16 April 2023, 21:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedatangan bulan Ramadan dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia kerana bulan tersebut merupakan bulan ibadat yang dilipatgandakan pahalanya. Satu daripada ibadat yang tiada dalam bulan Islam yang lain ialah solat sunat tarawih. Mereka yang menghidupkan Ramadan dengan mendirikan solat sunat tarawih pada malam hari akan diampunkan dosanya yang lampau. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Imam al-Nawawi dalam kitab Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim mengatakan bahawa “mendirikan Ramadan” bermaksud menunaikan solat sunat tarawih. Begitu juga pandangan yang diberikan oleh Syeikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj bahawa ulama telah bersepakat bahawa solat yang dikehendaki dalam hadis tersebut ialah solat sunat tarawih. Oleh sebab itu, seluruh umat Islam khususnya di Malaysia berpusu-pusu menunaikan solat sunat tarawih sama ada di surau mahupun di masjid. Tambahan lagi, nikmatnya akan bertambah apabila kita menunaikan solat sunat tarawih pada sepuluh malam terakhir Ramadan kerana dalam sepuluh malam tersebut akan diganjarkan suatu malam yang dikenali sebagai malam al-qadr (lailatulqadar).

Kita digalakkan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan solat sunat tarawih dan beriktikaf di masjid.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang berbunyi, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-qadr. Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran malam al-qadr itu? Malam al-qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadr 97:1-5).

Amalan menghidupkan sepuluh malam terakhir turut dibuat secara bersungguh-sungguh oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini dirakamkan oleh Sayidatina Khadijah r.a. yang berkata, “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadat apabila telah masuk) malam-malam 10 (terakhir) yang tidak pernah Baginda lakukan pada malam-malam lainnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Sungguhpun begitu, terdapat beberapa adab yang perlu kita patuhi dan hormati ketika mahu menghidupkan 10 malam terakhir, terutamanya sewaktu menunaikan solat sunat tarawih.

  1. Kita digalakkan untuk menyiapkan diri dan berwangi-wangian. Elakkan datang ke masjid dalam keadaan diri yang tidak terurus dan badan yang berbau. Walaupun solat dalam keadaan sedemikian masih dianggap sah, namun situasi tersebut dapat sedikit banyak akan mengganggu keselesaan jemaah lain . Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Empat perkara yang merupakan sunah para rasul, iaitu berasa malu, memakai wangi-wangian, bersiwak dan menikah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Hadis ini jelas menunjukkan bahawa berwangi-wangian dalam setiap keadaan, khususnya solat merupakan sunah para nabi. Maka itu, kita dituntut untuk memakai wangian supaya tidak mengganggu jemaah lain.
  2. Bersiwak atau menggosok gigi sebelum menunaikan solat sunat tarawih mahupun solat sunat malam yang lain (tahajud dan sebagainya). Amat malang jika kita hadir ke masjid dengan mulut yang berbau sehingga mampu menyebabkan jemaah yang solat bersebelahan berasa tidak selesa. Hal yang sama juga boleh berlaku jika kita tidur dan beriktikaf di masjid untuk bangun mendirikan solat pada sepertiga malam. Oleh itu, kita dianjurkan untuk bersiwak atau menggosok gigi ketika ingin mendirikan solat sunat tarawih ataupun solat malam yang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Selain itu, daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siwak itu menyucikan mulut dan mendatangkan keredaan Tuhan.” (Hadis riwayat al-Nasa’i). Oleh hal yang demikian, anjuran yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW tepat untuk mengharmonikan suasana berjemaah, khususnya pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.
  3. Tidak melintas di hadapan individu yang menunaikan solat sunat secara sendirian. Hal ini acap kali berlaku terutama ketika jemaah yang telah selesai menunaikan solat sunat tarawih ingin beredar pulang. Mereka dengan mudah melintas di hadapan individu yang sedang menunaikan solat sunat witir secara sendirian. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kalaulah seseorang yang melintas di hadapan orang yang solat mengetahui hukuman ke atasnya nescaya baik baginya berdiri 40 daripada melintasinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Al-Bazzar menyebut bahawa maksud 40 itu ialah 40 musim gugur atau dengan maksud lain, 40 tahun. Namun begitu, teguran juga perlu dibuat kepada orang yang sedang menunaikan solat sunat itu, khususnya mereka yang gemar solat menghadap pintu keluar masjid. Pilihlah tempat solat seperti adanya dinding atau tiang dalam masjid agar dapat mengelak jemaah melintas di hadapannya.
Rasulullah SAW melarang kita melintas di hadapan orang yang sedang solat.

Secara tuntasnya, terdapat ganjaran dan kelebihan yang sangat besar apabila kita beribadat bertepatan dengan malam al-qadr itu. Jika dianggarkan, tempoh masa seribu bulan tersebut bersamaan dengan tempoh 83 tahun. Alangkah beruntungnya kita apabila amalan satu malam itu dinisbahkan amalan selama 83 tahun. Dalam menikmati keterujaan ini, jangan kita alpa untuk menghormati adab menghidupkan sepuluh malam terakhir ini bersama-sama jemaah yang lain. Semoga kita dapat meraikan pemburuan sepuluh malam terakhir ini secara tenang dan selesa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.