Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,

Maksudnya: “Dia (Allah) memberikan hikmah (kebijaksanaan) atau ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka itu, sesungguhnya yang diberikan hikmah itu dia benar-benar telah mendapat kurnia (kebaikan) yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran (daripada firman Allah) kecuali orang yang berakal dan tulus.”
(Surah al-Baqarah 2:269)
Manhaj ilmu bermaksud kaedah ilmiah yang jelas, digariskan untuk menghasilkan penelitian ilmu dalam satu-satu bidang, serta membuktikan kebenaran sesuatu maklumat. Sejak Rasulullah SAW diamanahkan tanggungjawab sebagai rasul, Baginda mengajarkan ilmu kepada para sahabat dengan kaedah yang benar dan tepat. Para sahabat bertanya kepada Baginda untuk mendapatkan kefahaman terhadap ayat al-Quran yang diturunkan. Maka itu, terbinalah manhaj berserta disiplin penghasilan bidang ilmu yang diwarisi turun-temurun daripada generasi ke generasi.
Contoh lain ialah cara Rasulullah SAW mempraktikkan manhaj dalam kaedah berdakwah. Dimulai dakwah secara rahsia melibatkan ahli keluarga terdekat, beralih kepada sahabat terdekat, sehinggalah diperkenalkan dakwah secara terang-terangan setelah Baginda SAW berjaya membina kekuatan bersama-sama sebilangan pengikut. Sudah tentu segala perkara yang dilakukan jika menuruti manhaj atau disiplin yang benar pasti membawa kejayaan dalam usaha mengembangkan syiar Islam.
Manhaj ilmu hendaklah dipelihara dengan kemuliaan dan nilai amanah termasuklah menjaga adab khilaf dan dikembarkan dengan sikap bertasamuh atau bertolak ansur. Setiap bidang ilmu Islam mempunyai manhaj atau disiplinnya tersendiri merangkumi ilmu tafsir, akidah, hadis, fiqah, syariah dan sirah. Kegagalan untuk memeliharanya menyebabkan hasil mahsul sesuatu ilmu menjadi berserabut, melanggar disiplin ilmu yang telah digariskan; sehingga mengeluarkan pandangan yang bukan berasaskan pengetahuan mendalam tentang bidang ilmu yang dibicarakan.
Ilmu tidak boleh menjadi alat kepentingan diri untuk mendapatkan kedudukan, harta, jawatan dan kemasyhuran. Diperhatikan bahawa ramai yang mengulas sesuatu mauduk yang mereka sendiri tidak mempunyai kefakihan dan kepakaran; ada pula yang memuatkan kandungan berbentuk ilmu dalam media sosial tanpa dikaji dan diteliti secara mendalam akan maklumat yang disampaikan. Lebih buruk, ada yang berhujah dan berdebat sehingga tahap melanggar batas yang ditetapkan oleh agama. Alangkah baik jika umat Islam saling bersetuju dan bersepakat tentang perkara dalam kerangka syarak, dan bersama-sama menyanggah perbuatan yang jelas bertentangan dengan syarak.
Sikap tidak bertanggungjawab menyebarkan ilmu di luar kepakaran boleh mencetuskan perbalahan sehingga mengakibatkan masyarakat menghadapi kecelaruan untuk memastikan antara yang benar dengan yang salah. Dibimbangkan jika keadaan ini berterusan, akan menyebabkan mereka yang ingin mempelajari ilmu pada peringkat permulaan akan patah hati dan hilang minat kerana keliru untuk memilih antara yang benar dengan yang salah.
Para agamawan terutamanya, wajib memastikan setiap ilmu yang disampaikan mestilah secara berhikmah – melalui proses penelitian dengan mencari dan mendahulukan sumber utama, benar, sahih dan tidak mengundang fitnah. Amat buruk sekiranya masjid sebagai tempat yang wajib menyebarkan ilmu yang benar dijadikan medan untuk menyampaikan cerita karut yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya, disampaikan pula dalam bahasa yang kesat, atau ada yang mengolah bahan jenaka dengan niat mahu mengundang gelak ketawa pendengar.
Bersifat amanahlah dengan ilmu. Jangan siarkan bahan yang disunting separuh jalan sehingga membawa maksud yang bersalahan daripada maksud sebenar. Jangan terlalu ghairah mahu menjadi orang pertama yang menyampaikan sesuatu ilmu yang dipetik daripada sumber kedua tanpa memastikan kesahihannya, kerana dikhuatiri ilmu yang disampaikan merupakan maklumat palsu.
Perlu difahami bahawa tujuan menuntut ilmu adalah untuk mengetahui kebenaran supaya dapat memahami perintah dan larangan Allah SWT agar memperoleh kebaikan dunia dan akhirat. Dikhuatiri umat Islam boleh terpesong fahaman dan tergelincir akidah jika ilmu disampaikan tanpa mengutamakan disiplin, disebabkan sikap berlumba-lumba ingin menjadi popular atau mendapat banyak peminat dengan cara menunjukkan kehandalan diri. Amaran tegas Rasulullah SAW terhadap golongan yang memperdagangkan ilmu sebagai bahan dagangan atau mainan hendaklah dijadikan pedoman. Sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.”
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Untuk mengawal dan menghindari daripada berlakunya sebaran diayah yang menyeleweng dan menyesatkan, penting bagi pihak berkuasa agama memperkenalkan syarat yang ketat terhadap mana-mana pihak yang ingin mengajar ilmu agama dengan mewajibkan mereka mengambil peperiksaan bagi menentukan kelayakan mereka diberikan tauliah mengajar.
Oleh hal yang demikian, umat Islam diberikan peringatan tentang perkara yang berikut:
Pertama: Tanpa ilmu, umat Islam akan berada dalam kegelapan, dan mungkin tersesat perjalanan ketika mengharungi kehidupan dunia sehingga mengakibatkan kesengsaraan menghadapi akhirat.
Kedua: Menuntut, mengkaji, mengajar dan menyebarkan ilmu merupakan ibadat dan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan dan ketakwaan. Hal ini bertujuan untuk mengenali kebesaran Allah SWT agar umat Islam memperoleh kebaikan dan manfaat di dunia ini serta turut dilimpahi ganjaran di akhirat kelak.
Ketiga: Rasulullah SAW memperingatkan kepada sesiapa yang menjadikan ilmu sebagai alat untuk memperoleh habuan dan kepentingan dunia, mereka tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. Sampaikanlah ilmu dengan tujuan untuk mendapatkan keredaan Ilahi, Insya-Allah ilmu akan menjadi amal penyambung pahala walaupun telah berada di alam barzakh.
Keempat: Ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah SAW mempunyai manhaj yang perlu diikuti. Sikap tidak beramanah dengan ilmu yang disampaikan akan memberikan kesan yang buruk, bukan sekadar kepada diri sendiri, malah lebih buruk kepada umat Islam keseluruhannya. Janganlah menjadi penyebab kepada perpecahan umat Islam melalui penyampaian ilmu dan ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar, insaflah akan balasan buruk di sisi Allah kepada mereka yang menjadi pencetus perselisihan sehingga mengakibatkan umat Islam berpecah.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 Julai 2024, bertajuk “Memelihara Kemuliaan Manhaj Ilmu”)