Diterbitkan pada 24 Julai 2026, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sihir ialah perbuatan atau kejadian luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara ghaib dengan melibatkan makhluk halus, bertujuan untuk mempengaruhi atau menguasai alam dan manusia.

Imam al-Jurjani (w. 816H) menjelaskan bahawa sihir ialah suatu perkara yang tersembunyi sebab-musababnya, berlaku melalui tipu daya dan helah sehingga menampilkan sesuatu seolah-olah benar, sedangkan hakikatnya tidak demikian.

Islam mengakui kewujudan sihir sebagaimana disebut dalam al-Quran. Namun demikian, perbuatan mempelajari, mengamalkan, mengajar atau menggunakan khidmat sihir adalah haram.

Allah SWT menegaskan bahawa pengamal sihir dan sesiapa yang terlibat dengannya tidak akan memperoleh keuntungan di akhirat kerana mereka menukar iman dengan kekufuran dan bakal menerima azab yang pedih. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan tidak akan berjaya (atau menang) tukang sihir itu dari mana-mana sahaja dia datang.” (Surah Taha 20:69).

Sesungguhnya amalan sihir sering membawa kemudaratan, permusuhan dan kerosakan dalam kehidupan manusia. Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa sihir termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan. Baginda bersabda:

Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara itu?” Baginda bersabda, “(Antaranya ialah) syirik kepada Allah dan sihir … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2766; Muslim, no. 89).

Istilah bomoh yang juga dikenali sebagai pawang atau dukun, secara umumnya bermaksud tabib atau perawat yang mengubati orang sakit menggunakan ubat tradisional, jampi atau mantera. Hukum mendapatkan khidmat bomoh bergantung pada kaedah rawatan yang digunakan.

Islam mengiktiraf rawatan yang berasaskan doa, ruqyah syar‘iyyah, penggunaan ubat-ubatan, serta ikhtiar yang tidak bercanggah dengan syariat. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak mengapa melakukan ruqyah selagi tidak mengandungi unsur syirik.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2200).

Islam membenarkan ruqyah syar‘iyyah, iaitu rawatan yang memenuhi syarat yang berikut:

  1. Menggunakan ayat al-Quran, nama dan sifat Allah SWT, zikir atau doa yang baik, jelas lafaznya, serta difahami maknanya.
  2. Tidak mengandungi unsur syirik, pemujaan atau memohon bantuan daripada jin.
  3. Disertai keyakinan bahawa yang menyembuhkan hanyalah Allah SWT, bukan kerana kuasa bomoh, jin, jampi atau mantera.

Oleh itu, seseorang yang mengamalkan ayat al-Quran dan doa yang sahih tanpa jampi serapah yang bercanggah dengan syariat boleh dianggap sebagai perawat ruqyah yang diizinkan oleh syarak.

Selain ahli sihir, terdapat juga bomoh atau dukun yang menyeleweng tetapi berselindung di sebalik penampilan dan imej seolah-olah mereka ialah perawat yang mematuhi syariat. Antara ciri yang sering berlaku dan telah diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW termasuklah golongan yang mendakwa mengetahui perkara ghaib.

Bahaya mendatangi golongan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui dua hadis.

  • Pertama: Seseorang yang sekadar datang bertanya tanpa mempercayai kata-kata mereka, tetap menerima ancaman bahawa solatnya tidak diterima selama 40 malam. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menemui tukang tilik, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara, maka tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2230).

  • Kedua: Sekiranya seseorang mempercayai kata-kata mereka, dosanya lebih besar lagi sehingga diancam dengan kekufuran. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menemui tukang tenung atau tukang tilik, lalu dia membenarkan apa-apa yang diperkatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa-apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Hadis riwayat Ahmad, no. 9532).

Umat Islam diingatkan agar menjauhi bomoh, dukun dan tukang tilik yang menggunakan sihir dan amalan khurafat sebagai kaedah rawatan. Perbuatan berjumpa dengan bomoh, dukun atau tukang tilik adalah haram sekiranya mereka mengamalkan perkara yang berikut:

  • Pertama: Mendakwa mengetahui perkara ghaib, meramal masa hadapan atau melakukan fitnah dengan menuduh serta menamakan individu tertentu sebagai orang yang melakukan sihir terhadap pesakit.
  • Kedua: Menggunakan khidmat jin atau khadam dalam rawatan.
  • Ketiga: Membaca mantera atau jampi yang dicampuradukkan dengan ayat al-Quran sedangkan lafaz atau maknanya tidak diketahui.
  • Keempat: Menggunakan tangkal, azimat, ancak, keris pusaka dan seumpamanya sebagai bahan persembahan atau pemujaan.
  • Kelima: Meminta dilakukan penyembelihan binatang ternakan seperti ayam hitam, kambing, kerbau dan sebagainya bagi tujuan pemujaan selain Allah SWT.
  • Keenam: Melakukan upacara pelik yang tidak mempunyai asas dalam syariat Islam.

Sebagai langkah memelihara kemaslahatan umat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] mulai 1 Mac 2025. Di bawah akta ini, semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari, termasuk pengamal perubatan Islam, diwajibkan berdaftar secara rasmi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dibenarkan menjalankan sebarang bentuk amalan pengubatan.

Sekiranya seseorang pengamal didapati menjalankan amalan tanpa pendaftaran yang sah, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 775.

Bagi memastikan pematuhan terhadap syariat Islam, setiap pengamal perubatan Islam yang ingin berdaftar hendaklah melalui Ujian Saringan Pengukuran Pematuhan Syariah bagi Pengamal Pengubatan Islam (i-Syifa’) yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Semoga Allah SWT memelihara dan melindungi kita daripada sihir, khurafat dan segala bentuk penyelewengan akidah, serta mengurniakan kepada kita kekuatan untuk sentiasa bergantung harap sepenuhnya pada-Nya.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 24 Julai 2026, bertajuk “Pelihara Akidah – Jauhi Sihir dan Bomoh yang Menyeleweng”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi