Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha menyebarkan ajaran yang telah difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang diwartakan di Sabah.

Tindakan itu dizahirkan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUUS) JHEAINS pada 31 Mei lalu terhadap Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) di sebuah dewan sekolah menengah di Kota Kinabalu.

“Sebanyak 52 orang anggota Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS diarahkan untuk melaksanakan operasi tersebut dengan bantuan 25 orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan,” kata Exco Agama Negeri Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dalam satu kenyataan.

“Hasil operasi mendapati program tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 Mei hingga 31 Mei 2026 dan dianggarkan dihadiri oleh hampir 300 orang peserta dari seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani dipamerkan sepanjang program berlangsung.

Menurutnya, semua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

YB Datuk Dr. Mohd Arifin berkata, ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 sebelum diwartakan pada tahun 2007.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada agensi yang terlibat, termasuk PDRM Negeri Sabah khususnya IPD Kota Kinabalu atas kerjasama bagi memastikan operasi berjalan lancar serta membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui JHEAINS akan terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta keharmonian masyarakat terus terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi