting untuk menjayakan pusat ini kelak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyaksikan pemeteraian perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kolej Komuniti Arau, Perlis dengan ATAM bagi melaksanakan Projek Pembangunan Ekonomi B40 dan Asnaf tersebut.

Kerjasama yang berkesan ini akan memanfaatkan Pusat Transformasi Asnaf sedia ada yang disumbangkan oleh RHB Islamic yang menawarkan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada komuniti B40 dan asnaf.

Hingga kini, lebih 150 peserta daripada golongan asnaf telah mendapat manfaat daripada ketiga-tiga pusat ini, iaitu pengetahuan yang berharga dalam bidang seperti keusahawanan, kemahiran masakan dan perkhidmatan jahitan yang memberikan peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan untuk isi rumah masing-masing.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi