Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebahagian manusia beranggapan, ibadah terbatas dalam bentuk solat, puasa, zakat, haji, sedekah, infak dan zikir; sedangkan hakikatnya, ibadah dalam Islam merangkumi perkara-perkara yang lebih luas. Setiap perbuatan dengan niat kerana Allah, demi membawa manfaat serta menjauhi kemudaratan, merupakan ibadah.

Sesungguhnya manusia dan alam tidak dapat dipisahkan. Alam ialah tempat manusia hidup, mencari rezeki dan beribadah. Air sungai dan air hujan yang kita gunakan untuk berwuduk, serta udara yang kita sedut merupakan antara nikmat kurniaan Ilahi yang sering kali tidak dihargai oleh manusia. Hutan pula berperanan sebagai benteng keseimbangan bumi dan sumber hidupan liar.

Oleh itu, amalan menjaga kebersihan sungai, tidak mencemarkan udara, serta memelihara hutan dan hidupan liar merupakan sebahagian daripada ibadah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT. Manusia akan menanggung derita apabila air sungai dikotori, udara tercemar, dan bumi dirosakkan.

Insaflah, perbuatan memelihara alam sekitar sebenarnya bermaksud memelihara kehidupan manusia dan menjaga syarat kesempurnaan ibadah kepada Allah SWT.

Allah SWT mencipta alam ini dengan perimbangan untuk ummah menikmati serta hidup secara harmoni dengan alam dan makhluk lain ciptaan Ilahi. Seluruh isi bumi, gunung, bukit dan lembah; sungai, tasik, paya, laut dan pantai; hutan, pokok, haiwan dan hidupan liar, diciptakan dengan hikmah yang sangat besar. Orang yang beriman akan melihat alam sebagai tanda kebesaran Ilahi yang wajib dihargai dan dipelihara sebaik-baiknya.

Hal yang mendukacitakan pada masa ini ialah sikap segelintir manusia yang didorong oleh sifat tamak dan rakus untuk meraih keuntungan duniawi sehingga sanggup melakukan pelbagai kegiatan yang merosakkan alam sekitar. Mereka tergamak menebang hutan secara haram, membuang bahan beracun ke dalam sungai, melakukan pembakaran terbuka, serta memusnahkan habitat semula jadi hidupan liar.

Perbuatan zalim manusia telah membuatkan bumi “menjerit”. Sebagai akibatnya, berlaku banjir besar, tanah runtuh, cuaca semakin panas, kemarau panjang, udara berjerebu, sungai semakin cetek dan tercemar, serta berlaku hakisan tanah dan hakisan pantai.

Sebahagian bencana yang berlaku pada hari ini berpunca daripada tangan manusia yang tidak menjunjung amanah untuk memelihara bumi ciptaan Ilahi dengan adil. Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya:

Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu melakukan kerosakan di muka bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (seandainya tidak diterima) dan dengan perasaan berharap (supaya dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat dengan orang yang memperbaik amalannya.” (Surah al-A‘raf 7:56).

Perbuatan merosakkan alam sekitar dimurkai oleh Allah SWT, bahkan merupakan perlakuan jenayah, serta perbuatan dosa terhadap manusia dan makhluk ciptaan Allah SWT seluruhnya. Pembalakan haram, pencemaran sungai, pemburuan hidupan liar dan pembuangan sisa beracun bukan sekadar melanggar undang-undang negara, bahkan mengkhianati amanah Allah SWT.

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan hukuman berat terhadap pelaku jenayah alam sekitar. Walau seberat mana hukuman dunia, insafilah, hukuman Allah SWT di akhirat pasti jauh lebih berat terhadap manusia yang melakukan kerosakan di bumi dan menzalimi kehidupan makhluk ciptaan Ilahi. Sesungguhnya menjaga alam sekitar mampu mendidik jiwa manusia menjadi lebih dekat dengan Allah SWT.

Umat Islam seharusnya menghayati pesanan yang berikut:

  • Pertama: Menyemai perasaan tawaduk dan syukur kepada Allah SWT.

Apabila manusia melihat gunung yang teguh berdiri, lautan yang luas terbentang, sungai yang kaya dengan kehidupan, hujan yang menyuburkan bumi, dan tumbuhan yang menghijau, lahirkan perasaan kagum terhadap kehebatan Allah SWT. Alam mendidik manusia supaya sedar bahawa dirinya hanyalah hamba yang kecil di sisi Allah Yang Maha Agung.

  • Kedua: Menjamin kesejahteraan dan kesihatan manusia.

Udara dan air yang tercemar membawa pelbagai penyakit kepada manusia dan kemudaratan kepada pelbagai makhluk lain di bumi ini. Islam mengutamakan tindakan menjaga nyawa manusia dan kehidupan alam. Oleh itu, segala usaha menjaga kebersihan alam adalah selari dengan maqasid syariah.

  • Ketiga: Mengekalkan keseimbangan kehidupan.

Setiap makhluk ciptaan Ilahi mempunyai hak dan peranan masing-masing. Hidupan liar, tumbuhan dan hutan; gunung, lembah, sungai, paya, tasik, pantai dan laut, saling berkaitan bagi menjaga keseimbangan alam. Apabila manusia merosakkan satu bahagian alam, akan terjejas keindahan keseimbangan yang dicipta oleh Allah SWT; dan akan tercetus bencana yang menghukum manusia.

Sesungguhnya, tindakan menjaga alam sekitar sangat bertepatan dengan tuntutan maqasid syariah, yang bertujuan membawa kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Insaflah! Bumi ini telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita sebagai khalifah. Penuhilah amanah tersebut dengan jaminan bahawa anak cucu kita diwariskan dengan bumi yang kekal indah dan seimbang, tidak dirosakkan, bahkan jauh sekali daripada kemusnahan.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan, Dia menyukai kedermawanan, maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai Yahudi.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2799).

Dalam hasrat membantu menjaga alam sekitar, umat Islam diseru kepada lima pendekatan yang berikut:

  • Pertama: Masjid berada di barisan hadapan bagi merintis usaha menyedarkan ahli kariah untuk mengamalkan budaya kitar semula, dan masjid menjadi pusat program kitar semula.
  • Kedua: Hindari pembakaran terbuka yang mencemarkan udara dan menambahkan suhu bumi.
  • Ketiga: Tidak mencemarkan sungai, pantai dan kawasan awam dengan sampah sarap terutama buangan bahan plastik.
  • Keempat: Mendidik anak sejak kecil lagi untuk mengamalkan budaya menghargai dan mencintai alam.
  • Kelima: Jadikanlah alam ini sebagai tempat mengambil ibrah tentang kebesaran Allah SWT sehingga bertambah keimanan dan pengabdian kepada-Nya.

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 5 Jun 2026, bertajuk “Menjaga Alam Sekitar Suatu Ibadah”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi