Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 18:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi mengemukakan pelbagai gagasan, terdapat lima gagasan utama yang dilihat mampu menjadi asas penting dalam pembinaan sebuah negara yang stabil dan inklusif.

Demikian pernyataan oleh Profesor Adjung Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddindan (UniSIRAJ), YBrs. Dr. Zaharuddin Abd Rahman selaku panel bagi forum Pemikiran al-Qaradawi dalam Pembinaan Negara MADANI yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Menurut beliau, gagasan pertama yang dikemukakan oleh al-Qaradawi ialah keperluan kepada kepelbagaian jemaah dalam masyarakat bagi memastikan wujudnya sistem semak dan imbang.

“Perkara ini penting untuk mengelakkan kecenderungan kepada pemerintahan yang bersifat diktator,” ujar beliau.

Gagasan kedua pula menyentuh isu kedudukan bukan Islam dalam negara, iaitu al-Qaradawi berpandangan bahawa istilah klasik seperti warganegara bukan Islam (ahl al-zimmah) tidak lagi sesuai digunakan dalam konteks masyarakat moden.

Sebaliknya, al-Qaradawi mencadangkan penggunaan istilah warganegara (muwatin) bagi menggambarkan kesamarataan hak dan tanggungjawab antara semua rakyat tanpa mengira agama, yang dilihat lebih selari dengan realiti negara bangsa masa ini serta mampu mengelakkan salah faham dan persepsi negatif.

Seterusnya, gagasan ketiga menekankan kepentingan pembangunan insan berbanding dengan pembangunan fizikal semata-mata.

Menurut YBrs. Dr. Zaharuddin, al-Qaradawi mengkritik kecenderungan sesetengah pihak yang terlalu menumpukan pembinaan infrastruktur tanpa memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pembangunan manusia.

Lantaran itu, jelas beliau, pelaburan dalam pendidikan dan pembinaan akhlak dianggap lebih utama kerana perkara ini memberikan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan masyarakat.

Menurut YBrs. Dr. Zaharuddin, gagasan keempat berkaitan rapat dengan reformasi sistem zakat, iaitu zakat tidak seharusnya dilihat sebagai bantuan kewangan semata-mata, bahkan perlu dijadikan instrumen untuk meningkatkan taraf hidup penerima secara menyeluruh.

“Zakat sepatutnya digunakan untuk membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan secara berperingkat, termasuk melalui pendidikan dan latihan kemahiran,” ujar beliau.

Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut termasuklah aspek pembangunan kemahiran, peningkatan produktiviti, serta usaha mengeluarkan golongan asnaf daripada kitaran kemiskinan sehingga mereka mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

Akhir sekali, gagasan kelima yang diketengahkan ialah tanggungjawab generasi semasa terhadap generasi akan datang, iaitu beliau menjelaskan bahawa al-Qaradawi memberikan perhatian serius terhadap aspek keadilan antara generasi, khususnya dalam pengurusan ekonomi dan hutang negara.

Beliau menyatakan, pemimpin tidak seharusnya hanya berfikir dalam jangka masa pendek, sebaliknya perlu mengambil kira kesan dasar yang dibuat terhadap generasi masa hadapan.

Jelas beliau, kesemua gagasan ini menunjukkan pendekatan al-Qaradawi bukan sahaja bersifat keagamaan, bahkan merangkumi aspek sosial, ekonomi dan kenegaraan secara menyeluruh.

“Gagasan ini menjadikan pemikiran beliau sangat sesuai untuk diaplikasikan dalam konteks negara moden hari ini,” tegas beliau.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi