Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 23:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Surau Al-Amin di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dibuka secara rasmi sebagai surau Jumaat bagi kemudahan khalayak awam.

Majlis perasmian dan penyerahan watikah pengisytiharannya disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer pada Sabtu.

DBKL dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa pengisytiharan tersebut membolehkan Surau Al-Amin mendirikan solat Jumaat, sekali gus memberikan kemudahan dan keselesaan kepada warga kerja DBKL serta komuniti setempat untuk menunaikan ibadah.

“Institusi surau dan masjid bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat penyatuan umat, pembangunan kerohanian, penyebaran ilmu, serta pengukuhan hubungan sesama masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa kemudahan berkenaan berpotensi menjadi pusat pengukuhan nilai murni, perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan warga kerja.

Pada masa yang sama, DBKL turut sedang merancang pembinaan sebuah surau baharu yang lebih selesa dan kondusif bagi manfaat warga kerja dan pengunjung pada masa hadapan.

Kelulusan kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bil. 1/2026 dan telah berkuat kuasa pada 6 Mac 2026.

Sehubungan dengan itu, DBKL berharap agar pengisytiharan Surau Al-Amin sebagai surau Jumaat dapat terus mengimarahkan syiar Islam, di samping menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan, kesejahteraan dan penerapan nilai murni.

Kredit Foto: Facebook DBKL
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi