Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaca Bahagian 1
Sesiapa yang benar-benar dekat dengan Allah SWT tidak akan menyibukkan dirinya untuk membuktikan statusnya sebagai seorang wali, tetapi kehadirannya terus menjadikan manusia lebih mencintai Allah SWT, lebih beradab, lebih tawaduk dan lebih takut untuk melakukan dosa.
Sebelum ini, kita sedia maklum bahawa konsep kewalian wajib dinilai berlandaskan neraca al-Quran dan sunah, bukan bersandarkan keajaiban keramat atau cerita mistik. Darjat kewalian sebenar diukur melalui keutuhan ketaatan kepada syariat, dan keluhuran akhlak. Masyarakat perlu menjauhi sikap taasub buta yang menghalalkan keburukan akhlak seseorang tokoh atas alasan spiritual. Hal ini dikatakan demikian kerana penyucian jiwa ialah asas kewalian, dan wali Allah tidak akan sesekali bersembunyi di sebalik kefasiqan atau sifat mazmumah.
Kemuliaan Akhlak Tanda Hampir kepada Tuhan
Menurut manhaj Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, tanda seseorang dekat dengan Allah SWT bukan pada kemampuannya memukau manusia, tetapi diukur pada sejauh mana kehadirannya berupaya mendekatkan manusia kepada adab, kasih sayang, tawaduk dan kecintaan kepada-Nya. Jika kehadirannya mencetuskan perpecahan, fanatisisme, penghinaan dan kebencian, maka perkara yang wajar dinilai semula bukan maqam tokoh tersebut, tetapi kedangkalan kefahaman pengikutnya yang terlalu mudah mengagungkan manusia.
Perkara ini selari dengan pandangan Shihab al-Din ‘Umar al-Suhrawardi (w. 632H) menerusi kitabnya, ‘Awarif al-Maʻarif yang menegaskan bahawa antara tanda ahli rohani yang benar termasuklah husn al-khulq (akhlak yang mulia), kelembutan jiwa, kasih sayang kepada manusia dan menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain. Menurut beliau, semakin hampir seseorang kepada Allah SWT, semakin jelas terpancar rahmat dalam dirinya.
Hal ini juga bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya… .” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 1162). Hadis ini memperlihatkan bahawa kesempurnaan iman berkaitan rapat dengan kesempurnaan akhlak. Tindakan menjadikan sifat buruk sebagai bukti maqam spiritual merupakan satu kesalahan berhujah dari sudut epistemologi.
Terdapat segelintir golongan yang berhujah bahawa wali kadangkala menegur dengan keras kerana mengetahui batin manusia. Kita perlu memahami bahawa ilmu batin bukan lesen untuk menzalimi orang lain, bahkan Rasulullah SAW sendiri sebagai manusia paling dekat dengan Allah SWT tetap menjadi insan yang paling lembut, penyayang dan sentiasa memelihara lisannya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu… . (Surah Ali ‘Imran, 3:159).
Jika Rasulullah SAW diperintahkan untuk berlemah lembut, bagaimana mungkin sifat kekasaran, penghinaan, fitnah dan perpecahan masyarakat diangkat sebagai hujah kewalian?
Garis Panduan Menilai Kewalian
Dalam era media sosial hari ini, umat Islam perlu lebih berhati-hati agar tidak terjebak dalam penyucian melampau kepada individu tertentu. Tidak dinafikan perbuatan menghormati guru dan memuliakan ulama merupakan satu tuntutan, tetapi bukan taasub sehingga membenarkan segala keburukan atas nama kewalian. Dalam ilmu tasawuf yang sahih, semakin dekat seseorang kepada Allah SWT, semakin halus akhlaknya, semakin rendah hatinya dan semakin selamat manusia daripada dirinya.
Perkara yang pasti ialah seorang wali Allah tidak akan membawa manusia jauh daripada akhlak Rasulullah SAW. Para wali barangkali disembunyikan daripada kemasyhuran melalui sifat bashariyah (kemanusiaan), tetapi mereka tidak disembunyikan oleh sifat mazmumah kerana akhlak buruk ialah hijab daripada menuju ke jalan Allah SWT, dan bukan tanda kedekatan kepada-Nya.
Sebagai kesimpulan, kehidupan wali Allah mungkin tidak masyhur, hidup sederhana dan tidak dikenali manusia. Namun begitu, tersembunyi daripada pandangan manusia tidak bermakna mereka terlepas daripada neraca syariat dan akhlak. Dalam tradisi Ahli Sunah Waljamaah, kewalian tidak dibina atas cerita keramat, pengalaman mistik, dakwaan mengetahui perkara ghaib atau fanatisisme pengikut. Kewalian berdiri kukuh atas asas iman, takwa, istiqamah dalam ibadah, penyucian jiwa dan kemuliaan akhlak.
Apabila wujud tokoh yang didakwa sebagai wali, tetapi zahir akhlaknya penuh dengan sifat mazmumah, maka masyarakat wajib kembali kepada neraca ilmu. Usah terjebak dalam kekaguman kepada manusia yang keterlaluan menyebabkan kita kehilangan kemampuan untuk menilai dengan cahaya wahyu. Tatkala kita berhadapan dengan isu ini, terdapat tiga garis panduan yang perlu dijadikan sebagai pedoman menilainya, iaitu:
Usah menilai seseorang kerana banyak jumlah pengikutnya, petah berbicara, kisah keramat mahupun dakwaan mimpi. Allah SWT telah menetapkan bahawa wali-Nya ialah mereka yang beriman dan bertakwa. Ukuran sebenar terletak pada tahap komitmen seseorang memelihara syariat, ibadah, amanah dan akhlaknya kepada manusia lain.
Para wali Allah mungkin disembunyikan oleh sifat kemanusiaan seperti rasa lapar, sakit, bekerja, hidup sederhana atau tidak dikenali banyak orang. Namun begitu, para wali tidak disembunyikan oleh sifat mazmumah seperti hasad, riyak, fitnah, takbur, dendam dan suka merendahkan orang lain. Sifat ini ialah penyakit hati yang perlu dirawat, bukan tanda maqam rohani.
Perbuatan menghormati guru dan ulama merupakan perkara yang dianjurkan oleh ajaran agama, tetapi bukan sehingga menganggap semua tingkah lakunya bersifat maksum atau kata-katanya pasti benar. Dalam Islam, tiada individu selepas Rasulullah SAW yang bebas daripada penilaian ilmu. Sikap taasub kepada tokoh hanya akan membuka ruang manipulasi spiritual, penyelewengan akidah dan perpecahan umat.
Oleh itu, sesiapa yang benar-benar dekat dengan Allah SWT tidak akan menyibukkan dirinya untuk membuktikan statusnya sebagai seorang wali, tetapi kehadirannya terus menjadikan manusia lebih mencintai Allah SWT, lebih beradab, lebih tawaduk dan lebih takut untuk melakukan dosa. Hal itulah yang dikatakan sebagai kewalian yang sebenar.
Penulis merupakan Profesor Madya Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.