Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJumaat silih berganti, namun masih ada lagi dalam kalangan kita yang mengambil ringan akan suruhan Allah SWT.
Hari Jumaat ialah hari yang istimewa dan penuh keberkatan bagi umat Islam, bahkan Nabi Muhammad SAW menyifatkannya sebagai sayyid al-ayyam, iaitu penghulu segala hari.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah 62:9).
Umat Islam mengetahui bahawa pada hari Jumaat, setiap Muslim lelaki yang memenuhi syarat diwajibkan menunaikan solat Jumaat serta mendengar khutbah. Khutbah Jumaat bukan semata-mata syarahan yang disampaikan kepada jemaah yang hadir, tetapi merupakan sebahagian daripada ibadah yang agung nilainya.
Khutbah juga menjadi sebahagian daripada syiar solat Jumaat yang menggantikan solat Zuhur bagi umat Islam yang diwajibkan menunaikannya. Medan muhasabah mingguan yang telah disyariatkan ini bukan sekadar menuntut kehadiran diri, bahkan kehadiran hati yang disertai perhatian dan penghayatan.
Oleh itu, khutbah Jumaat tidak sepatutnya dianggap remeh. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, lalu dia mendekat, mendengar dan diam, maka diampuni dosa-dosanya antara Jumaat itu dengan Jumaat berikutnya, dan ditambah tiga hari. Barang siapa bermain-main dengan batu kerikil, maka dia telah melakukan perbuatan sia-sia.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 498).
Jika perbuatan bermain-main dengan batu kerikil sahaja sudah dikira sebagai perbuatan yang sia-sia, apatah lagi jika seseorang sengaja menjadikan waktu khutbah sebagai waktu untuk tidur, sibuk bermain telefon bimbit, berborak di luar masjid atau melakukan apa-apa sahaja perbuatan yang menyebabkan pendengaran terputus, penghayatan hilang dan peringatan Allah SWT diabaikan.
Walaupun begitu, Allah SWT Maha Mengetahui keadaan setiap hamba-Nya. Mungkin ada dalam kalangan kita yang benar-benar uzur, keletihan setelah seharian bekerja mencari nafkah untuk keluarga tercinta atau ditimpa kesulitan tertentu, namun tetap berusaha memberikan perhatian terhadap khutbah dan solat. Ketahuilah bahawa Allah SWT ialah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap kelemahan hamba-Nya.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hijr 15:49).
Adapun yang ditegah ialah perbuatan mensia-siakan waktu Jumaat dengan kelalaian yang disengajakan sehingga seseorang terlepas daripada manfaat dan pahala yang sepatutnya diperoleh. Oleh itu, marilah kita bangkit daripada kelalaian dan melawan godaan syaitan.
Jika mengantuk ketika khutbah, cubalah tegakkan badan, ubah kedudukan, angkat pandangan dan hidupkan kesedaran agar dapat kembali memberikan perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Hal ini sebagaimana hadis daripada Ibn ‘Umar r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu mengantuk pada hari Jumaat, maka hendaklah dia berpindah dari tempat duduknya.” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 1119).
Betapa banyaknya ganjaran yang ditawarkan pada hari Jumaat. Para malaikat menunggu di pintu-pintu masjid untuk mencatat kedatangan jemaah yang hadir lebih awal. Hal ini berdasarkan hadis Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Pada hari Jumaat, para malaikat berada di pintu-pintu masjid dan mencatat kedatangan orang yang hadir mengikut urutan masa.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 929).
Tidak lupa juga, terdapat satu waktu pada hari Jumaat yang menjadi waktu mustajab untuk berdoa. Rasulullah SAW bersabda bahawa terdapat satu waktu pada hari Jumaat yang apabila seorang Muslim berdoa kepada Allah SWT, nescaya doanya akan diperkenankan. (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 935). Antaranya termasuklah waktu khatib duduk antara dua khutbah Jumaat, waktu selepas asar sehingga terbenam matahari, dan ketika solat didirikan sehingga selesai.
Pada hari yang mulia ini juga, pupuklah sifat kasih kepada Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyak selawat ke atas Baginda. Rasulullah SAW bersabda bahawa Jumaat merupakan antara hari yang paling utama dan umat Islam dianjurkan untuk memperbanyak selawat kepada baginda pada hari tersebut. (Hadis riwayat Abu Daud, no. 1047). Alangkah ruginya jika hari Jumaat dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kita berusaha meraih ganjaran dan keberkatan yang ditawarkan.
Kesimpulannya, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diambil seperti yang berikut:
Ambillah peluang ini untuk memperbanyak ibadah mengikut kemampuan diri. Janganlah dibiarkan hari Jumaat berlalu tanpa kita berusaha meraih pahala dan keberkatannya. Mudah-mudahan setiap Jumaat yang kita lalui menjadi sebahagian daripada bekalan untuk menghadap Allah SWT pada suatu hari nanti.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 24 Julai 2026, bertajuk “Biarlah Jumaatmu Ini Penuh Erti”.