Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKedatangan bulan Ramadan dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia kerana bulan tersebut merupakan bulan ibadat yang dilipatgandakan pahalanya. Satu daripada ibadat yang tiada dalam bulan Islam yang lain ialah solat sunat tarawih. Mereka yang menghidupkan Ramadan dengan mendirikan solat sunat tarawih pada malam hari akan diampunkan dosanya yang lampau. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Imam al-Nawawi dalam kitab Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim mengatakan bahawa “mendirikan Ramadan” bermaksud menunaikan solat sunat tarawih. Begitu juga pandangan yang diberikan oleh Syeikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj bahawa ulama telah bersepakat bahawa solat yang dikehendaki dalam hadis tersebut ialah solat sunat tarawih. Oleh sebab itu, seluruh umat Islam khususnya di Malaysia berpusu-pusu menunaikan solat sunat tarawih sama ada di surau mahupun di masjid. Tambahan lagi, nikmatnya akan bertambah apabila kita menunaikan solat sunat tarawih pada sepuluh malam terakhir Ramadan kerana dalam sepuluh malam tersebut akan diganjarkan suatu malam yang dikenali sebagai malam al-qadr (lailatulqadar).

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang berbunyi, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-qadr. Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran malam al-qadr itu? Malam al-qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadr 97:1-5).
Amalan menghidupkan sepuluh malam terakhir turut dibuat secara bersungguh-sungguh oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini dirakamkan oleh Sayidatina Khadijah r.a. yang berkata, “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadat apabila telah masuk) malam-malam 10 (terakhir) yang tidak pernah Baginda lakukan pada malam-malam lainnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Sungguhpun begitu, terdapat beberapa adab yang perlu kita patuhi dan hormati ketika mahu menghidupkan 10 malam terakhir, terutamanya sewaktu menunaikan solat sunat tarawih.

Secara tuntasnya, terdapat ganjaran dan kelebihan yang sangat besar apabila kita beribadat bertepatan dengan malam al-qadr itu. Jika dianggarkan, tempoh masa seribu bulan tersebut bersamaan dengan tempoh 83 tahun. Alangkah beruntungnya kita apabila amalan satu malam itu dinisbahkan amalan selama 83 tahun. Dalam menikmati keterujaan ini, jangan kita alpa untuk menghormati adab menghidupkan sepuluh malam terakhir ini bersama-sama jemaah yang lain. Semoga kita dapat meraikan pemburuan sepuluh malam terakhir ini secara tenang dan selesa.