Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerbuatan menipu yang dilakukan dengan pelbagai helah untuk mengaut keuntungan merupakan perbuatan tercela. Penipuan yang dilakukan dengan pelbagai muslihat sehingga sanggup mengambil harta orang lain secara batil dan mengakibatkan orang lain menanggung kesusahan, bukan sekadar perbuatan berdosa, bahkan merupakan perbuatan yang zalim. Allah SWT melarang keras perbuatan mengambil harta orang lain secara batil berpandukan firman-Nya:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda-meredai (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri! Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”
(Surah al-Nisa’ 4:29)
Pelbagai kaedah penipuan dilaporkan berlaku membabitkan penipuan dalam pelbagai urusan perniagaan, tidak terkecuali pengurusan dalam perkara berkaitan dengan ibadat. Mutakhir ini, dilaporkan semakin berleluasa berlaku urus niaga berunsur penipuan atau dikenali dengan istilah scammer, yang turut melibatkan syarikat yang mengendalikan urusan ibadat. Umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa, diperdaya atau terperangkap dengan jerat penipuan yang bertopengkan ibadat mahupun kerja amal dan kebajikan.
Perbuatan tidak jujur dan tidak telus dalam urusan perniagaan bukan sahaja akan menimbulkan kemudaratan, malah turut menyebabkan hilangnya keberkatan seperti yang terkandung dalam sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Penjual dan pembeli mempunyai hak memilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan berterus terang (tentang keadaan barang), mereka akan mendapat keberkatan dalam jual beli mereka, dan jika mereka berbohong dan menutup (kecacatan barang), maka akan dihapuskan keberkatan jual beli mereka.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Yang berikut merupakan beberapa kegiatan penipuan yang dikenal pasti telah dan sedang berlaku dalam pengurusan ibadat, antaranya termasuklah:
Pertama: Tawaran pakej ibadat haji dan umrah. Untuk menunaikan haji dan umrah memerlukan perbelanjaan yang banyak. Kini, wujud pihak yang mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan demi mengaut keuntungan melalui pakej haji dan umrah yang ditawarkan. Antara bentuk penipuan yang sering dilaporkan termasuklah tidak memenuhi tawaran yang diiklankan atau dijanjikan, merangkumi jenis bilik penginapan, jarak tempat penginapan dengan Masjid Nabawi atau Masjidilharam, kemudahan pengangkutan, malah lebih buruk terdapat jemaah yang terkandas dalam perjalanan atau semasa berada di tanah suci.
Kini, kes penipuan pengendalian pakej ibadat haji dan umrah semakin meningkat, iaitu berlaku peningkatan tiga kali ganda. Dicatatkan sebanyak 518 kes telah difailkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi tempoh hingga Ogos 2023, yang mencatatkan kerugian sembilan juta ringgit; berbanding dengan 62 kes dilaporkan kepada pihak berkuasa pada tahun 2022, membabitkan kerugian 2.1 juta ringgit.
Kedua: Badal haji dan umrah. Umat Islam yang ingin melakukan badal haji mahupun umrah untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia atau mengalami keuzuran dinasihatkan berwaspada ketika memilih dan melantik pihak yang akan melaksanakannya. Dibimbangkan badal haji atau umrah tersebut tidak dilaksanakan dengan sempurna atau pihak yang diamanahkan, tetapi sekadar mengambil duit (upah) tanpa melaksanakan badal haji ataupun umrah tersebut.
Ketiga: Penipuan kutipan derma, sedekah atau wakaf. Sikap pemurah umat Islam telah membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pelbagai penipuan dan penyelewengan terhadap dana kutipan derma dan sumbangan orang ramai. Terdapat sumbangan yang diperkenalkan menggunakan nama badan amal, program kebajikan, rumah anak yatim, pembinaan masjid dan surau yang tidak diketahui tentang kesahihan kewujudannya.

Keempat: Turut dilakukan ialah perbuatan mempromosikan tokoh terkenal Islam yang berpengaruh secara salah, malah tanpa pengetahuan dan izin tokoh tersebut, sebagai muslihat mahu meraih perhatian orang ramai untuk tujuan mengumpul dana; kemudiannya mengurus dana yang dikutip secara tidak telus. Perbuatan sedemikian merupakan perbuatan tidak bermoral dan sangat berdosa.
Menyedari kegiatan penipuan yang sedang berlaku, demi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan, serta untuk mengelak dan mengawal sebarang penipuan mahupun penyelewengan, setiap kegiatan memungut derma hendaklah terlebih dahulu memperoleh kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri.
Yang berikut merupakan langkah pencegahan yang boleh diambil bagi memastikan urusan muamalat membabitkan harta dilindungi daripada sebarang unsur penipuan:
Pertama: Umat Islam hendaklah teliti ketika melakukan pelbagai urusan hidup, menyemak dan menyiasat apa-apa juga tawaran, iklan, permintaan dan rayuan yang dilakukan secara bercetak, melalui saluran Internet ataupun media sosial, begitu juga daripada mana-mana badan, pertubuhan ataupun orang perseorangan.
Kedua: Berwaspada ketika memilih tawaran pakej mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan melakukan perancangan, penelitian dan semakan latar belakang syarikat agar tidak menjadi mangsa penipuan. Pastikan memilih syarikat atau agensi yang menawarkan pakej berpatutan, bukan terlalu murah ataupun terlalu menarik. Umat Islam dinasihatkan supaya mendapatkan agensi pelancongan yang berdaftar dan mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian Pelancongan, menyelidiki dengan teliti maklumat agensi, dan lebih meyakinkan jika agensi berkenaan memaparkan maklumat audit tahunan pengurusan kewangan.
Ketiga: Pastikan setiap pihak yang tampil bagi mendapatkan sumbangan derma benar-benar wujud dan telah pun mendapat kebenaran memungut derma daripada pihak berkuasa agama setempat. Laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya wujud sebarang keraguan terhadap kegiatan pungutan derma, apatah lagi yang menggunakan kanak-kanak.
Keempat: Orang yang tidak jujur dan peniaga yang menipu untuk mengaut keuntungan dalam urusan perniagaan wajib bertaubat dan sedar bahawa perbuatan tersebut haram di sisi Islam serta tidak diberkati Allah SWT.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 Julai 2024, bertajuk “Waspada Penipuan Pengurusan Ibadat”)