Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemikiran dan legasi keilmuan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi perlu terus dikaji, diteliti dan diperkasakan agar dapat menjadi panduan bagi mendepani pelbagai cabaran kehidupan semasa.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa keistimewaan pemikiran tokoh ulama tersebut bukan sekadar terletak pada jumlah karya yang dihasilkan, bahkan pada keupayaannya menghubungkan warisan keilmuan Islam dengan realiti kehidupan moden.

Titah baginda, pendekatan pemikiran al-Qaradawi yang menjadikan syariat Islam sentiasa relevan, bersifat rahmah, serta mampu menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai persoalan semasa tanpa mengabaikan prinsip asas agama merupakan suatu nilai penting yang wajar terus dikaji dan difahami.

“Dunia hari ini memerlukan lebih banyak ilmuwan yang bukan sahaja mahir berhujah, tetapi juga mampu menyatukan umat melalui hikmah, ilmu dan akhlak,” titah baginda dalam Seminar Pemikiran al-Qaradawi yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ketika menyampaikan Ucaptama Diraja, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha memperkukuh Institut Pemikiran Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai sebuah pusat penyelidikan yang menghimpunkan sarjana, penyelidik dan generasi muda bagi mengembangkan khazanah pemikiran Islam kontemporari.

Titah baginda, kewujudan institusi tersebut berpotensi menjadi wadah untuk melahirkan lebih banyak penyelidikan, penerbitan ilmiah, latihan kepakaran, serta jaringan akademik yang dapat memberikan manfaat terhadap negara dan dunia Islam.

Pada masa yang sama, baginda bertitah bahawa Perlis sejak sekian lama memberikan perhatian terhadap pembangunan ilmu, penghayatan sunah dan perkembangan institusi pendidikan Islam.

“Langkah-langkah tersebut, khususnya memperkasakan kajian terhadap pemikiran Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, merupakan satu langkah yang amat bertepatan bagi menghargai semangat beliau yang telah memperkaya wacana keilmuan Islam sehingga menjadi rujukan di seluruh dunia,” titah baginda.

Baginda turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara institusi pendidikan tinggi, badan penyelidikan, serta agensi bahasa dan persuratan bagi memperluas budaya membaca, menulis, berdialog dan menghasilkan karya ilmiah yang berkualiti.

Titah baginda, perkembangan ilmu tidak berlaku secara terasing, sebaliknya berkembang melalui proses kajian, penelitian, perbahasan dan penulisan yang berterusan.

Dalam konteks tersebut, baginda melihat aspirasi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) sebagai sebuah universiti wakaf menjadi manifestasi bahawa budaya wakaf terus berperanan sebagai asas penting dalam pembangunan ilmu, pendidikan dan pembinaan modal insan.

“Aspirasi ini amat bertepatan dengan pemikiran beliau (Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi) yang melihat wakaf sebagai instrumen strategik dalam membangunkan tamadun Islam yang lestari,” titah baginda.

Mengulas cabaran dunia semasa, baginda turut mengingatkan bahawa ledakan teknologi, kecerdasan buatan (AI), media sosial dan dunia tanpa sempadan telah membawa cabaran baharu kepada umat Islam.

“Cabaran terbesar umat bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi keupayaan untuk menilai kesahihan sesuatu dengan bijaksana,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, baginda menegaskan bahawa umat Islam memerlukan panduan ilmu yang sahih agar kebijaksanaan sentiasa mendahului kecanggihan teknologi.

Baginda turut menyeru agar tradisi ilmu yang diwarisi daripada para ulama terus diperkasakan supaya masyarakat memiliki panduan yang sahih untuk memahami ilmu agama.

“Pemikiran yang sederhana, berasaskan dalil, menghormati perbezaan pandangan dan sentiasa mendahulukan maslahat umat merupakan nilai yang amat diperlukan pada hari ini,” titah baginda.

Seminar tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSIRAJ, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; serta Naib Canselor UniSIRAJ, YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

 

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi