Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Umat Islam diseru untuk memahami serta menghayati kepentingan jihad sebagai perisai memelihara jati diri, mempertahankan kewujudan bumi Islam, serta menyebarkan risalah agama demi mengelakkan umat daripada terus dihina dan ditindas di tanah air sendiri.

Perkara itu disampaikan oleh Profesor Sanjung Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin, YBrs. Prof. Dr. Basri Ibrahim ketika pembentangan kertas kerja “Fiqh al-Jihad di sisi al-Qaradawi dalam Keutuhan Negara MADANI” dalam Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi, semalam.

YBrs. Prof. Dr. Basri Ibrahim memulakan pembentangan dengan menceritakan kisah pencerobohan di Palestin sewaktu era pemerintahan Ariel Sharon yang menggambarkan kekejaman dan kezaliman penceroboh yang tidak berperikemanusiaan membunuh kanak-kanak secara zalim atas dasar keangkuhan bangsa apabila berjaya menakhluki sesebuah negara.

Jelas beliau,

Tanpa jihad untuk mempertahankan kewujudan dan hakikat diri, perlindungan umat Islam terdedah sehingga darah umat menjadi murah berbanding dengan nilai tulang-temulang tentera negara Barat yang dicari semula selepas puluhan tahun.

Beliau juga memetik hadis riwayat Abu Daud berkaitan dengan keadaan umat Islam pada akhir zaman yang ramai dari segi bilangan, diumpamakan seperti “buih di atas aliran air” kerana mempunyai perasaan gerun untuk menentang musuh sehingga takut dibunuh.

Mengulas mengenai takrifan jihad, YBrs. Prof. Dr. Basri menakrifkan jihad sebagai mencurahkan segala usaha dan tenaga dengan menghubungkan konsep ini dengan ikrar Rukun Negara (berusaha bersungguh-sungguh) yang mengandungi unsur jihad untuk melaksanakan prinsip negara.

Ujarnya,

Merujuk pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan Syeikh Muhammad Rashid Rida, jihad merangkumi jalinan usaha memerangi penceroboh serta memperjuangkan dan menegakkan kekuatan asas agama Islam dalam pelbagai bentuk.

Mengakhiri perbincangan tersebut, beliau memperincikan konsep jihad madani yang digariskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi menerusi karya tersohor beliau, Fiqh al-Jihad, antaranya termasuklah jihad ilmu yang disusuli amalan demi memacu perubahan masyarakat seperti penguasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tadbir urus negara, pemanfaatan teknologi moden serta sains pertahanan alaf baharu.

Sementara itu, YBrs. Prof. Dr. Basri menyatakan bahawa jihad sosial boleh dimanifestasikan menerusi tindakan memelihara kebajikan ibu bapa yang merupakan warga tua, membanteras gejala rasuah dan pengkhianatan amanah, di samping memelihara etika berkomunikasi.

Menurutnya lagi, jihad ekonomi pula boleh dilaksanakan dengan cara memperkukuh pegangan dan pemilikan ekonomi umat Islam agar tidak terus bergantung pada kuasa asing, terutamanya bagi sumber ekonomi kritikal seperti minyak.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi