Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dasar sosial dan ekonomi negeri ini perlu digerakkan secara seiring bagi memastikan kemajuan yang mampan serta memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Titah baginda, keseimbangan antara pembangunan sosial dengan pertumbuhan ekonomi merupakan asas penting bagi membina masyarakat yang stabil, berdaya saing dan sejahtera.
Baginda menyampaikan titah tersebut ketika berangkat ke program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Datuk Jaafar Hassan, Kampung Sungai Padang, baru-baru ini.
Menurut baginda, kestabilan sosial mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk memperkukuh kemahiran diri serta merebut pelbagai peluang ekonomi baharu yang tersedia.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa pelaburan jangka panjang dalam sektor perumahan awam kos rendah, pendidikan dan persaraan berperanan sebagai pemangkin kesejahteraan serta penstabil komuniti.
Baginda menegaskan bahawa pembangunan perumahan kos rendah tidak seharusnya dilihat sebagai projek fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dirancang sebagai ruang pembangunan komuniti yang tersusun dan berdaya maju.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Program Hijrah Minda merupakan antara inisiatif berterusan MAIPs bagi memperkukuh kefahaman agama, membina jati diri masyarakat, dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan umat Islam di Perlis.
Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan agihan zakat MAIPs berjumlah RM105,000 kepada 150 orang asnaf yang terdiri daripada 75 orang penerima dari kariah Sungai Padang dan 75 orang penerima dari kariah Permatang Bongor.