Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dirgahayu Tuanku, menjunjung kasih atas jasa dan bakti Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Institusi pemerintahan beraja di Malaysia bukanlah sekadar warisan sejarah silam yang dipelihara secara simbolik, tetapi merupakan manifestasi kesinambungan konsep kepimpinan dalam Islam yang meletakkan keadilan dan kesejahteraan ummah sebagai paksi utama.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad) serta ululamri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu! Kemudian, jika kamu berbeza pendapat (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan rasul-Nya (sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih baik (bagimu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’ 4: 59)

Menurut al-Qadi Abu Ya’la (w. 458H) dalam karyanya, al-Ahkam al-Sultaniyah, tuntutan fardu kifayah mewajibkan pewujudan seorang pemimpin kerana tanpanya, nescaya berlaku pertikaian secara berterusan terhadap sesuatu permasalahan dalam masyarakat. Tokoh besar seperti al-Mawardi (w. 450H) turut menegaskan bahawa pelantikan khalifah atau pemerintah sesebuah negara merupakan suatu kewajipan ummah bagi menguruskan hal ehwal negara selepas kewafatan Rasulullah SAW, termasuk menjaga kemurnian agama dan mengatur urusan kebajikan ummah.

Pemimpin yang dilantik hendaklah mempamerkan ciri seorang khalifah yang adil, menjunjung tinggi serta mengamalkan syariat Allah SWT, di samping memimpin manusia supaya lebih dekat kepada kebaikan dan dijauhi daripada kebinasaan.

Tatkala negara mencapai kemerdekaan, rakyat ketika itu berpendirian bahawa sistem pemerintahan beraja yang telah lama berakar di bumi ini wajar diteruskan. Oleh hal yang demikian, sebuah sistem kerajaan dan negara diperkenalkan dengan menggabungkan institusi raja dengan institusi rakyat berasaskan doktrin raja berperlembagaan–demokrasi berparlimen.

Sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal, Persekutuan Tanah Melayu tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja pada peringkat negeri, malah turut memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja pada peringkat persekutuan menerusi jawatan ketua utama negara bergelar Yang di-Pertuan Agong, iaitu raja kepada seluruh persekutuan.

Baginda dipilih secara bergilir-bergilir dalam kalangan sembilan Raja Melayu untuk bertakhta selama lima tahun. Kewujudan takhta dan kaedah lantikan ini merupakan satu keaslian ciptaan yang mengekalkan identiti negeri beraja–rakyat bersultan di bumi ini.

Institusi Yang di-Pertuan Agong ini amat penting dan bertindak sebagai perekat sosial yang berjaya menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya. Syariat Islam mewajibkan baginda melaksanakan pemerintahan secara adil dan saksama tanpa menganiayai mana-mana pihak di bawah payung naungan baginda.

Institusi Yang di-Pertuan Agong dan pemerintahan beraja ini bukan sekadar lambang hiasan yang terbatas kepada tugas berbentuk keraian, sebaliknya baginda diamanahkan dengan tanggungjawab kenegaraan secara perundangan yang termaktub dalam perlembagaan. Sebagai bukti, sebanyak 19 daripada 183 perkara, menyamai sekitar 10 peratus perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh hal yang berkaitan dengan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Islam mewajibkan umatnya menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja pemerintah selagi raja pemerintah tidak menyeru kepada kemaksiatan dan keburukan. Kepatuhan ini selari dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan sesiapa menderhakai aku, dia telah menderhakai Allah. (Ingatlah) sesiapa mentaati pemerintah, sesungguhnya dia telah mentaati diriku, dan sesiapa yang menderhakai pemerintah, dia telah menderhakai diriku.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 7137 dan Muslim, no. 1835)

Bagi menghayati peranan dan kedudukan institusi beraja di Malaysia, terdapat lima penegasan utama yang perlu diambil perhatian oleh umat Islam, iaitu:

Pertama: Ketua Utama Negara

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara. Pengiktirafan perundangan ini memberikan nafas baharu untuk menghidupkan sistem pemerintahan berpaksi raja, seterusnya membuktikan bahawa meskipun kita mengharungi arus pemodenan, tradisi negeri beraja–rakyat bersultan tetap terpelihara. Sesungguhnya, institusi ini memberikan wajah dan identiti kepada negara bangsa Malaysia sebagai pelindung, penaung dan lambang kedaulatan.

Kedua: Tonggak Kestabilan

Selaku ketua negara, Yang di-Pertuan Agong berperanan secara langsung sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan rakyat.

Ketiga: Penimbang Tara yang Bebas

Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai penimbang tara yang bebas kepada tiga cabang utama negara, iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Baginda kekal mencuar tinggi atas segala polemik politik kepartian bagi memastikan kelancaran mekanisme semak dan imbang terlaksana, sekali gus memperkukuh amalan demokrasi yang telus.

Keempat: Pengawas Keadilan Pentadbiran

Sistem raja berperlembagaan–demokrasi berparlimen perlu ditafsirkan sebagai bentuk perkongsian kuasa antara raja dengan rakyat. Walaupun secara umumnya dan dalam banyak perkara Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri, baginda tetap mempunyai kuasa budi bicara. Baginda menggunakan hikmah dan kebijaksanaan untuk meneliti dan menilai dan menimbangkan nasihat yang dipersembahkan agar tidak bercanggah dengan perlembagaan, undang-undang, keadilan dan hak asasi manusia. Memandangkan peranan raja ialah pemerintah dan bukannya pentadbir, baginda bertanggungjawab mengawasi dan memastikan berlaku pentadbiran yang adil lagi saksama, teratur lagi telus. Oleh itu, hal yang amat penting baginda dibantu oleh barisan penasihat yang jujur lagi ikhlas, dipersembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat untuk baginda bertindak secara arif, menitahkan keputusan yang adil demi menjamin nasib rakyat terbela dan negara aman lagi sentosa.

Kelima: Cerminan Teladan Terbaik

Takhta wajib menunjukkan sebaik-baik contoh dalam usaha memenuhi amanah Ilahi serta memenuhi harapan tinggi rakyat agar kemuliaan takhta tidak tercemar dan kedaulatan raja tidak dipersendakan.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 29 Mei 2026, bertajuk “Yang di-Pertuan Agong: Payung Kedaulatan Negara”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi