Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Maqasid syariah merupakan tunjang utama dalam pendekatan ijtihad kontemporari yang diketengahkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sehingga berjaya menjadikan fatwa dan pandangan beliau lebih bersifat semasa, sederhana, serta menepati realiti masyarakat.

Perkara itu ditegaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Maqasid al-Syariah dan Peranannya dalam Ijtihad Kontemporari di Sisi Al-Qaradawi” dalam Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi, semalam.

Beliau berkata, al-Qaradhawi merupakan antara ulama besar abad ini yang diiktiraf sebagai mujaddid (orang yang menghidupkan kembali ajaran sunah Rasulullah SAW yang hampir luput atau yang menyimpang akibat perbuatan bidaah) dan mujtahid (orang yang berusaha untuk mendapat­kan sesuatu kesimpulan baharu melalui kajian atau penyelidikan berdasarkan sumber dan kaedah yang sah), selain menghasilkan hampir 200 buah buku yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu termasuk fiqh, maqasid syariah, politik Islam, jihad, zakat dan kenegaraan.

Menurutnya, penguasaan al-Qaradawi terhadap ilmu maqasid syariah dipengaruhi oleh pembacaan karya seperti al-Muwafaqat fi Usul al-Shari‘ah oleh Imam al-Shatibi dan I‘lam al-Muwaqqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin oleh Ibn Qayyim al-Jauziyah sehingga membentuk pendekatan ijtihad yang berpaksikan tujuan dan hikmah syariat.

“Beliau menggunakan maqasid syariah sebagai alat dalam proses tarjih, iaitu proses membandingkan dan menguatkan sesuatu dalil (atau pandangan) dalam hampir semua penulisannya. 

“Maqasid syariah turut diterapkan dalam pelbagai isu semasa bagi memastikan hukum yang dikeluarkan benar-benar menepati kehendak syarak dan realiti masyarakat,” katanya.

Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz berkata, pendekatan al-Qaradawi juga memperlihatkan keberanian beliau keluar daripada ketaasuban mazhab dengan menilai pandangan pelbagai mazhab sebelum membuat tarjih berdasarkan dalil, maqasid syariah dan keadaan semasa.

Beliau menjelaskan bahawa karya seperti Fiqh al-Zakat, Fiqh al-Dawlah, al-Ijtihad fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah dan al-Maqasid al-Shar‘iyyah membuktikan maqasid syariah menjadi asas utama dalam proses pengeluaran hukum.

Menurut beliau, al-Qaradawi turut memperkenalkan konsep ijtihad intiqa’i (pemilihan pandangan yang paling kuat) dan ijtihad insha’i (ijtihad terhadap isu baharu) bagi memastikan syariat Islam terus relevan bagi menghadapi cabaran kontemporari.

Beliau berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi beberapa fatwa al-Qaradawi yang mengambil kira perubahan realiti semasa, termasuk isu kewajipan zakat pendapatan, keharusan wanita bermusafir tanpa mahram dalam keadaan tertentu, serta beberapa pandangan berkaitan dengan kumpulan minoriti Muslim di negara bukan Islam.

Tambah beliau, al-Qaradawi juga tidak teragak-agak menyemak semula pandangan terdahulu apabila mendapati perubahan keadaan memerlukan penilaian baharu berdasarkan maqasid syariah dan fiqh realiti (fiqh al-waqi‘).

Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz berkata, walaupun tidak semua pandangan al-Qaradawi dipersetujui oleh semua sarjana, beliau tetap diiktiraf oleh tokoh ilmuwan seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa’, Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Sheikh Wahbah al-Zuhaili sebagai seorang ulama besar yang mempunyai keluasan ilmu serta keberanian dalam berijtihad.

Beliau menyeru agar karya-karya al-Qaradawi terus dikaji oleh para pelajar, ulama dan pendakwah kerana pendekatan maqasid syariah yang diketengahkan mampu memperkukuh kefahaman Islam secara lebih menyeluruh, sederhana dan sesuai dengan keperluan masyarakat masa ini.

“Penguasaan terhadap fiqh, usul fiqh, siyasah shar‘iyyah dan maqasid syariah akan membantu melahirkan pemikir Islam yang mampu memahami syariat dengan lebih mendalam, sekali gus menyampaikan agama secara berhikmah,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi